Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham dianugerah gelaran Tan Sri, penghargaan buat KKM

SHAH ALAM, 17 OGOS: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham merupakan antara individu dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Gelaran itu dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (hari pertama) yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya.

Dr Noor Hisham di Facebooknya berkata penganugerahan itu adalah penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ianya sekaligus merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan Kerajaan kepada penjawat awam.

“Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik Covid-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.