Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN nilai semula status jurulatih Sukma Selangor

SHAH ALAM, 14 NOV: Status kontrak 92 jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) Selangor bergantung kepada keperluan kejohanan pada 2022, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN).

Mohamad Nizam Marjugi berkata kontrak mereka berakhir Mac tahun depan bagaimanapun akan dinilai semula secepat mungkin bagi memastikan prestasi serta persiapan atlet berada tahap terbaik.

“Kebiasaannya persiapan dilakukan setahun sebelum kejohanan berlangsung, jadi sekiranya Sukma diadakan pada 2022 kita kena pastikan persiapan atlet dimulakan sejak awal 2021.

“Insya-Allah kontrak semua jurulatih akan disambung tetapi kita akan nilaikan semula berdasar keputusan teknikal di peringkat MSN,” katanya.

Sukma dan Para Sukma 2020 Johor dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Sukma yang sepatutnya berlangsung pada Julai ditangguh ke 6 hingga 14 Mac 2021, sebelum dijadualkan semula ke 2 hingga 10 April.

Categories
EXCO SELANGOR

Sukma: Peruntukan tambahan RM500,000 dipohon – Khairuddin

SHAH ALAM, 12 JULAI: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor memohon peruntukan tambahan RM500,000 daripada Kerajaan Negeri bagi persiapan kontinjen Sukan Malaysia (Sukma), kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata dana tersebut untuk pembayaran elaun jurulatih dan atlet serta kos sampingan lain susulan penundaan kejohanan pada tahun depan.

“Apabila Sukma ditunda sudah tentu berlaku tambahan kos, ia memang telah kita jangka. Buat masa ini peruntukan tambahan sebanyak itu cukup untuk menampung jurulatih dan atlet sehingga Sukma Johor yang dijadual bermula Mac 2021.

“Kita berharap semua atlet kekal fokus dan berusaha mengembalikan stamina dan prestasi selepas berehat panjang susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada SelangorKini.

Pada 18 Jun Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata pihaknya memohon peruntukan tambahan bagi memastikan khidmat 92 jurulatih dikekalkan sehingga Sukma berakhir.

Sukma Johor 2020 yang ditangguh susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 6 hingga 14 Mac tahun depan manakala Para Sukma berlangsung bermula 5 hingga 10 April.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Wushu tunggu lampu hijau MSN berlatih di Negeri Sembilan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Skuad wushu menunggu kebenaran Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk meneruskan latihan di Negeri Sembilan sebagai persiapan Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 tahun depan.

Jurulatih Chia Kian Keow berkata negeri itu yang mempunyai fasiliti lengkap memberi gambaran kepada atlet wushu sanda untuk merasai suasana sebenar di gelanggang.

“Kita ada minta kebenaran (MSN) untuk ke negeri yang ada gelanggang sebenar bulan depan tetapi belum terima maklum balas dan kita faham kerana sekarang musim Covid-19.

“Presiden Persekutuan Wushu Malaysia sudah beri kebenaran, jadi kita harap mereka (MSN Selangor) setuju,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Kian Keow berkata Pusat Latihan Wushu KK Chia di Selayang yang digunakan ketika ini hanya berpentaskan lantai dan kurang sesuai untuk melakukan teknik menjatuhkan lawan.

“Gelanggang sebenar sepatutnya dua tingkat, jadi saya akan gunakan peluang (berlatih di Negeri Sembilan) untuk mendedahkan atlet dengan teknik jatuhkan lawan ke bawah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukma 2020: Wushu sasar satu emas kategori sanda

SHAH ALAM, 7 JULAI: Skuad wushu Selangor menyasarkan satu pingat emas bagi kategori sanda (tempur) pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor tahun depan.

Jurulatih Chia Kian Keow berkata harapan meraih pingat disandarkan kepada Tan Xian Jun, 20, yang bakal beraksi bagi kategori 65 kilogram.

“Dia (Tan) memiliki potensi besar berdasarkan pencapaian mengungguli pingat perak pada temasya sama di Perak dua tahun lalu.

“Siapa pun pesaingnya, saya yakin dengan kematangan dimiliki, dia (Tan) mampu memikul tanggungjawab sebaik mungkin demi mengharumkan nama Selangor,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Kian Keow turut menaruh kepercayaan terhadap lima lagi atlet wushu dalam disiplin itu untuk mengutip sekurang-kurangnya satu pingat perak atau gangsa.

“Fokus saya kepada semua atlet sama sahaja, sebab itu saya meletakkan sasaran supaya mereka ada hala tuju dan tidak sambil lewa ketika berlatih.

“Setiap kali selepas latihan, saya berkomunikasi dan memberi suntikan motivasi kepada atlet. Saya mahu semua atlet sedar bahawa Selangor mengharapkan kejayaan daripada mereka, jadi peluang yang ada tidak boleh disia-siakan,” katanya.

Selain Xian Jun, atlet wushu Selangor bagi disiplin sanda ialah Tan Zi Pen (52kg), Tan Xian Wei (56kg), Ng Jet Yang (60kg), Thines Kumar (60kg) dan Teo Chun Wah (70kg).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Giat berlatih, atlet wushu Selangor siap berdepan Sukma 2020

SHAH ALAM, 6 JULAI: Enam atlet wushu Selangor yang menggalas cabaran pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor pada Mac tahun depan kembali ke gelanggang latihan sejak dua minggu lalu.

Jurulatih Chia Kian Keow berkata semua atlet bagi disiplin sanda menjalani latihan dua sesi bermula 11 pagi hingga 3 petang setiap Ahad di Pusat Latihan Wushu KK Chia, Selayang dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Mereka juga diarah melakukan latihan stamina di rumah mengikut kesesuaian masa masing-masing dan perlu hantar laporan rakaman video (latihan) dalam kumpulan WhatsApp.

“Saya akan beri komen penilaian bagi setiap teknik yang digunakan supaya mereka dapat memperbaiki kelemahan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Kian Keow berkata prestasi atlet dipantau setiap dua minggu bagi memastikan stamina mereka pada tahap terbaik sebelum menghadapi temasya dwitahunan yang berbaki kurang setahun.

Katanya, jika latihan tidak memuaskan, kesemua atlet diarah berlatih dua kali seminggu di gelanggang, malah mungkin ditambah tiga atau empat hari bergantung kepada prestasi.

“Saya berharap ibu bapa mereka faham dengan keadaan sekarang kerana kita sudah hampir ke Sukma. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan juga mereka berlatih lima hari seminggu,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Tarikh Sukma 2021 bertindih peperiksaan 11 atlet Selangor

SHAH ALAM, 19 JUN: Tarikh Sukma tahun depan dijangka bertindih dengan peperiksaan atlet Selangor yang menuntut di luar negara, menurut Majlis Sukan Negeri (MSN).

Pemangku Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata seramai 11 atlet menuntut di luar negara iaitu lapan atlet renang dan tiga atlet golf.

“Sukma Johor dijadualkan pada Mac 2021 dan kebetulan pula ada atlet kita yang akan menduduki peperiksaan pada bulan sama.

“Masih terlalu awal untuk membuat keputusan kerana tarikh Sukma bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan kita akan mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya kepada SelangorKini.

Sukma Johor 2020 yang sepatutnya berlangsung pada 11 hingga 19 Julai ini ditunda pada 6 hingga 14 Mac 2021 manakala Para Sukma dijadualkan pada 5 hingga 10 April tahun depan.

Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan tarikh berkenaan akan dibincangkan sekali lagi pada Oktober jika ada perubahan.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor tunggu kelulusan MKN untuk latihan Sukma 2021

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan Negeri sedang menunggu kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengadakan latihan persediaan atlet ke Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang dijadualkan pada Mac 2021 di Johor, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata buat masa ini atlet menjalani latihan secara persendirian di rumah sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan ancaman Covid-19.

“Kita tunggu kelulusan MKN untuk tujuan latihan tetapi pada masa sama kita tetap mengekalkan hubungan bersama atlet dan jurulatih termasuk meneruskan bayaran elaun malah kebanyakan mereka berlatih sendiri dalam suasana norma baharu bagi meningkatkan tahap kecergasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ziarah Kasih Aidilfitri dan Sumbangan Raya Kepada Bekas-Bekas Atlet dan Atlet Para Selangor di Lobi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) di sini hari ini.

Khairuddin Othman bersama penerima pada Program Sumbangan Raya kepada Bekas-Bekas Atlet dan Atlet PARA sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Lobi MSNS Seksyen 7, Shah Alam pada 21 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI

Sebelum ini, Sukma 2020 ditetapkan pada 11 hingga 19 Julai manakala Para Sukma dijadualkan pada 16 hingga 22 Ogos.

Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan penundaan temasya dwitahunan itu susulan Covid-19 dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih, pegawai serta semua terlibat dalam penganjuran tersebut.

Difahamkan, Selangor dijangka menghantar lebih 800 anggota kontinjen membabitkan 30 acara dalam sukan berprestij tanah air itu dengan sasaran 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa.