Categories
AGENDA NASIONAL

Panggilan ke Talian Kasih melonjak kepada 153,024 tahun lalu

PUTRAJAYA, 3 FEB: Jumlah panggilan ke Talian Kasih 15999 melonjak secara mendadak tahun lalu iaitu 153,024 berbanding 25,868 panggilan pada tahun sebelumnya, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) semalam.

Kementerian tersebut dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan itu berlaku ekoran perluasan skop perkhidmatan iaitu perkhidmatan tele-kaunseling dan penggunaan aplikasi whatsApp.

Menurut kenyataan itu peningkatan itu juga membuktikan bahawa Talian Kasih memainkan peranan yang dominan untuk mendengar keluh-kesah rakyat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Talian bebas tol itu diwujudkan pada 2015 bagi menangani isu berkaitan kumpulan sasar kementerian, antaranya, penderaan kanak-kanak dan wanita, kaunseling, gelandangan, pembuangan bayi, masalah sosial remaja, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan isu pemerdagangan orang.

“Sistem perkhidmatan Talian Kasih 15999 sedang ditambah baik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Orang ramai diseru memanfaatkan talian itu dalam usaha mewujudkan masyarakat cakna dengan persekitaran termasuk isu penderaan kanak-kanak yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Orang ramai perlu waspada panggilan palsu dakwa daripada ‘EAIC’

PUTRAJAYA, 10 DIS: Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan panggilan telefon mendakwa sebagai pihak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan meminta sejumlah bayaran wang tunai bagi tujuan tertentu.

EAIC dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan pihaknya menerima beberapa aduan daripada mangsa yang menerima panggilan palsu sejak kebelakangan ini.

“EAIC membuat laporan polis berhubung perkara ini dan berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menyiasat panggilan palsu ini bagi melindungi kepentingan orang awam serta menjaga reputasi EAIC,” katanya.

Orang ramai yang menerima panggilan meragukan itu dinasihatkan agar berhati-hati dan mendapatkan pengesahan daripada EAIC menerusi talian dan alamat dipaparkan di portal rasmi www.eaic.gov.my.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bomba Selangor rekod 19,046 panggilan kecemasan tahun lalu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 25 JAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mencatatkan sebanyak 19,046 panggilan kecemasan, bagi tempoh Januari hingga Disember 2017.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, jumlah itu membabitkan 12,559 panggilan menyelamat, 6,396 kebakaran dan 85 tugas-tugas khas.

“Daripada jumlah itu, sebanyak enam panggilan palsu turut direkodkan dalam tempoh terbabit. Ini membabitkan kerugian hartanah dan harta benda bernilai RM832.6 juta, manakala RM29.54 bilion berjaya diselamatkan.

“Berdasarkan nilai harta yang diselamatkan, ia dapat dikaitkan dengan kecekapan operasi pemadaman oleh anggota bomba yang berjaya mengawal kebakaran dengan cepat sebelum merebak,” katanya kepada SelangorKini.

Azmi berkata, daripada kes kebakaran, jabatan itu merekodkan 31 kematian, 72 cedera, manakala 97 lagi berjaya diselamatkan.

“Sementara itu, bagi tugas menyelamat pula menunjukkan 188 kematian, 1,078 cedera dan 1,146 berjaya diselamatkan.

“Statistik turut merekodkan Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh menerima 1,356 panggilan kebakaran dan kecemasan tertinggi berbanding balai lain, dalam tempoh sama.

“Ianya meliputi 1,004 panggilan menyelamat, 347 panggilan kebakaran dan lima panggilan tugas-tugas khas,” katanya.

Beliau berkata, daripada kes kebakaran itu, tiga meninggal dunia dan satu cedera, manakala bagi kes menyelamat, seramai 13 cedera, enam selamat dan empat lagi meninggal dunia.

Ia membabitkan kerugian harta bernilai RM64 juta, manakala RM115 juta lagi berjaya diselamatkan.