Categories
NASIONAL SELANGOR

SYABAS Maklumkan Kerajaan Pusat Tidak Benarkan Pengambilalihan Air

MB Sambutan Maulidur Rasul - Masjid Jaya Setia - Ijok 01

PETALING JAYA 2 FEB : Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) memaklumkan Kerajaan Pusat sebenarnya yang tidak membenarkan proses pengambilalihan konsesi air oleh Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu pihaknya sudah berbincang dengan Syabas mengenai pengambilalihan itu bagaimanapun, Syabas memaklumkan Kerajaan Pusat sebagai pemegang ‘golden share’ tidak membenarkan perkara itu dilakukan.

“Kita sudah terangkan salah satu daripada pemilik saham yang terpenting ialah kementerian kewangan, dia ada golden share, kalau kita bincang dan tidak berbincang dengan pihak kementerian iaitu Kerajaan Pusat, maknanya usaha kita terbantut itu sebab yang lepas apabila berjumpa dengan Syabas untuk mereka terima tawaran kita syabas cakap, Kerajaan Pusat tidak bagi kelulusan.

“Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui seharusnya kena terima dan jelaskan kepada saya dalam surat bahawa Kerajaan Pusat bersetuju dengan penstrukturan ini.

“Kalau tidak ia tidak akan berlaku, tujuan kita nak susun semula air ini ialah bukan nak naikan harga air tapi nak air diuruskan dengan baik supaya rakyat tidak akan terbeban dengan kenaikan harga air,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan asrama anak pekerja ladang di Bangunan Peladang, di sini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Adun Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.

Semalam, Chin memaklumkan Kerajaan Persekutuan tidak akan menghalang Kerajaan Negeri daripada mengawal industri perkhidmatan air negeri itu, jika semua pihak bersetuju.

Chin mengulas mengenai kenyataan oleh Menteri Besar yang berkata Kerajaan Negeri sudah memaklumkan kepada kementerian bahawa ia akan mengambil alih industri perkhidmatan air negeri, jika kementerian tidak memberi maklum balas kepada surat yang dihantar semalam dalam tempoh 14 hari.

Sementara itu, Charles berkata kenyataan Peter Chin yang memaklumkan harga air yang murah punca kepada krisis bekalan air terputus berlaku di negeri Selangor baru-baru ini sebagai satu pandangan yang lemah.

Katanya, jika mengikut konsesi yang ditandatangani oleh Syabas dan Kerajaan Negeri sebelum ini, akan menjadikan harga air naik dan lebih tinggi daripada harga minyak seterusnya akan membebankan rakyat.

“Oleh itu, kita mahu Kerajaan Negeri ambil alih industri air. Begitu juga dengan kenyataan beliau (Peter) yang dikatakan tidak menghalang pengambilalihan air, Peter sebenarnya tidak ikhlas, beliau hanya bermain politik kerana takut dengan Umno.

Beliau menambah, pihaknya menghantar surat kepada Peter dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) minggu lalu untuk menyediakan satu rangka kerja dan pelan bagi mengatasi masalah air ketika Tahun Baru Cina ini.

“Sebab sebelum ini, Syabas ada beritahu masalah air akan dipanjangkan semasa Tahun Baru Cina ini, jadi kita tidak mahu susahkan rakyat, namun sehingga kini, tiada maklum balas,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ambil Alih Operasi Air : Peter Chin Tak Faham, Selangor Hantar Satu Lagi Surat

MB pc kuning couch 01

KUALA SELANGOR, 2 FEB: Kerajaan Negeri Selangor menghantar satu lagi surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air Datuk Sri Peter Chin Fah Kui bagi menerangkan proses pengambilalihan operasi Syarikat Bekalan Air Syabas Sdn Bhd (Syabas).

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim surat kedua yang dihantar Jumaat lalu itu disebabkan Peter Chin gagal memahami bagaimana proses pengambilalihan yang diterangkan dalam surat pertama.

“Pengambilalihan pengoperasian syarikat bukanlah syarikat itu diambilalih, tetapi melibatkan pemegang saham.

“Dalam operasi Syabas, pemegang sahamnya adalah Puncak Niaga, Kumpulan Darul Ehsan Bhd dan juga Kementerian Kewangan Malaysia yang memegang saham emas.

“Jadi yang saya kena bincang bukannya dengan pegawai-pegawai Syabas tetapi kena bincang dengan pemilik saham, termasuk Peter Chin, tetapi dia kata pergi jumpa orang lain,” kata beliau.

Menurut Abdul Khalid, saham emas yang dipegang oleh Kementerian Kewangan itu membolehkan Kementerian Kewangan berkuasa menolak sebarang keputusan.

Sebelum ini Peter Chin berkata dalam satu kenyataan, Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat yang bertegas mahu mengambil alih syarikat konsesi air itu harus mengadakan rundingan dengan Syabas dan urusan pengambilalihan hanya boleh dilaksana jika Syabas bersetuju.

Categories
SELANGOR

Loji Rawatan Air Sungai Semenyih Beroperasi Semula

MB Loji Semenyih 01

SHAH ALAM 15 JAN : Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang dihentikan operasinya berikutan pencemaran di sungai itu dibuka semula malam semalam.

Loji rawatan yang diurus oleh operator loji, Syarikat Konsortium Abass, terpaksa dihentikan operasinya sekitar pukul 1.30 tengah hari semalam kerana terdapat pencemaran minyak kelapa sawit.

Antara kawasan yang mengalami gangguan bekalan ekoran langkah menghentikan operasi loji itu ialah Subang, Puchong dan Seri Kembangan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan kerja-kerja pembersihan minyak itu dilakukan serta merta oleh Kerajaan Negeri.

“Selepas enam jam operasi dihentikan, ia kini beroperasi seperti biasa pada jam lapan malam semalam. Kita lakukan dengan secepat mungkin kerana takut akan memberikan kesan kepada pengguna,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam.

Jelas Abdul Khalid, langkah proaktif yang diambil Kerajaan Negeri itu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri kini tidak lagi bergantung kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Kerajaan Negeri boleh lakukannya, kita mahu status jelas walaupun Kerajaan Pusat masih belum memberikan kuasa untuk kita mengambil alih.

“Ia kerana kita mahu perkara ini dijelaskan secara profesional, oleh kerana itu juga Kerajaan Negeri bertindak membeli iklan di surat khabar untuk menerangkan status yang dilakukan dalam isu air ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri masih menunggu jawapan dari Kerajaan Pusat berhubung isu pengambilalihan air daripada Syabas.

“Kita masih menunggu jawapan dari Kerajaan Pusat kerana Kerajaan Pusat mempunyai ‘golden share’ dalam syarikat itu,” katanya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan, bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah menghalang Kerajaan Negeri untuk mengambil alih syarikat konsesi air itu kerana Kerajaan Pusat tidak mempunyai sebarang ekuiti dalam syarikat Syabas kecuali ?golden share? untuk membuat pemantauan.

Categories
SELANGOR

MB : KeTTHA Didakwa Ingkari Tanggungjawab Penuhi Kepentingan Awam

SHAH ALAM, 26 SEPT : Kerajaan Selangor mendakwa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengingkari tanggungjawab untuk melibatkan diri dalam usaha mengambil alih operasi bekalan air terawat di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tanggungjawab in seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) Akta Perkhidmatan Air.

Menurut Bahagian 7 (Pemindahan Perniagaan) Akta tersebut tiada sesiapa berhak membuat perjanjian atau perkiraan yang akan mengakibatkan pertukaran dalam kawalan, penjualan, pelupusan atau pindah milik.

Sebarang penyatuan, percantuman atau penyusunan semula pemegang lesen juga tidak boleh dibuat melainkan dengan kelulusan Menteri. Menteri tersebut adalah Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (Span) juga didakwa menyalahguna budi bicara apabila memberi tempoh lanjutan kepada syarikat-syarikat konsesi untuk beroperasi dari bulan ke bulan.

Tindakan ini jelasnya memperlekeh kewajaran syarikat-syarikat konsesi berkenaan supaya mematuhi kemahuan Kerajaan Negeri Selangor.

“Oleh kerana Kerajaan Persekutuan telah menerima cadangan penyusunan holistik dan merupakan pemegang Saham Emas dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), maka wajar syarikat konsesi lain menerima tawaran yang akan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri,? kata Abdul Khalid Kepada pemberita.

“Sekiranya syarikat konsesi tidak bersetuju dengan tawaran yang akan dikemukakan, mereka boleh merujuk kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa dan Kerajaan Negeri akan akur apa jua keputusan yang dibuat oleh badan berkenaan.”

Abdul Khalid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK hari ini.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan menjemput Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk membincangkan pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan air dan pembinaan Loji Rawatan Langat 2.

Beliau berkata, perbincangan itu dijangka akan membawa keputusan positif kepada industri air negeri serta rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya akan memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin bahawa usaha penyelesaian penyusunan industri air secara holistik di Selangor masih terbantut akibat sikap berdolak dalih syarikat konsesi dan keengganan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan kuasa-kuasa berkanun di bawah Akta 655,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Jamin Terus Beri Air Percuma

SHAH ALAM, 29 OGOS : Kerajaan Negeri memberi jaminan akan meneruskan pemberian air percuma kepada rakyat di negeri ini sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat untuk terus memerintah Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri memiliki rizab simpanan tunai yang mencukupi malah meningkat sehingga RM2.1 bilion pada suku kedua tahun ini, berbanding RM1.9 bilion sebelumnya.

Kenyataan Abdul Khalid itu sekaligus menyangkal dakwaan Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia(UUM), Prof Amir Baharuddin yang mengatakan Selangor bakal berdepan defisit serius sekiranya meneruskan dasar pemberian air percuma kerana tidak mempunyai sumber pendapatan yang banyak untuk menanggung kos operasi dan penyelenggaraan air di negeri itu.

“Ada juga ahli akademik yang tidak pandai mengira. Apa yang penting ialah rakyat melihat apa yang sudah dilaksanakan Kerajaan Negeri baik dari segi pemberian air percuma, peningkatan rizab negeri dan keupayaan melaksanakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini.

Dakwanya lagi, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kewangan daripada cukai pendapatan atau korporat, sebaliknya bergantung kepada kutipan cukai tanah dan pintu yang sememangnya tidak dapat membiayai bekalan air percuma bagi tempoh jangka panjang.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menolak kenyataan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang mengatakan tiada kenaikan tarif air sekiranya projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 siap.

Beliau berkata, Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air masih gagal memahami isu pembinaan Langat 2 yang sememangnya memerlukan dana yang besar untuk dilaksanakan.

Katanya, dana itu perlu dibayar sama ada melalui kutipan cukai atau kos tarif yang akan disalurkan untuk pelaksanaan projek tersebut.

“Tiada apa yang percuma walaupun dia memberi geran kepada Negeri Selangor. Ini kerana geran itu adalah hasil daripada kutipan cukai rakyat. Maknanya kita sudah bayar kepada Kerajaan Pusat lebih awal.

“Kenyataan Chin itu melihatkan beliau sebenarnya kurang faham tentang penggunaan belanjawan negara. Sebab itulah beliau tidak dilantik menjadi Menteri Kewangan,” sindir Abdul Khalid.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Xavier : Peter Chin Berbohong Kos Sebenar Projek Langat 2

SHAH ALAM, 5 OGOS: Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar telah menuduh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Peter Chin Fah Kui berbohong tentang kos pembinaan loji Langat 2 dan projek menyaluran air mentah dari Pahang.

Dr Xavier berkata, harga yang disebut kerajaan Selangor bagi projek tersebut iaitu RM 8.65 bilion, merupakan harga yang diberitahu oleh Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Air, KeTTHA di Forum Air yang diadakan pada 12 Julai lalu.

Menurut Dr Xavier, Peter Chin juga tidak menerangkan yang Selangor terpaksa bayar RM 60 juta kepada Pahang pada setiap tahun jika untuk projek pemindahaan air itu.

“Apakah Peter Chin takut rakyat mempersoalkan projek mega bernilai RM 8.65 bilion ini terlalu mahal untuk dibelanjakan Kerajaan Pusat. Sambil beliau memindanya kepada angka RM 6.225 bilion agar rakyat merasakan kosnya lebih munasabah?

“Angka yang Kerajaan Negeri berikan bukanlah rekaan semata-mata, bahkan laporan yang dipetik dari sumber Bernama melaporkan kos projek itu ialah RM 8.9 billion,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Peter pernah mempersoalkan harga RM 8 bilion untuk Langat 2 dan projek pemindahan air tersebut dengan mengatakan ianya hanya RM 6 bilion.

Dr.Xavier turut mempertikaikan mengapa kerajaan pusat lebih berfikir tentang kepentingan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berbanding dengan rakyat Selangor.

Syabas telah dipertanggungjawabkan untuk mengurus bekalan air terawat di Selangor tetapi kerajaan negeri tidak berpuashati dengan prestasi syarikat itu dan mahu pengurusan air dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, KeTTHA seolah-olah berperanan menjadi ‘jurucakap’ bagi mempertahankan Syabas dengan bermati-matian mematahkan setiap hujah dan penerangan yang dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa ahli Exco Selangor berkaitan isu air ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu Air : Penstrukturan Untuk Rakyat, Langat 2 Untuk Kroni

SEPANG 4 OGOS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru Kerajaan Pusat mengutamakan kepentingan dan keperluan rakyat dalam isu air Selangor.

Jelasnya, jika Kerajaan Pusat terus enggan membenarkan penstrukturan semula air seperti yang dicadangkan Kerajaan Negeri, ini bermakna mereka mengutamakan kepentingan individu berbanding rakyat.

“Itu adalah pilihan Kerajaan Pusat samada membuat keputusan untuk keutamaan rakyat atau terus berkeras meneruskan Langat 2 demi mengkayakan kroni mereka dan membebankan rakyat.

“Daripada keputusan itu juga, rakyat sudah tentu dapat menilai siapa yang lebih utama di mata Kerajaan Pusat,” jelasnya dalam satu sidang media selepas Majlis Pemberian Hak Milik Individu kepada penduduk Taman Murni di sini pagi tadi.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat menerusi menteri kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Noh Omar mendakwa Selangor akan berhadapan dengan krisis air jika projek pemindahan air Langat 2 tidak diteruskan di Selangor.

Akan tetapi Kerajaan Selangor berpendirian bahawa masalah bekalan air terawat adalah berpunca daripada kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menguruskan pembekalan dan pengagihan.

Kerajaan Negeri hanya akan meluluskan Langat 2 jika ia dapat mengambil alih operasi air terawat daripada Syabas.

Tetapi ini ditentang oleh Kerajaan Pusat yang mahukan Langat 2 walaupun ia akan menelan belanja RM 6 bilion.

Abdul Khalid juga mempelawa Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Kah Fui kepada forum air Selangor bagi mendengar penerangan berkenaan status bekalan air.

“Saya menjemput Datuk Seri Peter Chin untuk memberi penerangan di dalam forum air yang Kerajaan Negeri anjurkan nanti.

“Kita sudah menghantar surat jemputan tapi setakat ini tiada sebarang balasan daripadanya dan itu memang itu sudah biasa berlaku,” sindir beliau.

Kerajaan Negeri akan mengadakan forum di seluruh peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula Selasa ini khusus bagi menjelaskan kepada rakyat Selangor tentang isu air.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Charles : Jawatankuasa Air Pusat “Sia sia”, “Mengarut”, “Tidak Adil”

SHAH ALAM 22 JUL : Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk meneliti pengambil-alihan operasi Syabas oleh Selangor diselar oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kerana tidak melibatkan pemimpin Kerajaan Selangor.

Walhal jawatankuasa itu, yang diumumkan kerajaan pusat pada Julai 19, bertujuan menyelesaikan masalah bekalan dan pengedaran air terawat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Seorangpun wakil Kerajaan Negeri tidak dilantik untuk berbincang dan menyatakan pandangan dan pendirian kita dalam jawatankuasa tersebut.

“Jadi sudah tentulah rancangan penstrukturan semula air tidak akan dibincangkan. Melainkan apa yang mereka inginkan iaitu Projek Langat 2 demi mengkayakan kroni mereka sementara rakyat terus ditindas,” tegas Charles yang dihubungi.

Langat 2 merujuk kepada projek mega untuk membeli dan memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor yang akan menelan kos RM 6 bilion.

Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat berpendirian projek itu membazirkan kerana negeri mempunyai bekalan air mentah yang cukup.

Mengulas lanjut, Charles mempersoalkan keberdayaan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan isu air kerana mereka didakwa tidak mementingkan rakyat.

“Kita memandang Kerajaan Pusat sebagai hanya mengikut rentak dan kemahuan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sehinggakan rakyat menjadi mangsa dengan pelan catuan air Syabas yang tidak relevan.

“Sementara rakyat ditekan, Kerajaan Pusat pula masih gagal melaksanakan suatu pelan tindakan yang meyakinkan melainkan penubuhan jawatankuasa syok sendiri ini,” tambahnya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), , Datuk Seri Peter Chin Fah Kui beberapa hari lalu dan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman jawatankuasa itu selepas Kerajaan Selangor menyatakan hasrat untuk mengambil alih atau ?step in? operasi Syabas, syarikat swasta yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus air terawat dan pengederan air kepada pengguna.

Proses step in ini dilakukan kerana Syabas gagal melaksanakan tugasnya sehingga berlaku ganguan bekalan air terawat di beberapa kawasan di selatan Selangor.

Jawatankuasa pusat itu turut dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Tiada wakil Kerajaan Negeri Selangor dilantik dalam jawatankuasa itu namun Peter dalam satu kenyataan menyebut pihaknya akan memanggil Kerajaan Negeri untuk memberi pandangan ?jika diperlukan?.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Selangor Sedia Beri Pandangan Dalam Jawatankuasa Kabinet

SHAH ALAM, 20 JUL : Kerajaan Negeri Selangor hari ini menyatakan kesediaannya untuk memberi pandangan berhubung penyelesaian krisis air yang didakwa berlaku kini sekiranya perlu menerusi Jawatankuasa Kabinet Khas yang dibentuk Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menghormati keputusan Kerajaan Pusat sekiranya jawatankuasa itu benar-benar berkebolehan menyelesaikan isu air.

Sebaliknya jika jawatankuasa itu gagal mencapai sebarang keputusan, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk meneruskan usaha mengambil alih pengurusan air di Selangor.

“Sesiapun yang mereka sediakan, Kerajaan Negeri merasakan tiba masanya untuk penyusunan semula industri air di Selangor dibuat. Jadi kalau kabinet berfungi atas dasar tersebut, kita boleh terima. Kalau tidak kita akan teruskan usaha untuk menguruskan penyusunan semula industri air.

“Kerajaan Negeri tiada masalah untuk berjumpa dengan mereka, malah kita boleh bawa jawatankuasa ini ke Dewan Negeri(Selangor) supaya rakyat boleh tahu isu sebenar,” katanya.

Bernama semalam melaporkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet Khas untuk memantau dan menangani krisis air di Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, jawatankuasa itu akan mengkaji semua isu, termasuk permintaan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan cadangan Syabas untuk melaksanakan catuan air.

Jawatankuasa itu terdiri daripada dirinya sendiri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik.

Ia akan diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai tindakan KeTTHA yang seolah-olah mengenepikan peranan Kerajaan Negeri dalam isu pengurusan air, Abdul Khalid dengan sinis berkata, ia adalah ‘karektor’ semula jadi Kerajaan Pusat.

Menurutnya, sehingga hari ini tindakan dan keputusan Kerajaan Pusat masih belum memihak kepada rakyat.

“Itulah karaktor semulajadi Kerajaan Pusat yang tidak boleh diubah. Saya lebih gembira tidak dipilih untuk menyertai jawatankuasa itu. Saya tak perlu bimbang kerana rakyat lebih berhak untuk tahu kedudukan sebenar.

“Kalau betul Kerajaan Pusat perlukan pandangan Kerajaan Negeri, maka saya akan bawa rakyat untuk nilai sendiri keberkesanan jawatankuasa ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Selangor Serah Notis Ambil Alih Syabas

KUALA LANGAT, 19 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor telah menyerahkan notis pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini.

Notis tersebut telah diserahkan oleh delegasi Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Selain itu turut serta dalam delegasi tersebut termasuklah Exco Kerajaan Negeri lain, Iskandar Samad, Ronnie Liu dan Dr Halimah Ali.

Penyerahan notis tersebut merupakan tindakan yang selaras dengan Klausa 32 dalam perjanjian konsesi air antara Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Syabas.

“Kita telah disambut oleh Saudara Nicholas iaitu Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri di kementerian itu, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

“Kita telah menjelaskan isu ini kepada dia, dia pun faham dan dia terima sekali kertas kerja yang kita hantar.

“Dia orang mintak kertas kerja, itu pun kita dah hantar sekali.Dia akan beri kepada menteri, tetapi masa saya dalam perjalanan ke sini tadi ada berita bahawa Menteri KeTTHA umum bahawa sekarang bukan bawah kuasa dia.,” ujar Dr Xavier ketika ditemui TVS dalam Majlis Sesi Dialog Bajet Selangor 2013 Peringkat Daerah Kuala Langat hari ini.

Ekoran kerajaan Selangor bertindak untuk memantau perjalanan operasi Syabas, hari ini kerajaan persekutuan telah membentuk Jawatankuasa Khas kabinet bagi menanganani isu Air di Selangor, Wailayah Persekutuan dan Putrajaya

“Kabinet telah wujudkan satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan beberapa Menteri dalam jawatankuasa itu termasuk dari Selangor,” katanya lagi.

Menurut Dr Xavier lagi, Kerajaan Negeri akan diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

Selain Khusrin, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk menghantar wakil di kalangan Ahli Exco atau Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.

Sementara itu, Majlis Sesi Dialog Bajet Selangor 2013 Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Seri Jugra di sini telah dihadiri kira-kira seratus peserta dari pelbagai latar belakang.

Perbincangan dan rumusan dari dialog tersebut akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk diputuskan sebelum Bajet 2013 Negeri Selangor dibentangkan pada September nanti.

Categories
SELANGOR

Pembentukan J/K Khas Kabinet Isu Air di Ragui

SHAH ALAM 19 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor meragui motif pembentukan sebuah jawatankuasa khas oleh Kabinet (special cabinet committee) untuk meneliti isu air seperti yang diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau (KeTTHA), dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Kerajaan Negeri mempersoalkan kewujudan (?the creation?) jawatankuasa khas itu sedangkan KeTTHA sudah ada.

Katanya, Kementerian KeTTHA seharusnya lebih berfungsi dan bertanggungjawab dimana Menterinya mempunyai bidang kuasa yang termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).

“Oleh kerana kuasa yang diberi kepada Menteri gagal digunakan untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air di Selangor dan Menteri KeTTHA tidak dimasukkan dalam Jawatankuasa khas cabinet tersebut, Kerajaan Negeri menyeru Menteri KeTTHA untuk meletak jawatan dengan segera, “katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mempertikaikan peranan Datuk Noh Omar dalam Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut, kerana beliau adalah Menteri Kerajaan Pertanian dan Asas Tani yang tidak mempunyai perkaitan berhubung isu serta tidak langsung melibatkan kementerian Noh.

Dilaporkan bahawa Jawatankuasa Khas ini akan meneliti semua isu berkaitan air di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Jawatankuasa khas itu, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengarah Pilihanraya BN), Dato Idris Jala, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dan Datuk Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Langat 2 : Saranan Menteri Pusat Akan Bebankan Pengguna Dengan Tariff Tinggi


SHAH ALAM, 14 JULAI : Membina loji dan projek pemindahan air Langat 2 sebelum kenaikan tariff  air dibincangkan mampu melonjakkan harga air sebanyak 70 peratus.

Oleh itu, perlaksanaan projek itu perlu ditangguhkan sehingga kuasa pengurusan seluruh industri air dikembalikan daripada syarikat konsensi kepada kerajaan negeri, kata Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar.

Xavier menyifatkan saranan dua Menteri Kerajaan Pusat Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Datuk Seri Noh Omar agar Langat 2 disegerakan dan perbincangan tariff dilakukan kemudian, sebagai ?tidak bertanggungjawab?.

Kenyataan Peter (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dan Noh (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dianggap seolah-olah untuk Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

“SYABAS adalah sebuah syarikat ‘profit making’ kerana selepas projek ini siap, SYABAS akan mengenakan tarif air yang tinggi sehingga 70 peratus kepada rakyat Selangor bagi membayar balik kos projek ini,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Di satu forum air pada Julai 12, Noh berkata beliau dan kerajaan pusat sedia untuk berbincang mengenai kenaikan tariff air sekiranya Kerajaan Selangor meluluskan projek Langat 2 dahulu.

Di laporkan sebelum ini bahawa Kerajaan Selangor mahu pengurusan industri air seperti pengedaran, operasi rawatan dan kuasa menentukan harga dikembalikan ke kerajaan negeri seperti termaktub di dalam Akta Perkhidmatan Air 2006.

Kerajaan Negeri sedang mendesak Kerajaan Pusat supaya proses tersebut berlaku sebelum Langat 2, yang akan menelan kos RM6 bilion, dilaksanakan.

“Peter Chin seharusnya menggunakan kuasanya untuk menguatkuasa akta tersebut bagi menyelesaikan krisis air di negeri ini,” kata Dr Xavier  yang juga terlibat dalam menyelesaikan isu air di Selangor.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa tujuh empangan yang membekalkan air mentah di negeri ini mencukupi dan tiada keperluan bagi mengambil air daripada Pahang seperti yang akan dilakukan oleh Langat 2.

Katanya, Kerajaan Negeri terpaksa membayar royalti air kira-kira RM 60 juta setiap tahun kepada Pahang sekiranya projek ini diteruskan.

Menurutnya, Selangor memahami bahawa Kerajaan Pusat didesak oleh Japan International Cooperative Agency (JICA) iaitu pihak yang memberi pinjaman untuk projek ini.

“Kerajaan Negeri faham bahawa sebahagian dana pinjaman kos projek ini telah digunakan dan berpendapat tiada sebab ianya harus diteruskan tanpa memikirkan ianya akan membebankan rakyat Selangor,” ujarnya.

Selain itu, rakyat Selangor akan melakukan ‘referendum’ samada mahukan projek Langat Dua ini diteruskan atau tidak di dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

“Saya minta menteri-menteri yang ‘beriya-iya’ mendesak mahukan projek itu disegerakan agar belajar bersabar,” katanya.