Categories
SELANGOR

MB: Saham Air Jadikan Rakyat Selangor ‘Taukeh’ Industri Air Selangor

mb speech bunga 01

SHAH ALAM, 16 MAC: Rakyat Selangor bakal menjadi ?taukeh? dalam industri air Selangor apabila Kerajaan Negeri menerbitkan saham air satu hari kelak, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid lagi, langkah perkongsian kerajaan dan rakyat dalam industri startegik itu boleh dilaksanakan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum ini.

“Semasa saya di PNB, sembilan juta bumiputra beli saham amanah PNB dengan nilai RM 40 bilion.

“Saya yang lakukan bukan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad),” ujar beliau dalam ucapan beliau di Majlis Penyampaikan Cek Sekolah-sekolah Tamil Negeri Selangor.

Pada 6 Mac lalu, Abdul Khalid mengumumkan Kerajaan Negeri akan menerbitkan saham air Selangor sekiranya ia berjaya mengambil alih pengurusan industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan Negeri sudah menawarkan RM 9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi yang bertanggungjawab mengurus industri air Selangor.

Empat syarikat tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Syarikat Konsesi Beri Respon Positif Terhadap Tawaran Kerajaan Negeri

air-syabas_MB1

SHAH ALAM, 28 FEB : Empat syarikat konsesi yang mengurus industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula memberi respon positif terhadap tawaran RM9.65 bilion oleh Kerajaan Negeri bagi mengambil alih operasi mereka, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, keempat-empat syarikat konsesi itu telah memberi surat maklumbalas kepada Kerajaan Negeri dan ia disifatkan sebagai satu petanda baik terhadap urusan pengambilalihan industri air di Selangor.

Bagaimanapun katanya, pengumuman rasmi berhubung perkara itu hanya akan dimaklumkan lebih lanjut mulai esok.

“Selama ini Kerajaan Pusat menganggap semua syarikat konsesi akan menolak tawaran yang diberikan oleh Kerajaan Negeri, tetapi apa yang terjadi kini sebaliknya.

“Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada syarikat konsesi berkenaan untuk memberi penerangan lanjut berhubung proses pengambil alihan ini, di mana ia akan dijalankan secara berperingkat.

“Ia sekaligus menunjukkan Kerajaan Negeri tahu apa yang dilakukan demi kepentingan rakyat, ini pertama kali syarikat konsesi memberi respon kepada Kerajaan Negeri.

?Ia satu petanda baik,” katanya kepada TVSelangor dalam satu temubual eksklusif di pejabatnya di Bangunan SUK, pagi tadi.

Tambahnya, sekiranya keempat-empat syarikat konsesi itu menerima tawaran Kerajaan Negeri, maka Kerajaan Pusat tidak mempunyai sebarang alasan untuk menentang keputusan Kerajaan Negeri mengambil alih operasi air.

Beliau turut mengulangi pendirian untuk terus mempertahankan hak air demi kepentingan rakyat dan memastikan pengguna mendapat bekalan air yang berterusan dan pada harga yang berpatutan.

“Kalaulah Pakatan Rakyat (PR) tidak menang pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), tarif air di negeri Selangor sudah meningkat hampir 70 peratus dan kalau negeri ini masih ditadbir Umno-BN, saya percaya Menteri Besarnya tidak akan berani langsung menahan kenaikan air.

“Tetapi di bawah Kerajaan PR, kita sudah tunaikan janji untuk tidak menaikkan tarif air,” katanya lagi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan tawaran RM 9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi untuk ambilalih operasi mereka.

Empat syarikat tersebut adalah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash).

Tawaran itu memberi pulangan yang lebih kepada pemegang ekuiti empat-empat syarikat tersebut berbanding pulangan pada masa kini yang hanya enam peratus setahun.

Sekiranya tawaran tersebut diterima, Kerajaan Negeri akan mengurus seluruh sistem bekalan air terawat yang selama ini dilanda masalah air hilang yang agak tiggi, gangguan bekalan dan kenaikan harga yang tidak munasabah.