Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap tahniah pelantikan mufti Selangor baharu

SHAH ALAM, 30 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan mufti Selangor yang baharu semalam.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Sahibus Samahah Dato’ Dr Anhar Opir atas pelantikan sebagai Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor ketujuh. Selamat bertugas,” tulisnya di Facebook.

Semalam, Dr Anhar menerima watikah pelantikan sebagai mufti baharu daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Peranan beliau yang sebelum ini merupakan timbalan mufti sejak 2016 berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Prof Madya Dr Miszairi Sitiris yang mengambil alih jawatan timbalan mufti.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB ucap tahniah siswa Unisel dinobat pelajar akaun terbaik negara

SHAH ALAM, 18 JUN: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah kepada graduan Universiti Selangor (Unisel) Muhammad Farid Wahid yang dinobat sebagai Pelajar Terbaik Perakaunan 2020.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook berharap pelajar tersebut terus cemerlang dan mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Tahniah diucapkan kepada Muhammad Farid Wahid, graduan Unisel yang telah menerima anugerah Pelajar Terbaik Perakaunan 2020 oleh Institut Perakaunan Malaysia (MIA).

“Acara penganugerahan telah dijalankan secara talian sewaktu Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA tahun 2021 dari 8 hingga 10 Jun 2021. Teruskan kecemerlangan dan pencapaian!,” katanya.

Menerusi kejayaan itu, Muhammad Farid bakal menerima biasiswa pembangunan profesional daripada Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan wang tunai RM500.

Beliau yang menamatkan pengajian pada Disember tahun lalu kini bekerja sebagai eksekutif junior di Petroliam Nasional Berhad (Petronas).