Categories
AGENDA NASIONAL

Cabar diri atasi gayat, gadis ceburi sukan luncur udara

KUALA LANGAT, 19 OKT: Pada awalnya Suzanaeirne Zamri@Zambri merupakan seorang gadis yang takutkan ketinggian, namun kini beliau bebas terbang di udara menerusi sukan ekstrem iaitu luncur udara atau paragliding.

Suzanaeirne, 23, atau mesra dipanggil Suzana berkata minat menceburi sukan luncur udara timbul apabila beliau begitu cemburu melihat paraglider lain menikmati sukan tersebut, sekali gus ingin membuktikan bahawa dirinya juga mampu meluncur seperti mereka.

Pemegang Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak itu berkata sejak beliau menaiki tandem, iaitu paragliding dua orang dengan ‘pilot’ paragliding menerbangkannya di Bukit Maras, Terengganu dua tahun lepas lalu mula jatuh hati terhadap sukan itu.

“Saya sememangnya seorang yang aktif bersukan sebelum kenal dengan sukan lasak ini. Saya baharu sahaja hendak menjinakkan diri dalam sukan ini namun kehadiran pandemik Covid-19 menyebabkan latihan saya terbatas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengimbau tujuannya menjalani latihan berkaitan sukan berisiko tinggi tersebut, Suzana berkata beliau mahu menambah baik kecekapannya supaya dapat melakukan aksi itu di pelbagai negara, kerana sukan lasak tersebut dikenali di seluruh dunia.

“Saya berpeluang menjalani latihan dalam sukan paragliding selama sembilan hari di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada akhir 2019 di bawah kendalian Prosky Academy Malaysia, Negeri Sembilan iaitu sebuah akademi paragliding di negara ini,” katanya.

Suzana berkata pada awalnya beliau memilih untuk menjalani latihan di Malaysia, tetapi semasa menyatakan hasrat untuk terlibat dalam sukan tersebut, akademi berkenaan mengadakan kem latihan di UAE sekali gus memberikan dirinya peluang untuk mempelajari sukan itu di negara berkenaan.

Beliau berkata pengalaman sembilan hari itu memberi manfaat kepadanya, kerana dapat mempelajari sukan tersebut di tempat dan cuaca berbeza.

“Semasa di UAE, saya bermula dengan ‘zero basic’ di kawasan padang pasir. Apabila tamat latihan dan pulang ke tanah air, perbezaannya di sini (Malaysia) terdapat banyak pokok dan bukit yang merupakan cabaran dalam meluncur,” katanya.

Menurut Suzana, beliau gayat apabila berada di tempat tinggi dan mencabar dirinya untuk menangani ketakutan itu, hingga mendorongnya berkecimpung dalam sukan berkenaan.

“Pada waktu itu saya tidak terfikir untuk terbang secara solo ,kerana saya ada masalah takut terhadap ketinggian. Saya pergi ke empat tapak paragliding di dalam negara dan dari situ timbul kelainan untuk cuba menyertai paragliding, serta mahu jadi seorang daripada mereka (paraglider lain),” katanya.

Suzana yang merupakan seorang pengurus acara berkata komitmennya dalam sukan paragliding pada masa ini hanyalah sekadar separuh masa, kerana beliau mahu menumpukan kerjayanya sekali gus memastikan minatnya dalam sukan itu dan kerjanya seimbang.

“Tiada yang mustahil bagi seorang wanita untuk berjaya dalam sukan paragliding ini yang merupakan satu daripada sukan ekstrem di dunia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

APA KES?: Kemudahan sukan lasak Selangor terhad, reka bentuk ketinggalan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 4 NOV: Kurangnya penyediaan kemudahan yang bersesuaian bagi sukan lasak di Selangor sedikit sebanyak menjejaskan minat orang awam untuk melakukan aktiviti berkenaan pada masa senggang.

Tinjauan Selangor Kini di sekitar kawasan Shah Alam mendapati kebanyakan penggemar sukan lasak yang terdiri dari kalangan anak muda berpendapat kemudahan yang disediakan di negeri itu tidak diselenggara dengan baik.

Pekerja swasta, Nor Fadhly Mohd Ariff, 25, berkata bukan sahaja persekitarannya masih sama, namun fasiliti untuk penggemar sukan lasak seperti basikal, papan selaju dan kasut roda berada dalam keadaan tidak memuaskan serta tidak memenuhi spesifikasi mereka yang gemarkan aktiviti itu.

DSC_7875Mengambil contoh Taman Sukan Lasak di Seksyen 13, Shah Alam, katanya, kemudahan yang disediakan bukan sahaja terhad tetapi tidak sesuai bagi orang ramai untuk melakukan aktiviti sukan pada waktu malam terutama ketika hujan.

“Tidak dinafikan kemudahan sedia ada memberi peluang kepada anak muda untuk melakukan aktiviti sukan dan riadah, tetapi bagi saya ia belum berada pada tahap memuaskan.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyelenggara serta menaik taraf kemudahan ini dengan baik bagi menjaga imej Selangor terutama Shah Alam yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Pelajar, Luqman Hakim, 15, yang gemar melakukan aktiviti sukan lasak berpendapat kemudahan yang ada perlu diberi perhatian serius serta memperbaiki reka bentuknya yang agak ketinggalan.

DSC_7927Dia yang hampir setiap hari singgah bermain papan selaju bersama rakannya terpaksa mengambil inisiatif sendiri bermain di tepi jalan untuk mencabar kemampuan diri.

“Adakala, saya dan rakan terpaksa menunggu giliran untuk bermain papan selaju disebabkan kemudahan tidak mencukupi terutama hujung minggu.

“Disebabkan itu, kami terpaksa mencari alternatif sendiri seperti bermain di tepi jalan dan koridor kedai, namun risiko keselamatan perlu ditanggung sendiri,” katanya.

DSC_7953Berbeza pula dengan pekerja awam, Shahriza Abdul Halim, 27, yang berpendapat kemudahan sukan lasak yang ibina di Selangor antaranya Petaling Jaya dan Puchong berada di tahap memuaskan tetapi kurang diberi publisiti.

Bagaimanapun, katanya, gelanggang sukan lasak sedia ada boleh diperbaiki dan dinaik taraf dari masa ke masa bagi memastikan lebih ramai penggemar sukan serta pengunjung boleh melakukan aktiviti yang digemari.

“Jika pihak berkenaan mahu menaik taraf kemudahan sukan itu, pelbagai perkara perlu ditambah untuk mengelakkan berlakunya kemalangan.

“Selain itu, kemudahan sukan lasak di luar bandar juga perlu diberi perhatian kerana minat orang ramai terhadap sukan ini sangat meluas terutama di kalangan remaja,” katanya.

DSC_7892Bagaimanapun, masalah ini dijangka tidak berlarutan apabila Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari juga memberi tindak balas positif serta berharap Kerajaan Negeri tidak terlepas membangunkan kemudahan sukan lasak yang ada di negeri itu seiring dengan pembangunan sukan lain.

Katanya, kewajaran memartabatkan aktiviti sukan lasak perlu ada kerana ia merangkumi pembangunan jati diri, pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat khususnya golongan belia.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sukan lasak dimajukan, aktiviti sihat belia dipertingkatkan

Oleh: Naeem Raffi

PETALING JAYA, 1 NOV : Kerajaan Selangor diharap tidak terlepas membangunkan kemudahan sukan lasak yang ada di negeri itu seiring dengan pembangunan sukan yang lain.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata kewajaran memartabatkan aktiviti sukan lasak itu ada kerana ia merangkumi pembangunan jati diri, pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat khususnya golongan belia.

Sukan lasak“Golongan belia perlu diisi dengan aktiviti sihat seperti sukan lasak ini kerana ia antara cabang yang dilihat mampu membentuk belia sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat kemudahan sukan di Pusat Rakan Muda, Kompleks Arena Petaling Jaya di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Belia Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Sayuti Basiron.

“Malam ini, kita datang melihat salah satu kemudahan sukan lasak yang ada di Selangor dan ada keperluan untuk menaik taraf kemudahan ini sesuai dengan permintaan semasa.

“Saya akan bawa perkara ini ke pengetahuan Kerajaan Negeri bagi memastikan kemudahan ini terpelihara dan dapat digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Amiruddin Sukan LasakDalam lawatan tersebut, Amirudin sempat mendampingi sekumpulan pengiat sukan papan luncur, ‘inline skating’ dan BMX yang berada disitu.

Beliau turut menunjukkan bakat menunggang basikal BMX dengan meluncur di dataran itu.

“Kesempatan berbual dengan mereka tadi, saya difahamkan aktiviti mereka terhad pada sebelah malam kerana tiada kemudahan bumbung untuk mereka berteduh dari panas dan hujan. Jadi saya akan usaha mendapatkan bumbung seperti yang mereka inginkan.

“Mereka juga minta sedikit peruntukan untuk mengubah beberapa struktur rekabentuk kemudahan sukan di sini untuk lebih kontemporari kerana kemudahan sedia ada sudah ketinggalan,” katanya.

EZY