Categories
AGENDA NASIONAL

Suruhanjaya Tenaga: Jangan guna kelengkapan elektrik terendam air

PUTRAJAYA, 9 JAN: Suruhanjaya Tenaga (ST) menasihati orang ramai agar tidak menggunakan kelengkapan elektrik yang terendam dalam air selain memastikan barangan itu diperiksa dan berkeadaan kering sebelum menggunakannya.

Sebelum suis utama dihidupkan, semua pendawaian dan kelengkapan elektrik di dalam rumah perlu diperiksa oleh kontraktor elektrik bertauliah atau berdaftar dengan ST.

Menurut ST, pengetahuan mengenai risiko bahaya elektrik ketika musim banjir adalah penting bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjamin dan mencegah daripada kemalangan yang mungkin berpunca daripada elektrik.

“Banjir boleh membawa kepada pelbagai kemudaratan dan impak negatif yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

“Sebagai contoh, tiang elektrik patah atau tumbang atau tiang elektrik ada kebocoran arus, talian elektrik putus atau jatuh, serta kabel bawah tanah terputus akibat banjir boleh mendatangkan bahaya renjatan elektrik kepada orang ramai,” menurut kenyataan ST.

Jika berkesempatan sebelum di arah berpindah, ST meminta agar penghuni rumah memastikan bekalan masuk utama di papan agihan dengan meletakkan suis utama pada kedudukan ‘OFF’ dan mencabut palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik.

Penghuni juga disarankan menyimpan kelengkapan elektrik di tempat tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir.

“Laporkan segera kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) jika air telah mula naik untuk pemantauan atau pemotongan bekalan elektrik bagi mencegah bahaya,” menurut kenyataan itu.

ST juga menasihati mangsa banjir sentiasa mengelak daripada melalui kawasan yang mempunyai talian elektrik kerana paras air tinggi menyebabkan talian mudah disentuh terutama pada waktu malam.

“Jauhkan diri daripada lokasi terdapat talian elektrik jatuh atau putus bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik dan jangan menghampiri atau pegang tiang elektrik atau dawai umbang (stay wire) semasa banjir atau hujan kerana kemungkinan terdapat arus bocor,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB dikenakan kompaun berjumlah RM3.6 juta

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Suruhanjaya Tenaga (ST) telah mengeluarkan 36 kompaun berjumlah RM3.6 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada bulan Disember 2019.

Menurut ST dalam satu kenyataan semalam tindakan tersebut diambil setelah mereka menyiasat aduan bil elektrik tinggi pada bulan Mei dan Jun tahun 2019 yang diterima dari pihak pengguna.

“Hasil siasatan mendapati syarikat tersebut gagal mematuhi arahan ST berhubung standard prestasi Minimum Service Level (MSL), berkaitan tempoh penyerahan bil-bil elektrik kepada pihak pengguna.

“Berdasarkan MSL tersebut, TNB perlu memastikan setiap pengguna menerima bil elektrik secara bulanan,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Caj bulanan jangka digital TNB tinggi, PKR lancar web ‘Check Your TNB Meter’ – KEMAS KINI

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PETALING JAYA 16 OGOS: Ketepatan jangka elektrik digital yang baru diperkenal Tenaga Nasional Berhad (TNB) diragui berikutan caj bulanan terhadap pengguna, tinggi, kata Datuk Chua Jui Meng.

Pada sidang media di ibu pejabat, petang ini, Naib Presiden PKR itu berkata, ia berikutan aduan orang ramai terhadap jangka elektrik baru berbanding sebelumnya.

Justeru, katanya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan laman web ‘Check Your TNB Meter’ bagi memberi tekanan kepada TNB dan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk mewujudkan badan bebas memeriksa jangka elektrik digital itu.

Beliau mempelawa orang ramai melawati laman web www.checkyourtnbmeter.com dan menandatangani petisyen secara atas talian bagi menyuarakan bantahan.

“Sasaran kami ialah mencapai 10,000 tandatangan dan menyerahkan petisyen kepada TNB dan ST bagi mewujudkan sebuah badan bebas itu.

“Kami mahu kebenaran didedah, adakah jangka digital baru rosak atau tepat? Jika rosak, pengguna boleh menuntut bayaran balik daripada TNB.

“Jika tepat, pengguna boleh belajar untuk menguruskan penggunaan tenaga mereka dengan lebih cekap,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Khas bagi menangani isu itu.

Bercakap kepada TV Selangor, Wong Chen berkata, lebih 1,000 aduan diterima penduduk Kelana Jaya berkaitan masalah itu.

“Secara purata, peningkatan caj bulanan ialah 15 peratus. Ada yang sebelum ini tidak dicaj tetapi bila tukar jangka baru, meningkat kepada RM90,” katanya.

TNB menukar jangka elektromekanikal kepada jangka digital sejak 2011 bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard Tenaga yang menetapkan supaya jangka elektromekanikal ditukar setiap 15 tahun dan jangka digital setiap 10 tahun.

Sehingga kini, TNB gagal mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi aduan berkenaan.

-FZL