Categories
NASIONAL SELANGOR

Program Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam Di Sembilan Daerah Di Selangor

rodziah eksklusif pink 03

SHAH ALAM 12 JULAI : Kira-kira 10,000 wanita dijangka memperoleh manfaat daripada program khusus anjuran Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dianjurkan sempena bulan Ramadan ini.

Menurut Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, program yang akan dilaksanakan di sembilan daerah itu bertujuan untuk menyemarakkan kehadiran bulan Ramadan menerusi penyampaian ilmu daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah bagi diaplikasikan dalam kehidupan, selaras dengan misi Pemberdayaan Wanita Selangor.

“Ramadan adalah waktu yang terbaik untuk wanita berintrospeksi (menilai atau memuhasabah diri) dan melonjakkan usaha serta menambah amalan lebih daripada biasa.

“Saya juga merasakan penting bagi wanita memanfaatkan kehadiran bulan Ramadan yang penuh barakah ini, bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri bahkan mendorong anggota keluarga bersama memberdaya kehidupan ke peringkat yang lebih baik dan mempunyai nilai tambah,” jelas Rodziah dalam satu kenyataan medianya.

Program yang diberi nama ‘Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam’ itu antara lain meliputi sesi solat sunat dhuha dan tasbih, zikir munajat, majlis tadarus, penyampaian ceramah dan tayangan video Informasi Rakyat; bermula dari jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari.

tentatif-program-1

Rodziah berkata, bagi sesi ceramah, ia akan mengetengahkan tokoh-tokoh wanita Islam yang disebut dalam al-Quran terdiri daripada kalangan pembela keadilan, penasihat kepada pemimpin Islam dan Rasulullah sendiri, pejuang di medan pertempuran, ahli intelektual dan ahli perniagaan.

“Mudah-mudahan dengan ilmu yang diperolehi di dalam program Ramadan ini, wanita akan lebih serius untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat bagi menambah jatidiri serta memperoleh keberkatan di dalam kehidupan.

“Saya menyeru wanita di negeri Selangor untuk hadir memakmurkan Ramadan menerusi program Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam ini di daerah masing-masing,” ujar beliau yang juga Adun Batu Tiga.

Majlis pelancaran program peringkat negeri akan diadakan pada hari Ahad, 21 Julai 2013 di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Untuk mendapatkan tarikh dan maklumat lanjut program di setiap daerah, sesiapa yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi Asrul Yaman di talian 03-5544 7622 pada waktu pejabat.