Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PdPR: Fokus subjek teras, kurangkan tekanan murid dan guru

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seharusnya diberi keutamaan kepada subjek teras bagi mengurangkan stres kepada murid dan guru.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad berkata PdPR yang lebih fleksibel semasa pandemik ini seharusnya mengurangkan bilangan subjek tertentu yang tidak penting bagi mengurangkan stres kepada kedua-dua pihak ini.

“Beberapa negara seperti England telah menggugurkan bilangan mata pelajaran semasa pandemik ini dengan memberi keutamaan kepada subjek yang dianggap teras dan tidak boleh ditinggalkan sahaja.

Bukan bermaksud subjek lain itu tidak penting tapi buat masa sekarang kita harus ada keutamaan. Misalnya subjek Bahasa Melayu dan English adalah subjek teras dan memerlukan masa yang panjang untuk dikuasai, jadi ia tidak boleh digugurkan,” katanya ketika ditemu bual secara dalam talian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “PdPR 2.0 – Solusi di Luar Kotak” malam tadi.

Pensyarah Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu Dr Abdul Mutalib Embong pula berkata PdPR secara “off-site” di sekolah rendah luar bandar bagi murid miskin perlu ditambah baik dengan sukatan pembelajaran mengikut tahap keupayaan semasa murid bagi memastikan mereka tidak tercicir.

Katanya, PDPR secara “off-site” kebanyakan guru akan menyediakan modul sesuatu pelajaran kepada murid namun tiada bimbingan daripada guru berkenaan.

“Ini pula ditambah dengan ibu bapa yang datang daripada golongan kurang bernasib baik dari segi pengetahuan untuk menolong anak-anak mereka. Jadi modul pembelajaran itu boleh direndahkan.

Contohnya walaupun objektif untuk Tahun 3 adalah mengikuti pembelajaran Tahun 3 tidak tercapai tapi saya rasa lebih bermanfaat mereka dibekalkan modul pembelajaran Tahun 2, dan sekiranya ada peningkatan, murid Tahun 3 ini boleh dibekalkan modul yang lebih mencabar atau setarafnya,” katanya.

Abdul Mutalib berkata langkah itu penting kerana ramai murid di Tahun 2 dan 3 di sekolah luar bandar masih tidak mampu untuk menguasai asas pembelajaran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira kerana banyak masa mereka tidak berada di sekolah sejak pandemik COVID-19 menular pada tahun lepas.

Pada masa sama Abdul Mutalib turut mencadangkan supaya dilakukan penjadualan semula guru yang mengajar bukan subjek teras seperti guru muzik dan pendidkan jasmani untuk membantu guru lain yang mempunyai ramai murid.

“Kita tidak boleh nafikan satu-satu kelas, guru dibebani dengan 30 hingga 40 murid, jadi apabila PdPR berjalan, guru lagi terbeban apabila murid bertanya soalan dengan masa yang terhad.

Jadi mungkin sebahagian murid daripada kelas itu dipecahkan kepada kumpulan lain dan dipantau oleh guru lain bukan teras,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Belajar di rumah: Cabaran guru, pelajar dan ibu bapa

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi pelajar dan murid di seluruh negara dilihat bukan sahaja membawa cabaran kepada ibu bapa, malah guru dan pelajar juga terpaksa berdepan dengan pelbagai isu.

Seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah di Putrajaya berkata, kehadiran kelas secara dalam talian dalam kalangan murid dari kelas ‘belakang’ dilihat agak rendah.

“Contohnya kehadiran murid kelas hadapan adalah 24 orang dari 27 orang jumlah keseluruhan, tetapi kehadiran kelas belakang dilihat hanya enam dari jumlah keseluruhan iaitu 19 orang. Murid yang pandai akan ‘selamat’ dan yang lemah akan terus ketinggalan.

“Kalau di sekolah, guru boleh panggil murid bersemuka dan berikan motivasi, tapi bila kelas dijalankan secara dalam talian, ia bergantung kepada persediaan murid itu dari segi peranti, pelan data dan motivasi sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang enggan dikenali berkata, cabaran lain kelas dalam talian ialah, sukar untuk memantau disiplin dan tumpuan pelajar, malah ada pelajar yang mengaku membuka dua paparan di komputer riba – satu untuk kelas dalam talian dan satu lagi untuk bermain ‘permainan dalam talian’.

Bagi pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Selangor, Syakir Fazly, 15, cabaran belajar di rumah yang dihadapi ialah, adik-adiknya sering membuat bising dan mengganggu ketika dia mengikuti kelas secara dalam talian.

Ibu bapa dilihat membeli komputer riba dan tablet bagi kemudahan anak-anak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memandangkan semua sekolah ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika tinjauan di sebuah pusat membeli-belah pada 23 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Sukar untuk saya dengar suara cikgu dan pelajar lain. Kalau pelajar ada soalan hendak tanya soalan pun, cikgu hanya teruskan mengajar sahaja kerana tidak dengar soalan dan suara pelajar. Selain itu tidak semua yang cikgu ajarkan dapat difahamkan dengan jelas, kerana skrin telefon bimbit kecil. Pautan yang diberikan cikgu selalu sukar untuk diakses dan tersekat-sekat,” katanya.

Seorang ibu Shahidah Musa, lewat 30-an, pekerja swasta yang mempunyai anak yang bersekolah di Tahun Satu dan Dua di Selangor pula berkata, ada guru yang tidak konsisten dan bertukar-tukar platform media sosial dan medium, dalam mengendalikan PdPR.

“Ada masa gunakan platform WhatsApp, kemudian bertukar Telegram. Medium pembelajaran juga berubah-ubah, dari aplikasi Zoom ke Google Meet dan panggilan video. Selain itu waktu kelas bermula juga berubah hari pertama 9.30 pagi, hari kedua 10 pagi. Ibu bapa terpaksa sentiasa menunggu maklumat dan kemas kini dari guru,” katanya yang terpaksa membeli telefon bimbit untuk anaknya.

Shahidah berkata ada ibu bapa yang terpaksa ‘belajar’ aplikasi Google classroom dan sebagainya untuk membantu anak masing-masing menyiapkan tugasan, terutama yang memerlukan mereka merakam video.

Norazah Muda, 49, yang juga seorang ahli perniagaan berkata, anak bongsunya yang sepatutnya memasuki Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama swasta berasrama di Negeri Sembilan belum memulakan PdPR untuk tahun ini, setakat hari ini.

“Saya risau untuk belikan telefon bimbit atau komputer riba kepada anak saya, kerana berdasarkan pengalaman saya pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, anak saya sangat obses permainan video malah turut membeli-belah dalam talian ketika tiada kelas,” katanya.

Norazah berkata ketika PKP tahun lepas beliau hanya membenarkan anaknya membuat kerja rumah dan belajar menggunakan telefon bimbit miliknya.

Seorang ibu di Johor Hairunnisak Aman, 39, yang mempunyai anak berusia enam, lapan dan 10 tahun, berkata PdPR bukan sahaja menuntut disiplin tinggi murid, malah ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan anak-anak tidak tercicir.

“Agak mencabar kerana memerlukan komitmen tinggi untuk menyertai sesi ‘Google Meet’, ‘Google Classroom’, Telegram, WhatsApp, untuk tiga anak yang kesemuanya bersekolah rendah secara serentak, namun, buat masa ini, saya masih boleh ‘curi-curi’ masa memantau mereka,” kata pengusaha katering itu ketika dihubungi Bernama, hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tablet sumbangan Ebit Lew ‘talian hayat’ tiga pelajar autisme

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Rasa sedih seorang ibu tunggal apabila komputer terpakai yang dibelinya secara dalam talian tahun lepas untuk tiga anaknya yang menghidap autisme dan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) rosak, terubat apabila menerima tablet sumbangan pendakwah terkenal Ebit Lew, baru-baru ini.

Haslinah Hassan, 40, yang tinggal di perumahan awam Jalan Hang Tuah di sini ketika dihubungi berkata anak sulungnya Muhammad Nur Izzat Ismail, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) begitu kecewa dan hampir hilang semangat untuk belajar selepas komputer yang dibeli Oktober lepas rosak.

Tiga lagi anak Haslinah ialah Putri Nur Alya Batrisyia, sembilan tahun, Putra Nur Irfan Basir, tujuh tahun dan Putra Nur Izzuddin Yusuf, tiga tahun. Anak kedua dan ketiganya mengikuti program PPKI di Sekolah Kebangsaan Yaacob Latif manakala anak bongsunya dihantar ke pusat pemulihan dalam komuniti San Peng.

“Tiga anak saya yang bersekolah begitu meminati bidang teknologi dan Internet. Selepas desktop rosak mereka hanya belajar menggunakan telefon bimbit saya dan saya akan ambil kerja sekolah masing-masing dari sekolah mereka.

Muhammad Nur Izzat Ismail (kanan) menggunakan tablet sumbangan pendakwah terkenal Ebit Lew untuk kegunaan pembelajaran dalam talian sambil diperhatikan ibu dan adik-adiknya di Flat DBKL Hang Tuah pada 23 Januari 2021. Foto BERNAMA

“Pada Khamis saya lihat hantaran di akaun Facebook Ebit Lew bahawa dia membeli 100 buah tablet untuk dihadiahkan kepada pelajar yang memerlukan untuk kelas dalam talian. Sekitar 6 petang Khamis saya menulis di ruangan komen hantaran Lew. Saya katakan tentang keadaan anak saya dan tiga daripada mereka bersekolah. Saya juga memohon agar boleh dapat satu tablet,” katanya.

Haslinah berkata 45 minit selepas menulis di ruangan komen pada hantaran tersebut, beliau dihubungi pasukan Lew untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dirinya dan pada kira-kira 9.30 malam hari yang sama petugas Lew menghantar tablet itu ke rumahnya.

Lebih menggembirakannya seorang hamba Allah turut menyumbangkan sebuah komputer riba semalam dan Haslinah menyifatkan tablet sumbangan Ebit Lew dan komputer riba itu umpama ‘talian hayat’ kepada tiga anaknya untuk bersemangat belajar dengan mengikuti PdPR memandangkan beliau tidak mampu untuk mendapatkan peranti elektronik baharu untuk mereka.

Ini kerana Haslinah yang menjadi ibu tunggal sejak 2019, merupakan orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai masalah pembelajaran dan turut menghidap ADHD. Keadaan keempat-empat anaknya menyebabkan beliau tidak dapat bekerja dan pendapatan beliau kini hanyalah elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan, bantuan Baitulmal dan sumbangan orang ramai.

“Saya terharu dengan sumbangan Ustaz Ebit Lew dan akan pastikan peranti ini digunakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Haslinah, anak sulungnya dan anak keduanya kini masing-masing boleh menggunakan tablet dan komputer riba itu untuk mengikuti PdPR manakala anak ketiganya boleh menggunakan telefon bimbit beliau bagi tujuan itu.

Sementara itu, hantaran Lew mengenai 100 tablet yang dibelinya untuk diberi kepada pelajar yang memerlukan dikongsi lebih 22,000 pengguna Facebook setakat petang ini. Lew dalam posting Facebook seterusnya memberitahu dalam masa separuh hari beliau menerima 43,000 pesanan daripada mereka yang memerlukan tablet untuk anak masing-masing mengikuti PdPR.

“Ramai juga yang OKU, tiada pekerjaan, anak yatim piatu dan bergaji kecil. Maafkan saya ye tidak dapat membantu ramai lagi,” kata Lew dalam hantaran itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tabika Perpaduan ditutup sepanjang tempoh PKP

PUTRAJAYA, 19 JAN: Semua Tabika Perpaduan di seluruh negara ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 susulan trend harian kes jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan penutupan itu mengambil kira pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) Sabtu lalu serta keputusan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) semalam.

Susulan itu, katanya, bermula esok semua murid Tabika Perpaduan Tahun 2021 akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menggunakan medium komunikasi secara dalam talian.

“Langkah tersebut bertujuan membantu mencegah penularan wabak Covid-19 di samping memastikan sesi pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak dapat diteruskan,” menurut kenyataan kementerian itu hari ini.

KPM sebelum ini mengumumkan hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama bagi 2020 dibenarkan hadir ke sekolah bermula esok manakala pelajar sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai esok.

Kemas semalam mengumumkan sesi persekolahan Tabika Kemas secara bersemuka di seluruh negara yang sepatutnya bermula esok ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, dan akan digantikan dengan kaedah pembelajaran secara Home-base Learning (pembelajaran di rumah).

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 13 hingga 26 Januari ini.

PKP bermula 16 hingga 29 Januari pula melibatkan Kelantan dan Sibu, Sarawak.

PKP juga dilaksanakan di Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan selama 14 hari bermula hari ini berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan itu.

-BERNAMA