Categories
AGENDA NASIONAL

Kerja baik pulih aliran Sungai Kemensah selesai

SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerja membaik pulih aliran Sungai Kemensah siap dilaksanakan pada 19 September, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan pembaikan di kawasan tanah runtuh dekat Jalan Kemensah Heights, Hulu Kelang keseluruhannya menelan kos RM20,000.

“Kerajaan Negeri turut berterima kasih kepada menteri alam sekitar atas kelulusan RM10 juta untuk pelan kerja penstabilan cerun dan menaik taraf sungai bagi mengelakkan kejadian ini berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berharap usahasama Kerajaan Selangor dan persekutuan akan menyempurnakan penyelesaian masalah tanah runtuh di kawasan terbabit.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights melibatkan tiga unit banglo menjejaskan bahagian belakang rumah bandar di situ pada 17 September lalu.

Dato’ Menteri Besar mengisytihar lokasi tersebut sebagai kawasan bencana dan tiga unit banglo itu belum selamat diduduki termasuk 24 unit rumah bandar yang disaran berpindah buat sementara waktu.

Amirudin ketika meninjau lokasi turut memberi bantuan awal RM500 kepada 27 keluarga mangsa untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerja kukuhkan tebing Sungai Kemensah dianggar RM1 juta

SHAH ALAM, 30 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor akan memasang cerucuk sepanjang 200 meter bagi menstabil dan mengukuhkan tebing Sungai Kemensah.

Kerja yang menelan kos sebanyak RM1 juta memerlukan antara satu hingga tiga bulan untuk diselesaikan, menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, ketetapan itu diputuskan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor semalam selepas mendengar taklimat daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan jabatan berkaitan.

“Kawasan cerun yang runtuh ditutup dengan kanvas bagi menghalang air terus ke permukaan cerun.

“Kerja-kerja pemantauan pergerakan tanah akan terus dilaksanakan sehingga tiada lagi pergerakan tanah dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata pengukuhan tebing dan cerun melalui pembinaan tembok penahan kekal pula dianggarkan
RM6 juta dengan pegawai daerah Gombak akan memudah cara bersama pemilik banglo terlibat.

Beliau menjelaskan pergerakan tanah di seluruh kawasan terbabit juga masih aktif dan diklasifikasikan sebagai zon bahaya oleh Jabatan Mineral dan Geosains Selangor.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights melibatkan tiga unit banglo menjejaskan bahagian belakang rumah bandar di situ pada 17 September lalu.

Dato’ Menteri Besar mengisytihar lokasi tersebut sebagai kawasan bencana dan tiga unit banglo itu belum selamat diduduki termasuk 24 unit rumah bandar yang disaran berpindah buat sementara waktu.

Amirudin ketika meninjau lokasi turut memberi bantuan awal RM500 kepada 27 keluarga mangsa untuk urusan pemindahan atau menampung kos mengeluarkan barang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peruntukan RM1 juta untuk kukuh, stabil tebing Sungai Kemensah

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Peruntukan RM1 juta telah diluluskan bagi melaksanakan kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan tebing Sungai Kemensah serta lain-lain kerja yang berkaitan, susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Height, Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata peruntukan itu adalah daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diurus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau berkata peruntukan itu diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya ia akan digunakan bagi menyediakan laluan masuk, platform jentera dan pemasangan cerucuk keping (sheetpile) sepanjang 200 meter untuk mengelakkan kerosakan harta benda penduduk yang tinggal berhampiran sungai itu.

“Kerja-kerja ini perlu dilakukan bagi membaik pulih aliran dan tebing sungai untuk mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kajian penilaian dan tindakan ini diselaras secara bersama oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya,” tambahnya.

Pada 17 Sept lepas kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights itu menyebabkan 27 rumah penduduk terjejas, selain menyekat aliran sungai di bawah bukit kawasan itu daripada terus mengalir.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kos stabil cerun, naik taraf Sungai Kemensah dianggar RM10 juta

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) akan memuktamadkan pelan kerja berkaitan penstabilan cerun dan menaik taraf Sungai Kemensah dengan kos dianggarkan RM10 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek itu akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah sungai berkenaan yang tertimbus, dan aliran air sungai yang terhalang, dari segi jangka panjang susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Jumaat lepas.

Beliau berkata pemeriksaan agensi di bawah kementeriannya mendapati pergerakan tanah daripada runtuhan itu menyebabkan masalah di sungai itu.

“Projek ini akan dilaksanakan selepas mendapat input daripada pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya ketika ditemui selepas melawat lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata pelan kerja itu akan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan untuk tindakan susulan dari segi pembiayaan dan perolehan.

Bagi penyelesaian jangka pendek, katanya pihak JPS telah membaik pulih aliran dan tebing sungai sepenjang 250 meter bagi mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata kementeriannya akan menyegerakan proses penyaluran peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan JPS menjalankan kerja-kerja penstabilan cerun sungai termasuk pemasangan “sheet pile” dan kerja-kerja tanah berkaitan.

Jelasnya kajian penilaian dan tindakan ini sedang diselaras bersama dengan pihak MPAJ, JMG dan Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR.

Jumaat lepas tiga rumah banglo dan 12 rumah jenis bandar membabitkan 27 keluarga terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

-BERNAMA