Categories
AGENDA NASIONAL

Panggilan ke Talian Kasih melonjak kepada 153,024 tahun lalu

PUTRAJAYA, 3 FEB: Jumlah panggilan ke Talian Kasih 15999 melonjak secara mendadak tahun lalu iaitu 153,024 berbanding 25,868 panggilan pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semalam.

Kementerian tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan itu berlaku ekoran perluasan skop perkhidmatan iaitu perkhidmatan tele-kaunseling dan penggunaan aplikasi whatsApp.

Menurut kenyataan itu peningkatan itu juga membuktikan bahawa Talian Kasih memainkan peranan yang dominan untuk mendengar keluh-kesah rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Talian bebas tol itu diwujudkan pada 2015 bagi menangani isu berkaitan kumpulan sasar kementerian, antaranya, penderaan kanak-kanak dan wanita, kaunseling, gelandangan, pembuangan bayi, masalah sosial remaja, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan isu pemerdagangan orang.

“Sistem perkhidmatan Talian Kasih 15999 sedang ditambah baik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Orang ramai diseru memanfaatkan talian itu dalam usaha mewujudkan masyarakat cakna dengan persekitaran termasuk isu penderaan kanak-kanak yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ramai makin cakna perkhidmatan talian kasih – Dr Wan Azizah

PUTRAJAYA, 30 JAN: Talian Kasih 15999 menerima 25,868 panggilan pada 2019 meningkat lebih 70 peratus berbanding 15,046 panggilan tahun sebelumnya menunjukkan semakin ramai orang awam cakna mengenai perkhidmatan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata panggilan tertinggi yang diterima Talian Kasih 15999 ialah melibatkan penderaan kanak-kanak dan masalah keganasan rumah tangga.

“Kita melihat masalah terjadi apabila bapa mendera ibu, ibu pula mendera anak jadi kita mahu pecahkan kitaran keganasan ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini hari ini.

Talian Kasih 15999 adalah saluran untuk membantu masyarakat yang menghadapi masalah sosial berkaitan kebajikan, talian kanak-kanak, kaunseling, penderaan, pembuangan bayi, masalah sosial dalam kalangan remaja, perkhidmatan kesihatan reproduktif, dan perlindungan kepada yang memerlukan.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, Dr Wan Azizah berkata jumlah panggilan yang diterima agak mendatar namun hasil promosi agresif KPWKM, perkhidmatan talian itu semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Berikutan kepentingan saluran aduan tersebut kepada orang awam, KPWKM hari ini melancarkan Whatsapp Talian Kasih 019 26 15999 yang disediakan untuk memudahkan orang ramai khususnya golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dan pertuturan untuk mengajukan sebarang pertanyaan dan aduan mengenai krisis masyarakat setempat.

“Saluran baharu ini akan mengukuhkan lagi pengurusan penyampaian perkhidmatan yang sesuai digunakan oleh semua golongan terutamanya generasi muda yang lebih mengutamakan penggunaan media sosial dan aplikasi terkini dalam berkomunikasi,” kata Dr Wan Azizah.

-BERNAMA