Categories
NASIONAL

Air Percuma : Noh Tabur Janji Kosong

SHAH ALAM, 17 JUL : Datuk Seri Noh Omar sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor berhubung pemberian air percuma sekiranya Umno-BN menawan semula negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Demikian selar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan media.

Sambil menyifatkan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu sebagai tidak berasas, Dr Xavier turut mengatakan ia adalah retorik politik yang dicetuskan Umno-BN.

Ini kerana menurutnya, Kerajaan Pusat melalui Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan menaikkan kadar tarif air sehingga 70 peratus kepada pengguna sebagai bayaran balik kepada dana yang diperolehi melalui pinjaman dari Japan International Cooperation Agency (JICA).

“Ekoran daripada pembinaan Langat 2 yang bernilai RM8.65 bilion, Kerajaan Negeri terpaksa membayar RM60 juta ‘royalti air’ setiap tahun kepada Pahang bagi mendapatkan air mentah tersebut.

“Walaupun dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat, tetapi sumber dana itu adalah melalui pinjaman syarikat JICA. Sekiranya kenaikan air tersebut berlaku, di mana rasionalnya untuk memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor dan pengguna-pengguna yang lain?” soalnya.

Tambahnya, Syabas juga dilihat tidak mampu mengorbankan keuntungannya sebagai syarikat korporat swasta yang berorientasi ‘keuntungan’ bagi melaksanakan tujuan tersebut.

Katanya lagi, Syabas juga dilaporkan menanggung hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air.

“Dalam keadaan kewangannya yang meruncing ini, maka adalah sukar untuk Syabas memberikan air percuma. Jadi berdasarkan fakta-fakta ini, jelaslah Noh hanya bercakap kosong dan sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor,” ujarnya.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor sebelum ini mendakwa Umno-BN tidak mempunyai masalah untuk meneruskan pemberian air percuma di Selangor jika berjaya merampas semula negeri itu melalui pendekatan berbeza demi kepentingan rakyat.

Beliau mendakwa, jika dasar itu dilaksanakan, ia akan dibuat dengan lebih menyeluruh termasuk menambah bilangan meter padu air percuma dan memastikan seluruh rakyat Selangor menikmatinya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Dalih Menteri, Bertentangan Akta Industri Air

SHAH ALAM, 16 MEI: Berdalih dengan menyatakan tiada kuasa mengarahkan syarikat konsesi air menerima penstrukturan semula jelas menunjukkan Menteri Tenaga, Teknologi dan Air, Datuk Seri Peter Chin sengaja mahu membiarkan isu tersebut terus berlarutan.

Demikian menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor di sini.

Sebaliknya menurut Abdul Khalid, Menteri Persekutuan itu memiliki kuasa penuh untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu membabitkan kepentingan rakyat Lembah Klang seperti mana yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

“Sebagai Menteri Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap isu air, beliau berkuasa penuh untuk memastikan syarikat konsesi mencari jalan penyelesaian secara holistik terhadap isu penstrukturan semula ini seperti yang termaktub dalam WSIA.

“Seksyen 191(5) Akta WSIA menyatakan bahawa, ‘ketetapan mengenai jumlah isu kepentingan awam dalam negara yang berbangkit dan ketetapan tersebut hendaklah muktamad dan dipatuhi oleh semua pihak dan tidak boleh dicabar, dirayu, dinilai, dimansuh atau dipersoalkan di mahkamah.

“Adalah Jelas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mempunyai kuasa yang secukupnya atas dasar kepentingan awam untuk menyelesaikan masalah ini dengan mengarahkan syarikat-syarikat terbabit memberi kerjasama penuh bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih sektor perkhidmatan air,” kata Abdul Khalid.

Tambahnya, perbuatan beliau yang terus berdolak-dalik dalam hal ini jelas bertentangan dalam matlamat asal dan semangat penubuhan WSIA untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh atau holistik untuk perkhidmatan air.

Abdul Khalid turut menggesa agar Peter Chin sebagai Menteri yang bertanggungjawab menggunakan kuasa yang dimilikinya untuk melicinkan penstrukturan pengurusan air di Selangor demi kemudahan rakyat di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Sebelum ini proses pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) oleh Kerajaan Negeri Selangor yang bermula semenjak 2008 menemui jalan buntu apabila pihak pemegang konsesi menerima sokongan Kerajaan Pusat untuk mengekalkan kepentingan mereka berbanding masyarakat yang mendiami sekitar Lembah Klang.