Categories
NASIONAL

Tun M cabar Appandi bersumpah setelah bercakap ‘benar’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dicabar bersumpah bahawa beliau telah bertindak adil dan amanah apabila mengambil keputusan untuk tidak mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau juga akan bersumpah bersama Mohamed Apandi.

TUN M (1)“Kenapa awak sokong dia, dia curi duit rakyat. Eh, Appandi kata dia tak curi. Appandi cakap memang ‘betul’ punyalah.

“Saya cabar Appandi untuk bersumpah dan saya berani bersumpah bersama dengan dia,” katanya pada program Nothing To Hide 2.0 (NTH 2.0) di Dewan Raja Muda Musa, di sini, semalam.

Jelasnya, kekusutan dalam negara ini tidak sepatutnya berpanjangan sebaliknya diselesaikan dengan cara mudah iaitu Umno mengadakan undi tidak percaya kepada Najib.

Bagaimanapun katanya, ahli Umno tidak mempunyai keberanian bertindak berdasarkan kebenaran tetapi lebih gemar mempertahankan pemimpin kleptokrasi.

Semalam, Najib sekali lagi gagal memenuhi undangan untuk hadir ke program NTH 2.0 yang diadakan.

Program itu diadakan bagi memberi peluang untuk Mahathir dan Najib berterus terang dalam menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan khususnya melibatkan skandal 1MDB di hadapan rakyat.