Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sesi prasekolah, tahun satu dan dua bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Segala persiapan diatur bagi menyambut kehadiran murid prasekolah, tahun satu dan tahun dua di sekolah rendah seluruh negara hari ini, selepas ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Bagi murid yang belum mempunyai pakaian seragam, Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan mereka memakai pakaian biasa ke sekolah dan kebenaran tersebut diberikan sehingga 26 Mac ini (apabila cuti penggal pertama bermula).

Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 Nov tahun lepas, juga menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta tatacara operasi piawai (SOP).

Tidak mengambil mudah aspek SOP, KPM mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara.

Ia mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek merangkumi bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika pulang ke rumah.

Selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini.

Bagi murid tahun tiga hingga tahun enam mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 5 April bagi negeri-negeri lain.

Sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta akan dibuka semula pada 8 Mac.

Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri di Sarawak ditangguhkan sehingga 14 Mac disebabkan situasi semasa Covid-19 di kawasan itu.

Walaupun keadaan pandemik Covid-19 masih belum reda di Malaysia dan terdapat juga beberapa negeri yang masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembukaan semula sekolah dilihat perlu bagi mengimbangi keperluan akses pendidikan dalam persekitaran yang selamat bagi memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prasekolah, tadika dibuka Rabu ini, persiapan rapi ikut SOP

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Menjelang pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta, yang dijadual bermula Rabu ini (1 Julai), ibu bapa semestinya sibuk menguruskan persiapan anak-anak selepas lebih tiga bulan tidak ke sekolah, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam kalangan ibu bapa, pastinya ada yang masih ragu-ragu untuk menghantar anak ke sekolah, memandangkan negara masih belum diisytiharkan bebas Covid-19.

Justeru dalam hal ini, pihak pengurusan memainkan peranan utama memastikan pusat pendidikan itu bersedia, dengan tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan bagi menjamin keselamatan si cilik, semasa waktu pembelajaran.

Aspek jarak sosial, pergaulan murid serta kebersihan sekolah perlu diberi perhatian, apa lagi melibatkan kanak-kanak yang sentiasa aktif dan gemar melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.

Selain prasekolah, tabika dan tadika yang akan dibuka semula pada 1 Julai, beberapa sektor lain turut dibenarkan beroperasi termasuk, pusat spa, ‘wellness’ dan urut kaki, aktiviti menonton wayang, teater dan ‘live event’, serta penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus atau latihan.

Bermula tarikh itu juga, kerajaan turut membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat, majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir, serta aktiviti riadah kolam renang di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar dan kolam renang persendirian.

Hari ini, merupakan hari ke-20 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sejak ia dikuatkuasakan pada 10 Jun lepas.

Jika dilihat, satu demi satu kelonggaran telah diberikan namun masyarakat diingatkan supaya tidak alpa dengan kebebasan yang ada, kerana negara masih berperang dengan Covid-19.

Orang ramai perlu terus meningkatkan pematuhan SOP seperti yang sering diingatkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang medianya, termasuk menjaga jarak sosial, kerap mencuci tangan, memakai pelitup separuh muka dan elak bertutur dengan jarak dekat.

Setakat semalam, jangkitan Covid-19 di Malaysia kekal dua digit apabila 18 kes positif wabak itu, dilaporkan menjadikan jumlah kes kumulatif dalam negara adalah 8,634 kes dengan kebolehjangkitan 195 kes.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 121 kes atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Selamat kembali ke sekolah, patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Selepas hampir tiga bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan pandemik Covid-19, sesi persekolahan melibatkan pelajar yang mengambil peperiksaan awam dimulakan semula hari ini.

Perasaan gembira berbaur khuatir pasti dirasai golongan pelajar, guru dan ibu bapa, namun dengan kes Covid-19 yang semakin terkawal, pembukaan ini diyakini berjalan lancar berpandukan tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dengan persiapan rapi yang dilaksanakan pihak sekolah serta pematuhan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah, pembukaan sektor pendidikan dilihat penting terutama bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam.

Pelajar tersebut akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Atas faktor ini juga, Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian tidak akan menangguhkan pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Pematuhan SOP, Periksa Suhu

Antara SOP pembukaan semula sekolah adalah pemeriksaan suhu setiap hari bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah iaitu mereka dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah dan aktiviti di luar bilik darjah, seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

Menerusi tinjauan yang dilakukan Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin semalam, beliau berpuas hati melihat semua pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa sudah melakukan persiapan yang cukup untuk pembukaan semula sekolah.

Menurut beliau, KPM akan menganalisis situasi selepas Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima memulakan kelas dan berbincang semula dengan KKM serta Majlis Keselamatan Negara sebelum memutuskan bila pelajar lain boleh kembali ke sekolah.

Situasi Covid-19

Mengenai situasi Covid-19 pula, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam memaklumkan hanya tiga kes baharu direkodkan, angka antara paling rendah selepas hanya dua kes baharu pada 10 Jun lepas, selain tiada kematian dicatatkan, menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

Apapun yang diputuskan kerajaan, wajar untuk rakyat Malaysia optimis bahawa negara semakin menghampiri garis untuk bebas daripada pandemik Covid-19 dengan mematuhi SOP dan kawalan kendiri yang tinggi.

Namun perlu diingat, rakyat tidak boleh alpa dengan segala kelonggaran yang diberikan kerajaan kerana segalanya kini berada di tangan 32.7 juta rakyat Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembukaan prasekolah, tadika 1 Julai tidak ditangguh

IPOH, 23 JUN: Pembukaan prasekolah, tabika serta tadika kerajaan dan swasta yang dijadual bermula 1 Julai ini tidak akan ditangguhkan, kata Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata ini kerana keputusan membuka semula adalah disebabkan permintaan daripada ibu bapa bekerja yang memerlukan anak mereka dihantar semula ke prasekolah atau tadika.

“(Pembukaan semula prasekolah) perlu diteruskan …jika ada prasekolah yang mempunyai masalah nanti kita cuba selesaikan. Persiapan telah kita buat dan ambil maklum bila ada keperluan, dan telah diberi kelulusan, perlu diteruskan,” katanya.

Dr Mah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau persiapan sempena pembukaan semula sesi persekolahan melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam mulai esok di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent di sini yang turut disertai Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali hari ini.

Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta agar kerajaan menangguhkan pembukaan prasekolah dan tadika yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Presiden NUTP Aminudin Awang berkata pihaknya mendapati kebanyakan prasekolah dan tadika belum bersedia untuk beroperasi berikutan kekangan infrastruktur dalam memenuhi tatacara operasi piawai (SOP) kerajaan.

Sementara itu, Dr Mah berkata berdasarkan hasil lawatan pihak Kementerian Pendidikan ke beberapa sekolah menengah mendapati segala persiapan berjalan lancar dan sempurna sebelum sesi persekolahan bermula esok.

“Kita akan teruskan lawatan ke sekolah yang lain untuk memastikan kesemua sekolah telah bersiap siaga untuk pembukaan semula sekolah dan setakat ini didapati kesemuanya bersiap sedia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Semai amalan kebersihan anak-anak sebelum prasekolah, tabika dibuka

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Ibu bapa perlu menyemai kepentingan penjagaan kebersihan serta amalan jarak sosial kepada anak-anak sebelum prasekolah dan tabika dibuka semula dalam tempoh dua minggu lagi.

Apatah lagi anak-anak pastinya teruja bertemu kembali rakan yang ‘terpisah’ sejak kira-kira tiga bulan lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sebelum diteruskan dengan PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei dan PKP Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun.

Meskipun tatacara operasi piawai (SOP) terperinci akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengelak jangkitan Covid-19, ibu bapa seharusnya memainkan peranan membantu memudahkan tugas para guru untuk membiasakan anak-anak mengamalkan normal baharu di institusi pendidikan awal itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pembukaan semula semua prasekolah dan tabika bermula 1 Julai ini dengan SOP terperinci dijangka diumumkan KPM dalam masa terdekat.

Ia membabitkan 6,216 prasekolah di bawah KPM; 7,887 prasekolah swasta; 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta 8,530 tabika kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad berkata kanak-kanak yang diterap dengan penjagaan kebersihan akan mempraktikkan amalan tersebut.

“Di tadika memang sudah diajar aspek kebersihan dan anak-anak memang amalkan basuh tangan ikut langkah 20 saat.

“Jika ibu bapa turut bantu terapkan nilai yang sama di rumah, normal baharu akan jadi biasa dan risiko di tadika boleh diatasi kerana anak-anak dah biasa diterapkan dengan amalan kebersihan seperti cara basuh tangan untuk elak jangkitan virus.

“Jadi, mereka lebih mudah faham jika kita (guru) minta lakukan,” katanya kepada Bernama.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 8,494 kes positif Covid-19 dengan 121 kematian.

-BERNAMA