Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan awal dapati Sungai Batang Benar dicemari sebatian organik – Exco

SEREMBAN, 29 OKT: Keputusan awal analisis sampel yang diambil dari lokasi punca pencemaran Sungai Batang Benar, Nilai, mendapati ia merupakan sebatian organik jenis ‘Dimethyl Disulfide’.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan berkata keputusan itu diperoleh Sabtu lepas (24 Oktober) hasil daripada analisis ke atas lima sampel tanah yang diambil di sekitar belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran di sungai berkenaan.

“Dimethyl Disulfide adalah satu sebatian organik yang biasanya digunakan sebagai bahan tambahan dalam industri makanan dan juga digunakan sebagai bahan pemangkin dalam industri petrokimia.

“Walaupun maklumat telah diperoleh daripada siasatan yang dijalankan ke atas suspek dan beberapa lagi pihak yang berkaitan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan masih meneliti semua fakta kes yang telah diperoleh sepanjang siasatan sebelum rumusan dapat dibuat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini kes berkenaan yang mengakibatkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi di Selangor dihenti tugas.

Pada 5 Oktober, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan bahawa sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik tersisa ditemukan di belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran di Sungai Batang Benar.

Susulan itu, tiga lelaki berumur 30-an hingga 40-an ditahan di Kota Bharu, Kelantan dengan dua daripadanya ditahan pada 6 Okt dan 12 Okt lepas, bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Berikutan pencemaran itu, ia menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan sejumlah 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis kenal pasti suspek pencemaran Sungai Batang Benar

NILAI, 6 OKT: Polis telah mengenal pasti suspek kes pencemaran Sungai Batang Benar dan kini dalam proses menahan individu tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata suspek bukan penduduk tempatan, sebaliknya berasal dari negeri lain.

“Pegawai dan anggota kita telahpun berada di sebuah negeri dan sebentar tadi saya telah berhubung dengan mereka dan mereka positif akan dapat menahan suspek.

“Apabila suspek ditahan, kita akan bawa suspek ke Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya siasatan dijalankan menurut Seksyen 430 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam.

Terdahulu, beliau meninjau kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai yang telah dikenal pasti sebagai lokasi utama punca pencemaran yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sejak Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan yang turut meninjau lokasi berkenaan berkata kerja-kerja pembersihan di lokasi pencemaran sedang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seremban dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

“Setakat ini kita belum pasti sama ada sisa buangan itu adalah sisa buangan berjadual ataupun tidak. Sampel telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya menambah keputusan dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Semalam, Kementerian Alam Sekitar dan Air dilapor berkata sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, iaitu punca pencemaran di sungai berkenaan.

Pencemaran itu menyebabkan dua LRA iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

-BERNAMA