Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 561 kes baharu hari ini, kedua tertinggi direkodkan

SHAH ALAM, 11 OKT: Jangkitan 561 kes baharu Covid-19 dengan 553 penularan tempatan hari ini merupakan kedua tertinggi selepas Selasa lalu.

Ketua pengarah kesihatan berkata pertambahan itu menjadikan keseluruhan 15,657 kes dan 4,587 merupakan kes aktif.

“Jangkitan dalam negara membabitkan 494 warga tempatan serta 59 warga asing. 11 jangkitan merupakan pengunjung pulang dari Sabah.

“Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 133 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah sembuh 10,913,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika bersiaran menerusi Facebook hari ini.

Tambahnya, ketika ini 90 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), 25 darinya memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan dua kematian menjadikan keseluruhan 157 kes. Kedua-duanya merupakan warganegara disahkan meninggal dunia di Sabah, masing-masing berusia 67 dan 63 tahun,” katanya.

Kes tertinggi dicatatkan Selasa lalu iaitu 691 kes dengan 688 jangkitan tempatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham dianugerah gelaran Tan Sri, penghargaan buat KKM

SHAH ALAM, 17 OGOS: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham merupakan antara individu dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Gelaran itu dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (hari pertama) yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya.

Dr Noor Hisham di Facebooknya berkata penganugerahan itu adalah penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ianya sekaligus merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan Kerajaan kepada penjawat awam.

“Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik Covid-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.