Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap tahniah pelantikan mufti Selangor baharu

SHAH ALAM, 30 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan mufti Selangor yang baharu semalam.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Sahibus Samahah Dato’ Dr Anhar Opir atas pelantikan sebagai Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor ketujuh. Selamat bertugas,” tulisnya di Facebook.

Semalam, Dr Anhar menerima watikah pelantikan sebagai mufti baharu daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Peranan beliau yang sebelum ini merupakan timbalan mufti sejak 2016 berkuat kuasa pada 21 Mei lalu.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Prof Madya Dr Miszairi Sitiris yang mengambil alih jawatan timbalan mufti.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Mufti Selangor: Sah bayar zakat guna Shopee, ikut hukum syarak

SHAH ALAM, 25 DIS: Pungutan zakat melalui platform e-dagang Shopee sah pada sisi agama dan tidak melanggar hukum syarak, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid menjelaskan syarikat itu tidak dilantik sebagai amil, sebaliknya hanya ejen kutipan bagi memudahkan urusan bayaran zakat.

Beliau berkata proses tersebut juga tidak melibatkan sebarang urusan akad yang wajib diuruskan oleh amil beragama Islam sahaja.

“Hanya kaedah pembayaran mereka (Shopee) sahaja digunakan bagi memudahkan proses zakat kerana masyarakat kini lebih selesa menggunakan transaksi dalam talian.

“Saya difahamkan upah syarikat itu dibayar oleh amil dan bukan ambil 1/32 atau 1/16 dari jumlah (zakat) dikutip mereka,” katanya kepada SelangorKini sambil menambah bayaran zakat tetap sah tanpa lafaz akad.

Kenyataan itu susulan pertikaian Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia semalam berhubung peranan sebenar Shopee di sebalik proses memungut zakat.

Presidennya Zamihan Mat Zin turut mempersoal kadar upah diterima portal tersebut, sama ada ia menguntungkan mana-mana pihak atau tidak.

Bermula 18 Disember, Lembaga Zakat Selangor melantik syarikat e-dagang terkemuka itu sebagai ejen kutipan zakat bagi memudahkan urusan umat Islam negeri ini.

Kaedah sama turut dilaksana pusat pungutan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mufti Selangor: Tidak wajib solat Jumaat jika tiada jemputan

SHAH ALAM,12 JUN: Ahli kariah tidak diwajibkan mendirikan solat Jumaat jika tidak mendapat jemputan atau terpilih untuk menunaikan ibadah itu, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata hukum terhadap ahli kariah juga tidak berdosa dan perlu menggantikan dengan solat zuhur.

“Sebagai umat Islam, kita perlu akur biarpun ketetapan ini amat berat untuk diterima, namun ulil amri bertanggungjawab melaksanakan langkah pencegahan terbaik demi menjaga kemaslahatan umum bertepatan dengan kaedah fiqh.

“Mengambil kira perkembangan terkini wabak Covid-19 yang masih belum ada penawarnya, langkah pencegahan untuk menjaga keselamatan dan nyawa tetap diteruskan berdasarkan prinsip maqasid syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru untuk sama-sama berdoa kepada Allah SWT supaya wabak tersebut segera diangkat bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan lebih banyak bilangan masjid yang dibuka.

Semalam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan bilangan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu berjemaah di 39 masjid di negeri ini ditambah daripada 12 kepada 40 orang berkuat kuasa hari ini.

Titah baginda jumlah itu tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid manakala jemaah diberikan kad jemputan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kutipan zakat di Selangor hanya untuk umat Islam

SHAH ALAM, 4 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa kutipan zakat di negeri ini hanya diagihkan kepada lapan golongan asnaf, termasuk asnaf fakir, miskin dan mu’allaf (saudara baru) dari kalangan umat Islam sahaja.

Titah baginda, walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan sifat perikemanusiaan namun agihan zakat yang diperolehi daripada umat Islam terutama yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu.

“Seperti yang kita sedia maklum, tanggungjawab membayar zakat adalah merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh setiap umat Islam.

“Berkaitan dengan isu agihan zakat ini, baginda mendapat nasihat daripada Mufti Selangor bahawa agihan zakat kepada bukan Islam dibolehkan hanya sekiranya ianya menjadi penyebab individu terbabit memeluk Islam di bawah asnaf Mu’allafati Qulubuhum,” titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulitnya.

Baginda bertitah, masih ramai orang Islam yang miskin di luar bandar dan juga miskin bandar yang perlu dibantu menggunakan hasil kutipan zakat.

Titahnya, hal itu kerana di Negeri Selangor, majoriti rakyatnya beragama Islam dan jumlah penduduk Islam semakin bertambah setiap tahun.

“Bagi orang-orang miskin yang bukan beragama Islam adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan menolong mereka menerusi jabatan dan agensi yang telah ditetapkan,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda juga ingin mengingatkan bahawa fungsi zakat dan cukai pendapatan adalah berbeza.

Justeru, baginda diharap masyarakat dapat memahami dengan jelas tujuan setiap badan itu ditubuhkan.

“Baginda juga mahu isu pengagihan zakat ini tidak lagi diperdebatkan secara terbuka di media massa.

“Baginda juga menyeru agar tiada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan isu berkaitan dengan agama Islam untuk meraih populariti, atau untuk mengambil hati mana-mana pihak tertentu,” titah baginda.

Terdahulu, terdapat laporan akhbar yang tular di media sosial baru-baru ini yang memetik kenyataan dua orang mufti dan seorang ahli politik yang menyentuh tentang agihan wang kutipan zakat kepada orang bukan Islam di negara ini.

Categories
SELANGOR

Kebebasan cara hidup LGBT perlu dikekang – Mufti Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 MAC: Kebebasan cara hidup golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu dibendung sewajarnya daripada terus merebak, kata Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Beliau berkata, namun kekangan terbabit bukannya bermakna Islam menghalang kebebasan, sebaliknya kebebasan Islam adalah mengikut syarak.

“Aktiviti LGBT ini sudah tentunya dilihat bercanggah dengan agama dan secara terang-terangan perjuangan mereka ialah lelaki boleh berkahwin dengan lelaki, perempuan boleh berkahwin dengan perempuan.

“Amatlah wajar sekiranya Kerajaan Negeri mengambil tindakan serius isu ini memandangkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah bertitah bahawa ancaman LGBT ibarat api dalam sekam yang sedang memusnahkan Islam dan pengikutnya dari dalam,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, Sultan Selangor menerusi akaun instagram Selangor Royal Official bertitah, fahaman liberalisme yang memperjuangkan hak kesamarataan sehingga membawa budaya LGBT perlu ditangani segera.

Titah Baginda lagi, budaya LGBT itu perlu ditangani dengan lebih berkesan agar ianya tidak menjadi satu ikutan dan ‘trend’.

Mengulas lanjut, Mohd Tamyes berkata, Islam adalah agama terpimpin serta bukannya bebas mengikut logik semata-mata.

“Sultan Selangor juga sudah menyuarakan perkara ini, tetapi kita bertindak bukan atas titah Tuanku semata-mata, sebaliknya, umat Islam ini perlu patuh pada undang-undang syarak Islam,” katanya.

Categories
AGAMA SELANGOR

LGBT penyakit mental – Mufti Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 SEPT: Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT) dianggap sebagai penyakit mental, kata Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Katanya, ‘penyakit’ itu amat membimbangkan kerana telah melawan fitrah, yang mana sepatutnya fitrah kehidupan manusia normal ialah hidup berpasangan.

“Sebagaimana telah diciptakan oleh ALLAH SWT, lelaki pasangannya
adalah perempuan. Begitu juga dengan haiwan, jantan pasangannya adalah betina.

“Berdasarkan kepada Al-Quran dan Hadith, hukum berkaitan LGBT adalah jelas haram dan bertentangan dengan ajaran lslam,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Tamyes berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan beberapa panduan hukum yang jelas bagi merungkai persoalan hukum berkaitan isu-isu LGBT.

Antaranya, melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan bahawa hukum perkahwinan antara Mak Nyah (yang telah ditukar jantina kepada perempuan) dengan lelaki adalah tidak sah dan dikira haram.

“Keduanya, hukum menukar jantina Mak Nyah adalah terang-terangan bertentangan dengan lslam kerana ALLAH SWT melarang mengubah kejadiannya, sepertimana Firman Allah dalam Surah An Nisa, ayat 119.

“Jawatankuasa Fatwa turut memutuskan bahawa wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki iaitu Pengkid adalah haram di sisi lslam,” katanya.

Jabatan Mufti turut menegaskan, penetapan hukum terbabit bagi mendidik masyarakat supaya lebih peka dalam memahami dan melaksanakan hukum yang telah diputuskan para ulama berautoriti dalam negara.

Categories
SELANGOR

Galak bayar zakat fitrah ikut beras dimakan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Umat Islam di Selangor digalakkan mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan walaupun kadar zakat fitrah di Selangor kekal RM7.

Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mengeluarkan zakat fitrah mengikut beras yang dimakan adalah bertepatan dengan kehendak hadis.

“Dalil ini disebut di dalam hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari, Abu Said al-Khudri seorang sahabat nabi telah berkata bahawa mereka mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ makanan, mengikut apa yang mereka makan.

“Mengikut pandangan ulama, wajib zakat fitrah adalah mengikut apa yang menjadi kelaziman seseorang itu makan.

“Sebagai contoh, bagi mereka yang biasa membeli beras RM2.60 sekilogram, kadar zakat dibayar ialah RM7, manakala mereka yang makan beras Gred Super berharga RM8 sekilogram, kadar zakat adalah RM20.80,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Tamyes berkata, menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang biasa dimakan bukanlah perkara baru kerana ia telah dibuat oleh pengeluar zakat yang berkemampuan.

“Kewajipan zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan dan menguji keimanan. Andai kita menjadi pemurah bermakna kita berjaya mengikis penyakit bakhil.

“Sehubungan itu, bagi membantu umat Islam mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,760 penolong amil fitrah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Mufti Selangor: Tumpu usaha banteras zina, bukan berpolemik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OGOS: Perbuatan zina wajar diberi perhatian berbanding isu nama anak tak sah taraf berbin atau berbintikan nama bapa biologinya, kata Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Katanya, isu hangat dibangkitkan kini hanya menyebabkan kekeliruan nasab umat Islam dan mengundang pelbagai masalah dalam pelaksanaan undang-undang kekeluargaan Islam berkaitan perwalian, hadhanah (penjagaan anak) serta pengagihan harta pusaka bagi orang Islam.

Bagaimanapun, katanya, keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sebagai badan penyelaras di peringkat pusat mengenai anak tak sah taraf juga perlu dihormati bagi mengelakkan kekeliruan dan perpecahan umat.

“Perlu ditegaskan bahawa menurut Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 fatwa disiarkan dalam Warta hendaklah mengikat orang Islam di Selangor sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi Islam untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu.

“Seksyen sama juga memperuntukkan bahawa sesuatu fatwa yang telah diwartakan hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah di dalam negeri berkenaan tentang semua perkara yang dinyatakan dalamnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Jawatankuasa Fatwa Selangor juga menyokong tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang masih merujuk kepada keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu pendaftaran bagi anak tak sah taraf yang melibatkan orang Islam kerana berkaitan dengan Hukum Syarak.

“JPN masih terikat untuk mematuhi undang-undang Syariah yang terpakai ke atas orang Islam. Kita juga mengalu-alukan tindakan JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu ke Mahkamah Persekutuan dan Mais akan memohon kebenaran mencelah dalam rayuan terbabit.

“Ini adalah sebagai usaha memelihara agama dan memartabatkan kedudukan undang-undang Islam di negara ini selaras dengan kehendak hukum syarak dan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Negeri,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Selangor membuat fatwa berdasarkan seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang diwartakan pada 28 April 2005 yang menghuraikan keadaan-keadaan boleh mengesahkan status anak itu sebagai anak tak sah taraf.

“Pertama, anak dilahirkan tanpa nikah sama ada hasil daripada zina, rogol atau melalui cara saintifik yang bertentangan dengan Hukum Syarak.

“Kedua, anak dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘imkan al-dukhul’ dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.

“Ketiga, anak dilahirkan lebih daripada enam bulan dua lahzah qamariah dari waktu ‘iimkan al-dukhul’ selepas akad sah, namun demikian terdapat pengakuan daripada suami atau isteri bahawa anak yang lahir itu adalah hasil daripada persetubuhan luar nikah,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa juga menegaskan bahawa sebarang pertikaian hendaklah dirujuk kepada pihak berkuasa utama dalam Hukum Syarak yang diiktiraf oleh undang-undang.

LZS serah bantuan zakat RM2.1 juta

17 syarikat dan individu turut menerima anugerah sempena Majlis Anugerah dan Penghargaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) 2015.

LZS sumbang 130 komputer riba kepada siswa keluarga fakir miskin

Sebanyak 130 buah komputer riba dengan nilai keseluruhan berjumlah RM256,100 disumbangkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada siswa dari keluarga fakir dan miskin di lapan buah universiti tempatan.

Majlis disempurnakan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Bantuan komputer riba ini diberikan sebagai kemudahan tambahan kepada mereka selain menerima bantuan sara diri sebanyak RM3,000 setahun termasuk pembiayaan yuran pengajian oleh LZS.

Sehingga September 2014, sejumlah 6,227 orang mahasiswa asnaf fakir dan miskin dibiayai LZS untuk melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS seluruh negara melibatkan pengajian dari peringkat sijil hingga ke doktor falsafah.