Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: RM370,000 wang dari tabung Palestin disalur dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 27 JUN: Kerajaan Negeri akan menyalurkan dana berjumlah RM370,000 melalui kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin kepada Global Peace Mission (GPM) Malaysia dalam masa terdekat.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kutipan fasa pertama perlu disalurkan segera berikutan keperluan mendesak penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

“Mesyuarat bersama Perbendaharaan Kewangan Negeri pada Jumaat lalu memutuskan supaya serahan fasa pertama ini dibuat dengan kadar segera bagi menampung keperluan rakyat di wilayah terbabit.

“Dana akan digunakan untuk membeli sebuah ambulans dan edaran bakul makanan. Kita berterima kasih kepada penyumbang kerana membantu menjayakan misi ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh berbuat demikian melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Individu atau syarikat korporat yang menyumbang layak mendapat potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (tertakluk kelulusan Lembaga Hasil Dalam Negeri).

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh dilanjut hingga Julai, orang ramai dipelawa derma tabung Palestin

SHAH ALAM, 23 JUN: Orang ramai termasuk individu dan syarikat korporat diseru menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu penduduk Palestin.

Bendahari Negeri Dr Shahril Baharim berkata kempen sehingga akhir Julai diurus mengikut Seksyen 9, Akta Tatacara Kewangan 1957 tanpa melantik mana-mana ejen bagi mengutip derma.

“Saya menyeru individu dan syarikat yang nyatakan komitmen untuk memberi sumbangan melakukannya secepat mungkin kerana kita akan mengagihkan dana ini kepada badan tertentu.

“Semua derma perlu dibuat atas nama bendahari. Kita beri jaminan ia diurus ikut peraturan kewangan betul dan tidak akan disalah guna,” katanya selepas menerima serahan Tabung Cinta Palestin Media Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Mohamed Fareed Ashaaree berkata sumbangan RM5,000 bagi membantu meringankan beban rakyat Palestin yang ditimpa masalah kemanusiaan.

“Ini bukan melibatkan isu keagamaan sahaja tetapi kemanusiaan meliputi semua masyarakat.

“Harapan kami agar semua rakyat Malaysia terus pirhatin dan menyumbang untuk membantu meringankan beban penduduk Palestin yang menghadapi masalah kemanusiaan,” katanya.

Kerajaan Selangor menubuhkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan sasaran kutipan RM1 juta bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Bantuan berkenaan dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan penduduk negara itu.

 

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA sumbang lebih RM35,000 untuk tabung kemanusiaan Palestin

SHAH ALAM, 1 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang RM35,160 untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bagi membantu rakyat Palestin.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan berkata dana dikutip melalui sumbangan kakitangan, ahli majlis dan badan dakwah pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sejak 19 Mei lepas.

Pemangku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Rashidi Ruslan

“Penerimaan warga kerja MBSA agak positif walaupun kami terpaksa bekerja dalam kedudukan 20 peratus di pejabat dan tidak menghalang untuk bersolidariti kepada rakyat Palestin,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan tabung berkenaan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Rashidi menambah pihaknya juga menzahirkan tanda simpati terhadap rakyat negara itu dengan memasang lampu melambangkan bendera Palestin di Bangunan Wisma MBSA, Seksyen 14 setiap malam sejak 17 Mei lalu.

Kerajaan Negeri melancar Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan kerjasama Global Peace Mission untuk rakyat Palestin dengan sasaran kutipan RM1 juta.

Hasil kutipan akan digunakan untuk membeli ambulans, tiga kenderaan pelbagai guna, Selangor Aid Trak (SELaid) dan pek makanan.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor yakin tabung kemanusiaan Palestin capai sasaran RM1 juta

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan Negeri yakin sasaran mengumpul RM1 juta untuk Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin mampu dicapai susulan lanjutan tempoh kutipan selama dua minggu.

Dato’ Menteri Besar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan beberapa agensi mempergiat kutipan dana bagi membantu rakyat Palestin.

“Kita sedang kumpul dari pihak berkaitan yang mungkin boleh menyampaikan sumbangan dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit terganggu.

“Bagaimanapun, kita cuba pastikan dana RM1 juta dicapai dan dapat bersama Global Peace Mission Malaysia yang akan melaksanakan projek diwar-warkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan cek cura kempen kutipan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin Palestin sumbangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kediamannya hari ini.

Sumbangan berjumlah RM35,160 disampaikan Pemangku Datuk Bandar MBSA Mohd Rashidi Ruslan.

Amirudin menambah MBSA menjadi PBT pertama negeri ini yang berjaya mengumpul dana secara berkelompok melalui sumbangan ahli majlis, badan dakwah dan warga kerjanya.

“Yang lain mungkin secara peribadi, tetapi mereka (MBSA) yang memulakan inisiatif ini dari awal sejak kempen bermula,” katanya.

Kerajaan Negeri melancar tabung berkenaan untuk rakyat Palestin selama 10 hari sejak 19 Mei, namun dilanjutkan dua minggu lagi susulan PKP.

Lebih RM350,000 berjaya dikutip setakat ini hasil sumbangan wakil rakyat, anak syarikat Kerajaan Negeri, pihak swasta dan orang ramai, selain tiga individu menyumbang barang kemas bernilai RM30,000.

Orang ramai yang ingin menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Orang ramai digalak hulur sumbangan, bantu penduduk Palestin

SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan Negeri menyeru orang ramai menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin sebagai tanda solidariti terhadap umat Islam di Palestin.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan itu dapat membantu menjayakan misi pembelian ambulans yang dilengkapi kelengkapan perubatan.

“Krisis yang berlaku saudara seagama di Gaza harus diperjuang bersama dan saya percaya banyak tabung di Malaysia diwujudkan untuk bantu mereka.

“Justeru, saya menyeru penduduk Selangor khususnya untuk bersama menggerakkan tabung kemanusiaan dengan tujuan membeli ambulans membawa mangsa keganasan Zionis dan pembelian barangan kelengkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Peduli Palestin yang disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.

Forum itu turut menampilkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Quds Foundation Malaysia Dr Sharif Amin Abu Shammala turut serta.

Sumbangan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri melancarkan tabung itu dengan kerjasama Global Peace Mission bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Kempen selama 10 hari bermula 19 Mei menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor dan salurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 – Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Media Selangor kutip derma untuk tabung Palestin

SHAH ALAM, 23 MEI: Pengurusan Media Selangor mengambil langkah prihatin dengan mewujudkan Tabung Cinta Palestin Media Selangor bagi meringankan beban mangsa kekejaman perang.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata hasil kutipan akan disumbangkan ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang dilancarkan Kerajaan Negeri pada 19 Mei lalu.

“Warga Media Selangor dialu-alukan untuk membuat sumbangan ke tabung ini secara dalam talian atau tunai ke tabung fizikal di Jabatan Kewangan dan Perolehan mulai hari ini hingga 30 Mei,” katanya.

Media Selangor dikenali sebagai Communication Corporation Sdn Bhd sejak ditubuhkan lebih 11 tahun lalu
sebagai sebahagian utama jentera penerangan Kerajaan Negeri.

Selain akhbar mingguan SelangorKini dan portal TV Selangor, Media Selangor juga menerbitkan
portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan kerjasama Global Peace Mission bagi membantu rakyat Palestin.

Kempen selama 10 hari bermula 19 Mei menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta. Sumbangan boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Bantuan akan diagihkan dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan penduduk Gaza.