Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Sallehuddin ditabal Sultan Kedah ke-29

SHAH ALAM, 22 OKT: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah ditabal sebagai Sultan Kedah ke-29 dalam istiadat pertabalan, di Balairung Seri, Istana Anak Bukit, hari ini.

Sebaik ditabalkan, baginda kini bergelar Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Istiadat pertabalan baginda berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah selepas kali terakhir istiadat sama diadakan, pada 1959 ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-28.

Berangkat hadir menyaksikan istiadat penuh gilang-gemilang itu adalah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani; Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz; Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut berangkat wakil peribadi Sultan Brunei, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah Muizzaddin Wadaullah dan Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Haji Salleh Ab Rahaman; Pemangku Raja Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff; Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah R M Jasni; Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Ragad Kurdi Taib; Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah; Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin; Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa; Tunku Besar Seri Menanti Negeri Sembilan Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz; Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Istiadat bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Sallehuddin dan Sultanah Maliha ke Balairung Seri diringi pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar, Pedang, Tombak dan Lembing, Juru-juru iring tentera dan polis didahului oleh Datuk Paduka Seri Maharajalela, Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin.

Kemudiannya bacaan selawat dilafazkan sebaik baginda berdua berangkat masuk ke Balairung Seri yang kemudiannya nobat turut dipalukan.

Baginda berdua selepas itu berangkat bersemayam di atas singgahsana dengan pembawa alat kebesaran Diraja serta juru iring mengambil tempat.

Datuk Paduka Ketua Istiadat kemudiannya mengadap baginda dan memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat dan Datuk-Datuk Bergelar membawa masuk peralatan pertabalan dan diletak di meja khas.

Peralatan pertabalan itu terdiri daripada al-Quran, Watikah Kebawah DYMM Tuanku Sultan, Surat Perisytiharan, Surat Sumpah DiRaja, Keris Kerajaan, Puan Sirih, Tengkolok Emas, Kendi Emas, Benian (sebuah peti yang mengandungi barang-barang berharga yang melambangkan kekuasaan dan kekayaan Sultan Kedah) dan Bekas Perasap Kemeyan.

Mufti Kedah Datuk Sheikh Fadzil Awang diiringi Datuk Setia Jaya dan Datuk Murshid DiRaja selepas itu memimpin bacaan doa serta membaca lapan kalimah ayat dari Surah Al-Imran, Ayat 26.

ALOR SETAR, 22 OKT — Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah membaca Surat Sumpah DiRaja sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah Ke-29 di Balairung Seri Besar Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Turut sama berangkat KDYMM Tuanku Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Binti Almarhum Tengku Ariff.
— fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Istiadat mengadap baginda Sultan dan mempersembahkan al-Quran dan baginda menerima, mengucup dan meletakkan al-Quran itu di tempat khas.

Mukhriz selepas itu membacakan Watikah Perisytiharan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah dan Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan skrol Watikah Sumpah Jawatan untuk dibaca baginda Sultan.

Selesai pembacaan watikah itu, Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan Keris Kerajaan dengan lafaz “Ampun Tuanku, Beribu-ribu Ampun, Sembah Patik Pohon Di Ampun, Patik menyembahkan Keris Kerajaan sebagai lambang kebesaran kedaulatan dan kekuasaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku”.

Sultan Sallehuddin kemudiannya mengambil Keris Kerajaan, menghunus serta mengucup dan meletaknya di meja khas.

Datuk Paduka Ketua Istiadat selepas itu membuat pengumuman “Dengan Izin Allah Subhanahu Wa Ta’ala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah ditabal sebagai Sultan Negeri Kedah Yang Ke-29” Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang disusuli laungan, “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin yang hadir.

Nobat kemudiannya dipalu disusuli tembakan meriam 21 das dan Payung Istiadat dikembangkan dan setelah paluan nobat itu, lagu ‘Allah Selamat Sultan’ dimainkan.

Sebaik Sultan Sallehuddin berangkat bersemayam semula di atas singgahsana, Raja Muda Kedah mempersembahkan ucapan tahniah bagi mewakili kerabat Diraja dan selepas itu Mukhriz mengambil giliran memberikan ucapan tahniah bagi mewakili kerajaan dan rakyat.

Sebaik tamat, Sheikh Fadzil sekali lagi memimpin bacaan doa dan selepas itu Datuk Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda dan mempersembah maklum memohon limpah perkenan untuk menamatkan istiadat.

Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 itu membabitkan beberapa istiadat iaitu bermula dengan Istiadat Letak Kerja pada 20 Sept lepas diikuti Istiadat Ziarah Makam (5 Okt), Istiadat Siram Tabal (14 Okt), Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan (20 Okt) dan Istiadat Pertabalan pada hari ini.

Pada 12 Sept 2017, baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat sehari sebelumnya.

Sultan Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942 dan mendirikan rumah tangga dengan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha serta dikurniakan dua putera, Tengku Sarafudin Badlishah dan Tunku Shazuddin Ariff.

Baginda adalah anakanda kesembilan daripada 14 putera dan puteri Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang memerintah Kedah dari 1943 hingga 1958.

Pertabalan ini adalah istimewa kerana kali terakhir istiadat ini berlangsung adalah pada 59 tahun yang lalu ketika pertabalan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ketika itu.

*Sumber: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Kedah dikurnia Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Dihormati kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam satu majlis penuh istiadat, di Balai Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah dan KDYMM Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Dihormati adalah Darjah Kebesaran yang tertinggi sekali, di Selangor Darul Ehsan.

Darjah Kebesaran itu dizahirkan pada tahun 1961 yang mengandungi seutas Kalung, Lencana Kalung, Bintang Darjah, Selepang dan Lencana Selepang yang dikurniakan kepada kaum Kerabat Diraja, di Malaysia.

Di samping itu, ia juga dianugerahkan kepada raja negara lain sebagai tanda penghormatan dan persahabatan yang akrab dengan baginda.

Bilangan maksima keseluruhan keahlian darjah itu ialah 25 orang.

Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 pada 12 September 2017 kerana kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda diputerakan di Alor Setar pada 30 April 1942 dan adalah anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah iaitu Sultan Kedah hasil perkongsian hidup dengan Sultanah Asma Sultan Sulaiman yang juga puteri Sultan Terengganu, Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Tunku Sallehuddin yang dibesarkan di Istana Anak Bukit dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah, pada 15 Disember 2016.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tunku Sallehuddin diisytihar Sultan Kedah baharu ke-29

ALOR SETAR 12 SEPT: Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah diisytiharkan sebagai Sultan Kedah baharu ke-29 selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Anak Bukit jam 2.30 petang semalam.

Tunku Sallehuddin diputerakan di Alor Setar pada 30 April 1942 adalah anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah iaitu Sultan Kedah hasil perkongsian hidup dengan Sultanah Asma Sultan Sulaiman, yang juga puteri Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Pengumuman pengisytiharan pelantikan itu dilaksanakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah sejurus sebelum jenazah Almarhum Tuanku Abdul Halim dibawa keluar untuk istiadat pemakaman.

Pemilihan raja pemerintah baharu ditentukan menerusi Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja setelah kemangkatan Sultan Kedah.

Tunku Sallehuddin Kedah1Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 November 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat kegeringan.

Tunku Sallehuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan meneruskan pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid.

Melalui minat yang mendalam dalam bidang ketenteraan, Tunku Salehuddin telah memilih menjalani latihan kadet dan dihantar ke India menjalani kursus ketenteraan di Indian Military Academy di Dehra Dun bermula dari 23 Julai 1962 hingga 30 Jun 1963.

Setelah kembali ke tanah air, Tunku Salehuddin ditauliahkan dengan pangkat Leftenan pada 12 Februari 1964 dan ditempatkan di Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Sepanjang perkhidmatan, baginda terlibat dalam pelbagai operasi di sempadan Thailand/Kelantan, Kedah dan Perak.

Tunku Sallehuddin menyandang beberapa jawatan penting antaranya Canselor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Yang Dipertua, Majlis Agama Negeri Kedah.

 

FOTO: SUMBER BERNAMA

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sembah Takziah Selangor atas kemangkatan Sultan Kedah

OLEH: Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah mengumumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pada hari Isnin, 11 September 2017 bersamaan 20 Zulhijjah 1438 Hijrah pada jam 2.30 petang di Istana Anak Bukit, Alor Star.

Dengan perasaan yang amat sedih dan dukacita, saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor merakamkan sembah takziah kepada Sultanah Kedah, Tuanku Hajjah Haminah, anakanda-anakanda serta kerabat Diraja Kedah atas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Halim.

Pemergian Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Halim adalah satu kehilangan yang amat besar kepada negara ini.

Almarhum baginda banyak menyumbang jasa kepada Persekutuan dan Negeri Selangor sepanjang tempoh menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima dan Yang di-Pertuan Agong ke-14.

sultan-mangkatSaya mewakili Kerajaan Negeri mengiringi Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor menziarahi dan memberi penghomatan terakhir terhadap Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Abdul Halim di Istana Anak Bukit, hari ini.

Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor bersama dengan seluruh rakyat Kedah merasai akan kehilangan Raja Pemerintah Kedah Darul Aman yang aktif, berjiwa rakyat dan disayangi ramai.

Al-Fatihah.

Categories
NASIONAL

Sultan Kedah mangkat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 SEPT: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 89, mangkat di Istana Anak, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan mana-mana pihak berkaitan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dijangka mengadakan sidang akhbar berhubung perkara itu, di Wisma Darul Aman, petang ini.

FullSizeRenderSultan Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 dan menaiki takhta Kedah selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Badlishah, pada 1958.

Baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 1970 ketika negara sedang pulih daripada rusuhan kaum dikenali sebagai peristiwa 13 Mei 1969.

Baginda sekali lagi menaiki takhta pada 2011, ketika usia 84 tahun dan satu-satunya sultan yang menaiki takhta agong sebanyak dua kali.

Sultan Abdul Halim mengahwini Sultanah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman, yang meninggal dunia, pada 2003.

Baginda kemudian mengahwini wanita Perak, Haminah Hamidun, yang ditabalkan sebagai sultanah, pada 2004.