Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Dasar Pendidikan Kebangsaan disemak semula

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014

KUALA LUMPUR 24 OKT : Pelajar di 1,854 Sekolah Janaan Rakyat (sekolah vernakular) seluruh negara akan menerima bantuan tambahan sebanyak RM300 setiap tahun melalui pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat.

Bantuan tambahan membabitkan peruntukan sebanyak RM220 juta itu adalah satu bentuk pelaburan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah berkenaan, termasuk kos penambahan bangunan serta membaik pulih infrastruktur serta kemudahan.

PR juga mensasarkan lima sekolah menengah teknik dan vokasional iaitu tiga di Semenanjung, manakala satu di Sabah dan Sarawak sebagai ‘pilot project’ penambahbaikan kelengkapan dan usahasama dengan sektor swasta bagi penawaran peluang pekerjaan membabitkan peruntukan RM20 juta bagi setiap sekolah.

Selain itu, PR juga bercadang menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6 bilion setahun untuk mengambil alih hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menampung 10 peratus kos di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA), elaun sara hidup untuk 500,000 pelajar dan tabung untuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Di bawah dasar sama, PR berhasrat menubuhkan Jawatankuasa Khas ‘Teacher Recruitment Unit and Specialist Team’ (TRUST) di setiap negeri untuk memilih guru di kalangan 30 peratus terbaik bagi setiap kumpulan dengan peruntukan sejumlah RM10 juta setahun.

Tenaga pengajar juga akan diberikan elaun khas perguruan sebanyak RM500 setiap bulan dengan kos keseluruhan RM2.4 bilion setahun.

PR turut berhasrat melaksanakan satu program khas untuk melatih guru komuniti di kalangan orang asli serta kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan kos RM10 juta setahun, selain penubuhan sekolah perdana bagi keperluan khusus kanak-kanak istimewa dengan peruntukan RM20 juta. -NFN-