SHAH ALAM, 8 FEB : Tindakan Kerajaan BN mengundang artis popular Korea Selatan, Psy sempena Tahun Baru Cina di Pulau Pinang bukan sahaja membazir malah bertentangan dengan usaha kerajaan yang ingin mendidik rakyat hidup berjimat cermat.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul berkata kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, di satu sisi mengesa rakyat hidup berjimat, di satu sisi yang lain kerajaan sendiri berbelanja besar.
Menurut Johari, tindakan itu juga jelas mencerminkan percanggahan terhadap cara kerajaan mendidik rakyat.
Johari menambah, Pakatan Rakyat tidak berhasrat menghalang BN untuk membuat sebarang program sempena tahun baru berkenaan, bagaimanapun ia tidak perlu membazir.
“Ia tetap bercanggah dengan seruan kerajaan khususnya Datuk Seri Najib Razak yang mengesa rakyat untuk berjimat cermat dalam menghadapi masa-masa yang sukar, itu sahaja bukannya kita menghalang sekadar memberi pandangan.
“Kerajaan menghulurkan bantuan BR1M dan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada pelajar dengan tujuan menampung kos kehidupan rakyat.
“Dalam masa yang sama kerajaan juga belanja RM2 juta untuk persembahan PSY 30 minit, itu jelas satu pembaziran walaupun kerajaan mendakwa itu adalah duit parti, bukannya duit rakyat, tetapi pada saya ia tetap suatu pembaziran,”ujarnya.
Johari berkata demikian sebagai mengulas hasrat BN Pulau Pinang menjemput Psy yang terkenal dengan tarian gangnam style untuk membuat persembahan di Pulau Pinang.
Perkara ini turut mendapat reaksi daripada ketua Menteri Pulang Pinang, Lim Guan Eng yang menggesa rakyat Pulau Pinang agar memakai baju berwarna kuning, hijau dan merah ketika menghadiri majlis sambutan tersebut.
Menurut Lim, mengenakan baju kuning sebagai tanda sokongan kepada Bersih, hijau untuk alam sekitar dan merah untuk Pulau Pinang.
Majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran BN negeri Pulau Pinang akan diadakan pada 11 Februari di padang Sekolah Han Chiang.
Selain Psy, majlis tersebut turut menampilkan persembahan penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah serta pertunjukan Chingay, badut, nyanyian dan tarian masyarakat Cina.