Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor, Aerodyne jalin kerjasama lahirkan pakar teknologi dron

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerjasama antara Kerajaan Selangor dengan syarikat dron terkenal, Aerodyne Group mampu melahirkan pakar teknologi dron terutama dalam bidang pertanian.

Dato’ Menteri Besar berkata syarikat itu melatih pelajar Pusat Kecemerlangan (COE) sekali gus membuka lembaran baharu sektor pembangunan sumber manusia negeri ini.

Pusat itu dibangunkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC).

“Dengan lahirnya ‘pilot’ dron dan pakar mekanik akan membuka peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing khususnya dalam bidang pertanian.

“Semoga penubuhan COE, teknologi dron di STDC yang merupakan yang pertama di Malaysia ini bakal membuka lembaran baharu bagi industri aeroangkasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berkenaan di Cyberjaya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada 50 pelajar serta 20 pengajar Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang berjaya menamatkan latihan pembangunan teknologi dron.

Pada 30 Oktober ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Amirudin memaklumkan kerjasama perjanjian usaha sama dengan industri antarabangsa akan dibentuk bagi memastikan bidang latihan memenuhi piawaian.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dron bantu pihak berkuasa kumpul bukti pencemaran sungai

SHAH ALAM, 31 OKT: Teknologi dron digunakan untuk memantau pencemaran dan pencerobohan sungai di Selangor bakal membantu pihak berkuasa mengesan pesalah alam sekitar.

EXCO infrastruktur berkata gambar dirakam dron boleh digunakan untuk menghukum pihak tidak bertanggungjawab yang sering terlepas tindakan undang-undang kerana kekurangan bukti.

“Dron berkeupayaan mencerap gambar dengan jelas terutama sekiranya kesalahan dilakukan individu atau premis berhampiran sungai yang sukar diakses pihak berkuasa.

“Kita gagal dapatkan bukti dalam kebanyakan kes, jadi penggunaan dron dengan disokong rondaan selama 24 jam oleh petugas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) akan meningkatkan kecekapan operasi pemantauan sumber air,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat Pelan Perancangan Penyelesaian Bekalan Air di Sungai Selangor dan Semenyih Akibat Pencemaran di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK semalam.

Pada 21 Oktober Dato’ Menteri Besar berkata teknologi dron yang mampu terbang sejauh 1,050 kilometer sebulan bakal digunakan untuk memantau sungai di Selangor bermula November.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata teknologi tersebut dilengkapi aplikasi untuk menganalisa kualiti air, mengesan bau gas serta mencerap aktiviti kilang yang berisiko menyebabkan pencemaran.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Guna dron mulai November, terbang 1,000km pantau sungai

SHAH ALAM, 21 OKT: Teknologi dron bakal digunakan untuk memantau pencemaran dan pencerobohan sungai di Selangor bermula November, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata teknologi tersebut mampu terbang sejauh lebih 1,000 kilometer sebulan selain dilengkapi aplikasi untuk menganalisis kualiti air serta mencerap aktiviti kilang yang berisiko menyebabkan pencemaran.

“Kos untuk menggunakan dron adalah RM138 sehari dan akan terbang dua kali sehari. Kemudiannya, pasukan pengendali akan melakukan analisa serta menilai keadaan semasa Sungai Langat dan Sungai Selangor.

“Sekiranya mengesan keadaan mencurigakan, mereka akan menyampaikan maklumat kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Amirudin berkata syarikat yang membekalkan teknologi tersebut kini pada kedudukan enam terbaik dunia dalam perkhidmatan menganalisa dan menilai kualiti air.

“Syarikat pembekal dron ini memiliki pengalaman serta kemampuan terbukti di peringkat dunia dengan menyediakan perkhidmatan untuk anak syarikat Kerajaan Negeri, anak syarikat Kerajaan Persekutuan sehinggalah di Eropah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Fokus kawasan luar bandar bagi pengunaan dron

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 7 MAC: Penerokaan teknologi dron dalam segmen penghantaran bungkusan perlu memberi fokus kepada kawasan luar bandar dan pendalaman, kata pemenang tempat pertama Pertandingan Parcel Drone 2019, Ahmad Nazri.

Ketua Jurutera pasukan System Consultancy Services Sdn Bhd itu berkata, teknologi terbabit lebih diperlukan di kawasan sukar akses seperti pulau di Sabah dan Sarawak.

“Kita lihat pulau kecil sebelah Sabah dan Sarawak sebelum ni kalau nak hantar barang perlu naik sampan atau bot.

“Tapi kalau kita boleh guna dron, cukup dari tengah laut, kita lancarkan dron dan pergi ke satu tempat mendarat yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui di Pertandingan Parcel Drone 2019 anjuran POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) di Kompleks Sukan Air, Presint 6 Putrajaya, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, pertandingan itu adalah suatu inisaitif baik sesuai dengan perkembangan teknologi semasa.

Pasukan System Consultancy Services Sdn Bhd memperoleh RM25,000 berserta trofi sebagai hadiah tempat pertama.

Manakala, tempat kedua dimenangi Ridwan Safar dan diikuti tempat ketiga, HAAS Solutions Sdn Bhd.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.