Categories
AGENDA NASIONAL

Bekas AG nafi putuskan gugur pertuduhan terhadap Riza Aziz

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas sekali lagi menafikan bahawa beliau telah membuat keputusan untuk menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz, yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Merujuk kenyataan akhbar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 Mei yang menyebut antara lain bahawa “persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas,” beliau berkata ia adalah satu pembohongan.

Thomas menjelaskan bahawa satu-satunya keputusan yang dibuatnya dalam kes itu selain mendakwa Riza ialah melantik Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan.

“Selepas itu saya menyerahkan tugas untuk mengendalikan kes itu kepada beliau dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dari Jabatan Peguam Negara (AGC) yang membantu Sri Ram,” katanya.

Beliau berkata melalui surat bertarikh 18 November 2019, peguam yang mewakili Riza telah menyerahkan satu representasi memohon semakan terhadap pertuduhan jenayah yang dikemukakan terhadap anak guam mereka.

“Representasi bertulis diterima oleh AGC setiap hari daripada peguam tertuduh yang berdepan perbicaraan dan rayuan bagi kes jenayah. Oleh itu, tiada apa yang pelik tentang representasi daripada peguam Riza. Sama ada saya secara peribadi bertindak menyetujui permintaan mereka untuk mendapatkan pembebasan adalah isu berbeza. Saya tidak berbuat demikian. Ia adalah sesuatu yang jelas dan mudah.

“Surat ini telah diserahkan kepada Gopal Sri Ram untuk diteliti dan mencadangkan satu respons kepada saya,” katanya.

Thomas juga berkata pada 28 Februari, beliau telah meletak jawatan sebagai Peguam Negara dan sehingga tarikh itu, beliau tidak menerima sebarang nasihat daripada Sri Ram.

“Justeru itu, saya tidak membuat keputusan mengenai representasi Riza sebelum peletakan jawatan saya,” kata beliau.

Kenyataan SPRM itu menyebut bahawa pendakwaan telah memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini agar Riza dilepas tanpa dibebaskan daripada beberapa pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya pada 5 Julai 2019.

SPRM menyatakan bahawa pembebasan itu adalah bersyarat dan pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

“Hasil keputusan ini, kerajaan Malaysia dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara yang terlibat daripada kesalahan berkenaan iaitu dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta),” kata SPRM.

Thomas, yang telah memberikan maklum balas segera terhadap kenyataan SPRM itu, berkata beliau tidak bertanggungjawab dalam isu Riza dilepas tanpa dibebaskan dan mengeluarkan kenyataan semalam untuk mengulangi pendiriannya mengenai perkara tersebut.

Susulan maklum balas itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki dilaporkan sebagai berkata SPRM berpegang pada kenyataannya mengenai perkara tersebut (bahawa Thomas telah bersetuju agar Riza dilepas tanpa dibebaskan).

Pada 5 Julai 2019, Riza, 43, yang juga pengasas Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan pengubahan wang haram.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peguam negara: Tiada pendakwaan kes video seks

SHAH ALAM, 9 JAN: Tiada pendakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak dalam siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata peguam negara

Tan Sri Tommy Thomas berkata timbalan pendakwa raya memutuskan demikian secara sebulat suara berikutan laporan analisis yang diterima polis mengesahkan pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara pasti.

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak. Selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baharu diperolehi,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Jabatan Peguam Negara dan polis telah bekerjasama menjalankan siasatan berkaitan dengan video seks yang dikatakan melibatkan personaliti politik sejak 13 Jun tahun lalu.

Sebelum ini, video seks membabitkan dua lelaki tular di media sosial diikuti pengakuan bekas Ketua Pemuda KEADILAN Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai seorang daripada lelaki dalam video tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tinjauan mesra pada pilihan raya tidak perlukan permit – Peguam Negara

PUTRAJAYA, 14 NOV: Kekecohan berhubung perlu mendapat permit polis untuk program tinjauan mesra dan berkempen dari pintu ke pintu pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, akhirnya terjawab.

Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan bahawa program tinjauan mesra atau walkabouts dan kempen dari pintu ke rumah tidak memerlukan permit.

Merujuk kepada Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang dipetik oleh polis dalam mengisytiharkan keperluan bagi permit itu, Thomas berkata “ketetapan itu tidak menyatakan secara jelas merujuk kepada tinjauan mesra dan kempen pintu ke pintu”.

“Perkataan digunakan dalam ketetapan itu tidak boleh, di bawah mana-mana keadaan, ditafsirkan diperluaskan kepada tinjauan mesra dan kempen pintu ke pintu.

“Fakta dari segi sejarah adalah sejak 1955, kaedah ini bagi merayu pengundi adalah yang paling popular digunakan oleh calon semua parti politik dan tidak perlukan permit,” katanya dalam kenyataan.

Pada Selasa, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata polis menetapkan bahawa semua parti dan calon bertanding dalam pilihan raya kecil perlu mendapat permit untuk berkempen dari rumah ke rumah.

Beliau berkata polis juga menetapkan bahawa program tinjauan mesra, yang dianggap sebagai kempen bergerak, perlu mempunyai had masa dan lokasi yang jelas untuk tujuan pemantauan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata permit akan memudahkan pemantauan, untuk memastikan perkara berkaitan keselamatan awam diberikan keutamaan, dan untuk mengelak kejadian provokasi dan pergaduhan antara parti yang bertanding.

“Ia juga memudahkan kami untuk memantau pergerakan calon-calon,” tegasnya.

Keperluan mendapatkan permit menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pemimpin parti pembangkang yang menggesa polis menyemak semua arahan bagi tinjauan mesra dan kempen dari rumah ke rumah, menyatakan ia dilihat sebagai membebankan.

Di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menyangkal dakwaan bahawa SPR mengenakan syarat perlu mendapatkan permit untuk program tinjauan mesra pada pertengahan kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

Beliau berkata SPR telah menetapkan syarat itu sebelum kempen bermula dan untuk menjustifikasikan kenyataannya, beliau berkata 42 permit bagi tinjauan mesra diluluskan polis pada hari penamaan calon itu sendiri pada 2 November.

Juga pada hari itu, SPR telah mengadakan mesyuarat dengan semua ejen dan wakil calon berhubung perkara itu, katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar daripada Barisan Nasional, sementara itu mencetuskan kekecohan dalam Dewan apabila mendesak Dewan Rakyat membatalkan syarat mendapatkan permit itu tetapi Timbalan Yang Dipertua Nga Kor Ming menjelaskan hanya Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan polis untuk berbuat demikian.

PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini (Pakatan Harapan), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian PRK itu ditetapkan Sabtu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peguam Negara: Najib atur penipuan SRC sejak dari mula

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengatur penipuan SRC International Sdn Bhd sejak permulaan lagi, di mana dia telah mendapat manfaat selama lebih daripada tiga tahun, kata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Beliau berkata, tertuduh juga merupakan “pengarah di belakang tabir” SRC yang mendapat manfaat kewangan dari tabung SRC, di mana beliau diberi amanah kawalan sepenuhnya keatas harta benda SRC.

Thomas juga berkata, Najib memiliki kepentingan terhadap SRC.

“Kepentingan yang dimiliki tertuduh disembunyikan di sebalik pelbagai tipu helah, di belakang nama orang yang tidak dapat dicari, dan watak-watak yang diragui,” katanya dalam penghujahannya di penghujung kes pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.

Bagaimanapun, Thomas berkata, fakta-fakta tetap menunjukkan bahawa tertuduh dan proksinya mengawal di belakang tabir SRC.

“Mengapa kerajaan amat berminat dan melakukan segalanya bagi membantu SRC, sebuah syarikat yang baharu dibangunkan tanpa rekod lampau, baharu beroperasi 12 bulan, dan amat berminat untuk memberi kemudahan mendapatkan pinjaman RM2 bilion, dan diikuti dengan RM2 bilion yang kedua dalam tempoh masa lapan bulan antara keduanya, kepada SRC?

“Kesimpulan yang tidak dapat dinafikan lagi adalah ia harus menunjuk kepada kepentingan tertuduh dalam SRC,” katanya.

Thomas seterusnya berhujah bahawa kuasa “melantik” dan memecat” yang diberikan oleh Perlembagaan SRC kepada tertuduh mempunyai kesan yang menjadikan beliau sebagai pembuat keputusan yang muktamad di SRC.

“Tiada keputusan-keputusan yang penting yang boleh diputuskan oleh SRC tanpa arahan daripada tertuduh, memang tidak ada,” katanya.

Najib, 66, berdepan dengan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan penggubahan wang yang melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada yang akan terlepas dalam kes Muhammad Adib

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas hari ini menegaskan tiada yang akan terlepas apabila Jabatan Peguam Negara mendapat kertas siasatan daripada polis berhubung suspek yang terbabit dengan kematian anggota Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Beliau berkata, kertas siasatan itu akan diteliti dengan berhati-hati dan secara profesional.

“Orang ramai harus diberikan jaminan bahawa pejabat Pendakwa Raya mengambil serius tanggungjawabnya di bawah undang-undang. Ini ialah janji kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau juga berkata, terdapat banyak spekulasi yang kebanyakannya memberikan maklumat yang salah berhubung langkah yang perlu diambil oleh pelbagai agensi kerajaan berikutan keputusan Koroner Rofiah Mohamad pada penghujung inkues yang dijalankan ke atas kematian tragis Muhammad Adib.

Tommy berkata, Koroner memutuskan bahawa dua atau tiga individu telah mengakibatkan kematian Adib dan mengarahkan pihak polis untuk menyambung siasatan mereka.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sudah memberikan maklum balas kepada orang ramai bahawa pihak polis akan menyiasat.

“Pihak polis harus diberikan masa dan ruang untuk menjalankan siasatan mereka. Pihak polis mempunyai sumber dan kepakaran untuk menjalankan tugas mereka di bawah undang-undang.

Selepas siasatan dilengkapkan dan pelaku suspek dikenal pasti oleh pihak polis, beliau berkata kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan syor polis.

Pada peringkat ini tugas jabatan ini bermula. Pihak jabatan perlu meneliti kertas siasatan, mempertimbangkan syor polis dan mendakwa individu-individu terlibat.

Rofiah, yang mengetuai prosiding inkues selama 41 hari untuk menentukan punca kematian Muhammad Adib, menerima keterangan saksi ke-29, ahli patologi forensik Prof Dr Shahrom Abd Wahid yang berpangkalan di United Kingdom, bahawa semasa kejadian itu, mangsa dipukul dan diseret dari van Jabatan Bomba.

Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota perkhidmatan penyelamat perubatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Disember 2018 selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.

Allahyarham cedera semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

-BERNAMA