Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis bantuan KTMB guna topi keledar pintar imbas suhu badan

SHAH ALAM, 15 OKT: Polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dilengkapi topi keledar pintar yang mampu mengesan suhu penumpang bagi mencegah penularan Covid-19.

Ketua komunikasi strategik KTMB berkata penggunaan peranti mencecah RM50,000 seunit bagi menambah baik tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada, lapor Berita Harian.

Jelas Ahmad ‘Asri Khalbi, sebelum ini KTMB menggunakan pengimbas suhu automatik yang disediakan di stesen, selain cecair pembasmi kuman dan amalan sanitasi tren.

Anggota polis bantuan KTMB Siti Nabilla Isnariah Mohd Jonib melakukan rondaan di dalam gerabak dan sekitar platform tren menggunakan topi keledar pintar bagi mengesan suhu badan penumpang pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA

“Buat masa ini, ini hanya ada dua unit (topi keledar pintar) dan ia masih lagi dalam tempoh percubaan selama dua minggu bermula Isnin lalu.

“Ketepatan teknologi pengimbas suhu topi keledar ini adalah 99.99 peratus dan mampu mengesan suhu badan penumpang dari jarak dua hingga tiga meter,” katanya.

Beliau berkata pelindung muka pada peranti tersebut akan memberi amaran jika ada penumpang dikesan melebihi suhu 38 darjah celsius.

“Diharap dengan kaedah dilaksanakan itu akan dapat meningkatkan keyakinan penumpang untuk menggunakan perkhidmatan KTMB,” kata Ahmad ‘Asri lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peniaga tidak wajib rekod suhu badan pelanggan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Suhu badan pelanggan yang berkunjung ke sesuatu premis perniagaan tidak wajib dicatat, sebaliknya hanya nama dan nombor telefon perlu direkod dalam buku jika pelanggan berkenaan tidak menggunakan aplikasi MySejahtera.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi premis yang telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana tidak merekodkan suhu badan pelanggan, mereka boleh berhubung kembali dengan pihak berkuasa terbabit.

“Pengambilan suhu adalah untuk mengetahui pelanggan bergejala atau tidak, jika bergejala tidak seharusnya dibenarkan masuk, tetapi (pengambilan) suhu tidak wajib untuk direkodkan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri mengulangi peringatan bahawa waktu operasi bagi premis perniagaan termasuk kedai serbaneka 24 jam hanya dibenarkan sehingga 12 tengah malam.

Katanya terdapat laporan kedai serbaneka kembali menjalankan operasi 24 jam walaupun tempoh waktu itu masih belum dibenarkan.

Beliau, bagaimanapun, berkata klinik swasta dibenarkan beroperasi 24 jam dan premis berkenaan harus mematuhi tatacara operasi piawai termasuk dalam penggunaan aplikasi MySejahtera.

Beliau juga menegaskan kerajaan belum bercadang membenarkan peniaga kedai makan dari Thailand yang pulang ke negara asal untuk masuk menyambung kembali perniagaan mereka di negara ini.

“Kita masih belum boleh membuka sempadan negara untuk mereka, risikonya terlalu tinggi,” katanya.

-BERNAMA