Categories
PBT SELANGOR

‘Sepang DiHati, Jom Bercuti @Sepang’ ganti TMS2020

SEPANG, 3 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memperkenalkan ‘Sepang DiHati, Jom Bercuti @Sepang’ Julai lalu untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan berkunjung ke Sepang tahun ini.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata program itu menggantikan Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020) yang terpaksa dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

“Sebelum ini, TMS 2020 mensasarkan pelancong luar negara dan tempatan tetapi disebabkan Covid-19, kita tidak lagi dapat menarik pelancong luar, tetapi menumpukan pelancong tempatan sahaja.

“Buat masa ini, hebahan mengenai program berkenaan giat dilakukan menerusi media sosial majlis dan sambutan diberikan amat memuaskan,” katanya kepada media di ibu pejabat MPSepang, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abd Hamid turut menggesa pemain sektor pelancongan supaya memanfaatkan inisiatif yang dilaksanakan Kerajaan Selangor khusus menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin.

“Kami juga menyarankan supaya mereka yang ingin melakukan penangguhan sewa supaya bersemuka dengan MPSepang tetapi perlu mengemukakan butiran terperinci,” katanya.

TMS 2020 sebelum ini menyasarkan lima juta pelancong berkunjung ke Sepang dengan hasil pendapatan RM5 billion.

Jumlah tersebut disasarkan melibatkan 80 peratus pelancong tempatan dan 20 peratus pelancong antarabangsa.

 

Categories
SELANGOR

TMS2020: MPSepang sedia pelbagai produk menarik

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 8 APR: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) komited menyediakan pelbagai produk menarik bagi menarik pelancong hadir ke daerah itu sempena kedatangan Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020).

Yang Dipertuanya, Mohd Fauzi Yatim berkata, banyak program sudah dirangka antaranya memperkenalkan lokasi tarikan pelancong dan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terdapat di Sepang.

Katanya, pihaknya juga akan memperkenalkan Dragon Fruit Festival @ Sepang yang sememangnya amat terkenal di daerah itu.

“Kita juga sedang merangka untuk mengabungkan penginapan sama ada di homestay atau hotel dengan aktiviti di dalam satu pakej pelancongan bagi memudahkan mereka ketika bercuti di sini.

“Menariknya, Sepang mempunyai dua pintu masuk utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sekali gus memudahkan kita untuk mempromosikan setiap pakej yang ada kepada mereka di situ,” katanya.

Terdahulu, MPSepang menyasarkan seramai lima juta pelancong membabitkan 80 peratus pelancong domestik dan 20 peratus pelancong antarabangsa, akan hadir ke daerah itu sekali gus mampu menjana pendapatan RM5 bilion.

MPSepang juga akan meningkatkan promosi menarik lebih ramai pelancong dari Singapura, China, Jepun, Korea Selatan dan Australia selain pelancong tempatan, dengan tema ‘Sepang Gerbang Negara’.

Bagi meningkatkan promosi itu, MPSepang sudah mengadakan Pra-Pelancaran TMS2020 di Internationale Tourismus Borse (ITB) Berlin, Jerman, baru-baru ini.

Selain itu, pihaknya juga sudah mengadakan Jelajah Sepang Motorbike di beberapa negeri seluruh Malaysia bertujuan mempromosikan TMS2020.

Categories
SELANGOR

MPSp jaya pra-pelancaran TMS2020 di Jerman

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEPANG, 13 MAC: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) mengadakan Pra-Pelancaran Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020) di Internationale Tourismus Borse (ITB) Berlin, Jerman, baru-baru ini.

Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata, dengan pelancaran itu, mereka menyasarkan pelancong dari Eropah sekali gus memperkenalkan lokasi tarikan pelancongan dan produk Industri Kecil & Sederhana (IKS) yang terdapat di daerah Sepang.

Katanya, MPSp menyasarkan kehadiran 80 peratus pelancong domestik dan 20 peratus pelancong antarabangsa.

“Sasaran kedatangan pelancong ke daerah Sepang adalah seramai lima juta pelancong dan pendapatan sebanyak RM5 bilion.

“Antara program diadakan di bawah TMS2020 adalah Cultural Festival, TMS2020 Run Tournament, River Cruise @ Sungai Sepang Besar, Local Product @ Sepang.

“Selain itu, Dragon Fruit Festival @ Sepang, Shopping Destination @ Sepang, Bagan Lalang Beach Festival, MotoGP, Malaysia Agricultural, dan Horticulture & Agro Tourism (MAHA), katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, MPSp yakin menjadi daerah pelancongan dinamik dengan adanya lapangan terbang utama negara, litar Sepang dan Cyberjaya.

“Dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sebagai pintu masuk utama ke Malaysia yang terletak di daerah Sepang.

“Serta Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) dan Cyberjaya, Sepang dilihat bersedia dijelmakan sebagai daerah pelancongan dinamik,” katanya.

MPSp juga akan meningkatkan promosi menarik lebih ramai pelancong dari Singapura, China, Jepun, Korea Selatan dan Australia selain pelancong tempatan, dengan tema ‘Sepang Gerbang Negara’.