Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Bekalan air domestik, perindustrian cukup hingga 2065

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Bekalan air untuk kegunaan domestik dan perindustrian di Selangor mencukupi hingga 2065, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jaminan itu selaras pembangunan sistem bekalan air bagi mempertingkatkan jumlah sumber melalui Projek Hybrid off River Augmentation System (HORAS) 3000 dan Sungai Rasau.

“Ini hasil kajian dilakukan Kerajaan Selangor berhubung sumber, bekalan dan agihan air negeri ini. Pembangunan bekalan air ini akan melibatkan kos tinggi.

“Hingga Ogos lalu semua empangan mencatatkan kapasiti takungan air melebihi 95 peratus ekoran taburan hujan tinggi di kawasan tadahan,” katanya dalam ucapan sempena Hari Sungai Sedunia Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Ucapan berkenaan dibacakan EXCO Infrastruktur, Ir Izham Hashim.

Menurut Amirudin peratusan kapasiti yang tinggi itu mampu menampung bekalan air mentah muka sauk loji pembersihan air sepanjang tiga bulan jika tiada hujan.

“Status semasa ini menunjukkan Selangor mempunyai sumber mencukupi untuk kegunaan rakyat namun insiden pencemaran berlaku seperti baru-baru ini menyebabkan gangguan bekalan air terawat tidak berjadual,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB: Naik Taraf Sg Rasau Elak Shah Alam Banjir

SHAH ALAM, 6 APR: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan plan tebatan banjir sebagai langkah mengelakan bandar Shah Alam dilanda banjir.

Beliau mengumumkan demikian dalam upacara pecah tanah dan lawatan tapak laluan masuk Lebuh Raya Persekutuan di i-City, hari ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan Kerajaan Selangor telah meluluskan rancangan untuk menaik taraf Sungai Rasau sebagai sebahagian daripada program tebatan banjir bagi Shah Alam.

“Beberapa takungan dan stesen mengepam akan dibina di sepanjang sungai sepanjang tujuh kilometer ini dan kita juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengindahkan tebing sungai.

“Kerajaan Negeri juga telah dimaklumkan i-City turut merancang pembangunan pengindahan di hadapan Sungai Rasau dan kerajaan bersedia membantu agar rancangan ini dapat dijayakan,” ujar Khalid ketika berucapa dalam majlis tersebut.

Dalam majlis yang sama, Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Jaafar Mohd Atan, i-City kini dianggap sebagai salah satu daripada tiga pusat Shah Alam dan salah satu zon antarabangsa.

“i-City kini merupakan salah satu daripada tiga pusat bandar shah alam.

“Ia merupakan salah satu zon antarabangsa dan pusat siber MSC (Koridor super Multimedia) pertama di Shah Alam.

“Saya ingin menyatakan bahawa pelan kami untuk Shah Alam untuk menjadi sebuah bandar antarabangsa melibatkan meningkatkan infrastruktur seperti MRT (Mass Rapid Transit) dan rangkaian lebuh raya serta perkembangan yang menggalakkan untuk manfaat masyarakat,” ujar beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew pula memberitahu i-City pada mulanya dicetuskan sebagai Hab Pengetahuan telah ditekankan kepada penyediaan infrastruktur bertaraf dunia.

Menurutnya lagi, i-City hari ini bukan sahaja dilihat sebagai hub pengetahuan malah turut dikenali sebagai salah satu pusat perdangan dan tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Sementara itu, dalam satu lawatan pendek TVS di lokasi terbabit, mendapati terdapat beberapa tarikan yang mampu menjadikan i-City sebagai salah satu tarikan terbaru di negeri ini.

Antara permainan yang mampu menarik pengunjung dalam dan luar negara, khususnya untuk hiburan sekeluarga adalah ‘Snow Walk’, ‘circus Travel’, ‘Giant Wheel’, ‘Bumper Car’ dan ‘Pirate Ship’.

Taman tema yang dijangka paling menapat perhatian pengunjung adalah pengalaman bermain salji di dalam rumah salji seluas 5000 kaki persegi di  ‘Snow Walk’.

Selain dapat merasai pengalaman bermain salji, beberapa permainan yang lazimnya hanya terdapat di musim salji turut disediakan kepada pengunjung yang mengunjunginya.