Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Najib, Shafee cabar pelantikan Sri Ram 25 Oktober

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Permohonan semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes-kes yang dihadapi mereka, akan didengar pada 25 Oktober.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili bapanya dan bekas Perdana Menteri itu memberitahu pemberita, tarikh tersebut ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Datuk Seri Mariana Yahya ketika pengurusan kes di dalam kamarnya, hari ini.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Aisyaf Falina Abdullah yang bertindak bagi pihak Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

“Dalam prosiding hari ini, SFC memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya berhasrat untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi kebenaran kepada kedua-dua anak guamnya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu.

“Namun, pihak kami masih belum menerima apa-apa dokumen berhubung rayuan berkenaan,” kata Muhammad Farhan.

Pada 20 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas menolak permohonan Najib dan Muhammad Shafee untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pelantikan Sri Ram.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi ketika membuat keputusan itu berkata permohonan Najib dan Muhammad Shafee adalah serupa dengan permohonan yang dibuat oleh mereka di Mahkamah Tinggi Jenayah.

Bagaimanapun, kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas selepas Mahkamah Rayuan pada 26 Ogos lepas, memberi kebenaran kepada bekas Perdana Menteri itu dan peguamnya untuk memulakan semakan kehakiman berkenaan setelah membenarkan rayuan mereka terhadap keputusan yang dibuat Hakim Azizah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Lau Bee Lan dan Datuk Has Zanah Mehat dalam keputusan mereka mendapati rayuan itu mempunyai merit dan mendapati bahawa sifat dan bidang kuasa permohonan semakan kehakiman serta usul penyingkiran yang difailkan di Mahkamah Tinggi Jenayah adalah berbeza.

Kedua-dua kes itu hari ini disebut di hadapan hakim lain iaitu Datuk Seri Mariana Yahya.

Pada 1 Mac lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Najib, yang kemudiannya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Jenayah itu turut gagal dalam rayuannya selepas Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lepas membenarkan bantahan awal pendakwaan untuk membatalkan rayuan Najib.

Hakim Sequerah pada 22 April lepas, turut menolak permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan surat pelantikan serta menyingkirkan Sri Ram bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes yang dihadapinya.

Sementara itu, dalam permohonan semakan kehakiman difailkan Najib dan Muhammad Shafee secara berasingan pada Disember tahun lepas, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan Peguam Negara/Pendakwa Raya yang menurut mereka, tidak mengemukakan kepada mereka salinan surat pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dan dengan itu mendakwa telah melanggar Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah.

Kedua-dua pemohon juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan atau menggugurkan pelantikan Sri Ram dengan menyatakan bahawa surat pelantikan itu tidak sah, dan memohon pengisytiharan bahawa terdapat percanggahan kepentingan dalam pelantikan itu.

Turut dipohon perintah untuk melarang Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes yang dihadapi mereka, termasuk dalam kes rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permohonan Shafee dapatkan pasport ditolak

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi empat pertuduhan termasuk dua tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi mengendalikan kes jenayah di Australia.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada pendakwaan dan pembelaan bagi permohonan Muhammad Shafee, yang turut menghadapi dua tuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), didengar dihadapannya.

Beliau berkata surat bertarikh 13 Mei, 2019, meminta Muhammad Shafee ke negara itu hanya untuk membantu kes.

“Kehadiran pemohon (Muhammad Shafee) di tempat tahanan itu bertujuan untuk menterjemah ke dalam bahasa Melayu … beliau boleh menghantar wakil dari firmanya.

“Oleh itu, jelas sekali bahawa kehadiran pemohon hanya untuk membantu kerana telah ada peguam Australia,” katanya sambil menambah bahawa tidak ada alasan yang kukuh bagi Muhammad Shafee untuk berada di mahkamah di sana.

Sequerah berkata rasional arahan kepada pemohon supaya menyerahkan pasport ialah kerana seriusnya pertuduhan yang dihadapinya.

“Kemungkinan melarikan diri perlu diambil kira. Oleh itu permohonan untuk pelepasan sementara pasport ditolak,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, yang mengetuai pasukan pendakwaan, membantah permohonan itu atas alasan tiada sebab bagi Muhammad Shafee berada di mahkamah berkenaan memandangkan kes itu boleh dikendalikan wakilnya.

“Tertuduh perlu diperlakukan sama seperti tertuduh yang lain. Beliau tidak sepatutnya diberikan layanan istimewa hanya kerana menjadi anggota Badan Peguam Malaysia,” hujah beliau.

Peguam Muhammad Shafee, Harvinderjit Singh semasa berhujah balas berkata anak guamnya mewakili seorang rakyat Malaysia yang menghadapi tuduhan berkaitan dadah di mahkamah Australia.

Muhammad Shafee mengemukakan permohonan untuk mendapatkan sementara pasportnya semalam dan hari ini Harvinderjit mengemukakan surat itu sebagai afidavit tambahan.

Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau juga minta dibicarakan atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

– BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories
NASIONAL

Ubah wang haram, peguam kanan Shafee dibicara mulai 8 Julai

KUALA LUMPUR, 16 APR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan lapan hari bermula 8 Julai untuk perbicaraan kes peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh 8 Julai hingga 11 Julai dan 15 Julai hingga 18 Julai ketika pengurusan kes hari ini.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan dan pihak peguam bela yang diketuai peguam Harvinderjit Singh tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap tarikh berkenaan.

Pada 13 September tahun lepas, Muhammad Shafee, 66, mengaku tidak bersalah membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya dan didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, J2 dan K1, Taman Tunku, Bukit Tunku.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang membawa hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berhadapan dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim pada 3 Mac 2015 dan pada 29 Jun 2015.

Bagi perbuatan itu, Muhammad Shafee berhadapan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Sebelum ini, Muhammad Shafee gagal dalam usaha untuk mencabar pelantikan Sri Ram untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kesnya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah benar permohonan Muhammad Shafee dapatkan sementara pasport

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi dua tuduhan pengubahan wang haram dan dua tuduhan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), untuk mendapatkan sementara pasportnya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pelepasan sementara dokumen perjalanan Muhammad Shafee, 66, selepas peguamnya Rahmat Hazlan memaklumkan tertuduh perlu ke Australia pada 22 hingga 25 Februari ini untuk mengendalikan satu kes jenayah di Sydney.

“Beliau juga akan ke Jakarta, Indonesia untuk satu lagi urusan pada 1 hingga 3 Mac depan,” katanya semasa pengurusan kes itu, lapor BERNAMA.

Muhammad Shafee hadir pada prosiding itu.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan itu.

Hakim Collin membenarkan pelepasan sementara pasport itu bermula hari ini sehingga 5 Mac 2019 dan memerintahkan tertuduh mengembalikan semula pasportnya kepada mahkamah pada tarikh terbabit.

Pada 13 September tahun lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan membabitkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Septtember 2013 dan 17 Februari 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi yang membabitkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Bagi pertuduhan itu, Muhammad Shafee didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 September 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Categories
NASIONAL

Shafee Abdullah didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dan membuat penyata tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu tanpa menyatakan jumlah RM9.5 juta dalam penyata cukainya yang bertentangan dengan akta cukai ditetapkan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, beliau didakwa membabitkan diri dengan pengubahan wang haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, pada 13 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Kedua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta serta penjara tidak melebihi lima tahun atau keduanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut dua pertuduhan berkaitan Akta Cukai, tertuduh didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada akitiviti haram, iaitu membuat penyata tidak betul bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Bagi pertuduhan itu, beliau didakwa meninggalkan pendapatan diterima pada 13 September 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan diterima, pada 17 Februari 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib.

Ia dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh dengan tertuduh dikehendaki Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Muhammad Shafee didakwa melakukan kedua kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Afzainizam Abdul Aziz.

Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinder Singh, Chetan Jethwani, Datuk Hasnal Rezua Merican, Sarah Abishegan, Rahmat Hazlan dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

*Sumber: BERNAMA