Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pekawanis serah lebih RM30,000 bantu Syria Care

SHAH ALAM, 15 NOV: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyerahkan RM30,360 kepada Syria Care pada 10 November lalu.

Pekawanis dalam kenyataan memaklumkan pertubuhan itu turut mewakafkan empat buah rumah di Kampung Malaysia Syria Care, Projek Wakaf Perumahan Pelarian Syria di Al Bardaqli, Atma, utara Syria.

“Dua daripada rumah itu adalah hasil usaha Yang Amat Mulia Tengku Puteri Datin Paduka Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj,” katanya dalam kenyataan di Facebook Pekawanis.

Serahan dilakukan Yang DiPertua Pekawanis, Datin Seri Masdiana Muhammad kepada Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki di kediaman Menteri Besar Selangor.

Difahamkan setakat ini 292 unit rumah bagi projek itu diwakafkan orang ramai.

Pada masa sama, Syria Care juga sedang mengumpul dana untuk menyiapkan Souq Barakah, sebuah premis perniagaan yang menjual pelbagai barangan keperluan harian seperti bahan dapur, buah-buahan dan daging mentah.

Orang ramai yang ingin membuat wakaf tunai Souq Barakah dibuka serendah RM30 dan boleh layari https://www.syriacare.org.my/shop/wakaf-tunai-souq-barakah/ untuk maklumat lanjut.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Syria Care perlu RM900,000 bantu pelarian Syria

SHAH ALAM, 7 DIS: Syria Care menyeru masyarakat negara ini agar terus memberi sumbangan kepada pelarian di Syria terutama ketika rakyat negara itu sedang berdepan dengan musim sejuk melampau.

Naib Pengerusi Syria Care, Rizal Ali berkata, secara keseluruhan pihaknya menyasarkan kutipan dana RM2.53 juta bagi membantu kira-kira 50,000 nyawa di negara terbabit.

Katanya, daripada jumlah itu Syria Care sudah berjaya meraih RM1.6 juta dan masih memerlukan dana kira-kira RM900,000 lagi bagi membantu pelarian itu.

“Malah, dana yang dikumpul ini juga hanya untuk musim sejuk dan bertepatan dengan kempen kami anjurkan iaitu Kempen Bantuan Musim Sejuk 7.0.

“Sumbangan anda amat dialu-alukan supaya pelarian tidak keresahan memikirkan nasib mahu mengharungi musim sejuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Hi-Tea Amal `Ikhlas Dari Hati’ di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad.

Pada masa sama, Rizal berkata, pelbagai kategori bantuan akan disalurkan iaitu seperti pek makanan, peralatan musim sejuk, pakaian, kayu api dan selimut.

“Alat pemanas yang dikumpulkan buat masa ini belum mencukupi dan kami masih berharap bantuan daripada anda semua,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh terus mengkreditkan wang ke akaun CIMB Islamic: 8601894560 atau Maybank Islamic: 562106653575 atau hubungi Pegawai Kewangan Syria Care di talian 011-2880982 untuk pertanyaan.