Categories
ADN SELANGOR

15 mangsa kebakaran di Sri Gombak dipindah ke dewan, surau

SHAH ALAM, 1 OGOS: Seramai 15 mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran di Taman Sri Gombak malam tadi, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan berhampiran.

Tiga daripada empat keluarga yang terlibat dalam kejadian ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Makmur manakala bakinya di surau kampung berkenaan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata kesemua mangsa terselamat dan dipindahkan ke PPS dengan segera selepas kejadian itu.

“Selain itu, agihan barangan juga diberikan kepada mereka seperti toto, selimut, bantal dan barangan mandian.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut terlibat menghulurkan bantuan perlu,” kata Rahim Kasdi kepada SelangorKini.

Beliau yang hadir ke lokasi kejadian bersama Ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang Anuar Jasmin juga menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa.

Difahamkan, pihak bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian pada kira-kira 9 malam itu yang memusnahkan sama sekali lima rumah, satu bengkel dan satu stor.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga lelaki samun barang kemas RM40,000 di Gombak diberkas

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada Isnin lepas, ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata penahanan kesemua mereka berumur lingkungan 20-an dibuat susulan laporan polis oleh mangsa lelaki berumur 52 tahun memaklumkan kejadian pecah masuk oleh dua daripada suspek yang memakai topi keledar di rumahnya.

Beliau berkata kejadian pada 3.30 petang itu difahamkan berlaku ketika isteri serta anak lelaki mangsa berada di rumah.

“Seorang daripada suspek didapati mengacukan sebilah pisau ke leher isteri mangsa selain memaksanya untuk membuka peti keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Arifai, suspek kemudian bertindak mengambil barang kemas peribadi milik keluarga terbabit antaranya empat rantai emas, tiga bentuk cincin emas, empat pasang subang emas, dua gelang tangan emas, tiga rantai tangan emas serta dua loket emas selain sejumlah wang.

“Mangsa mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM40,000,” katanya.

Arifai berkata ketiga-tiga suspek terlibat ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar daerah Gombak dan Hulu Selangor dan polis turut merampas barang-barang kes dipercayai adalah milik mangsa.

Menurutnya hasil siasatan lanjut ke atas suspek didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata.

Arifai berkata siasatan lanjut masih lagi diteruskan untuk mengesan rakan sejenayah yang masih bebas selain mengenal pasti penglibatan kumpulan ini dalam kes-kes lain.

-BERNAMA