Categories
EXCO SELANGOR

Turunkan juga harga UniFi

SHAH ALAM, 28 JUL: Kerajaan Negeri mengalu-alukan langkah Telekom Malaysia Berhad (TM) menurunkan harga internet Streamyx kepada semua pengguna di negara ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, penurunan caj itu juga seharusnya perlu dilakukan kepada perkhidmatan internet UniFi.

“Kita mengalu-alukan pengumuman penurunan harga internet Streamyx ini.

“Bagaimanapun, Kerajaan Pusat juga perlu meningkatkan lagi kelajuan Internet dan pada masa yang sama menyarankan semu pihak menurunkan kadar caj bukan setakat Streamyx tetapi juga UniFi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Hee berkata, dengan kadar caj rendah, semua lapisan rakyat berpendapatan rendah atau pelajar boleh menikmati perkhidmatan internet yang laju dengan kadar caj berpatutan.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri terus komited untuk menaiktaraf perkhidmatan WiFi percuma kepada rakyat di Selangor.

Beliau turut memaklumkan WiFi Smart Selangor juga kini bertambah baik.

Terdahulu, jumlah bilangan ‘hotspot access point’ WiFi Smart Selangor oleh TM bermula 2015 hingga 2020 ialah 3,390 sementara Celcom sebanyak 521.

Kira-kira RM12.5 juta dilaburkan Kerajaan Negeri bagi pembayaran kontrak kepada syarikat pengendali perkhidmatan WiFi Smart Selangor (WiFiss) percuma, pada tahun lalu.

Semalam, TM mengumumkan pengguna Streamyx bakal menikmati Internet berkelajuan sehingga RM8Mbps dengan tawaran harga serendah RM89 sebulan manakala pelanggan sedia ada menikmati tawaran itu serendah RM69 bermula September ini.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Kumpulan TM, Rosli Man sebagai penyelesaian kepada gesaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang meminta syarikat telekomunikasi itu menyelesaikan pelbagai aduan rakyat berhubung perkhidmatan internet termasuk tidak menepati kelajuan memuaskan selain harga terlalu tinggi.

Bagi mengatasi kekangan jalur lebar perkhidmatan itu, TM menggunakan rangkaian tembaga menerusi pelbagai teknologi hibrid termasuk fiber, ‘wireless’ dan ‘Gigawire’ yang dilaksanakan secara berperingkat bermula semalam hingga 2021.

Categories
SUKANKINI

TM kekal penaja utama FAM

PETALING JAYA, 19 MAC: Isu penajaan membabitkan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menjejaskan hubungan syarikat telekomunikasi itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, perjanjian penajaan TM kepada FAM setakat ini masih kekal sehingga 2020

“FAM memang sudah lama dengan TM, jadi penajaan terus berkekalan sehingga 2020,” katanya ringkas pada sidang media, di sini, semalam.

Hamidin berkata, TM sudah menaja badan induk itu sejak 2000, namun menjadi penaja utama bermula 2005.

Baru-baru ini, MFL mengambil keputusan menamatkan kontrak dengan TM selepas penaja utama Liga Malaysia (Liga-M) itu gagal menjelaskan pembayaran hak penyiaran musim ini.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat kata sepakat Anggota Lembaga Pengarah dalam satu mesyuarat bersama Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, berhubung pencalonannya bagi jawatan Exco Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) adalah untuk kebaikan bola sepak negara.

“Saya turut ditawarkan sebagai (calon) Naib Presiden AFC, namun saya lebih memilih untuk jawatan Exco sahaja.

“Keutamaan saya adalah menerajui FAM, tetapi apabila saya dicalonkan, ia menunjukkan Malaysia dihormati,” katanya.

Sebelum ini, AFC mengesahkan lima jawatan Naib Presiden bakal menjadi rebutan menyaksikan Hamidin menjadi seorang daripada empat calon dari rantau Asia Tenggara pada pemilihan yang dijadual berlangsung bulan depan.

Tiga lagi calon untuk merebut jawatan itu ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Somyot Poompanmoung; Dr Tran Quoc Tuan (Anggota Jawatankuasa Persekutuan Bola Sepak Vietnam) dan Zaw Zaw (Presiden Persekutuan Bola Sepak Myanmar).

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

TM taja Liga M, terbesar dalam sejarah sukan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 FEB: Perjanjian termeterai antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bagi menaja Liga Malaysia (Liga M) bernilai RM480 juta, adalah yang terbesar dalam sejarah sukan negara.

Ia membuktikan keyakinan TM terhadap kepimpinan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Hak penyiaran ini akan diagihkan kepada semua pasukan bertanding di dalam Liga Super dan Liga Perdana.

“Jumlah hak penyiaran ini akan meningkat pada setiap tahun dan akan menjadi hak penyiaran tertinggi yang tidak pernah sesebuah pasukan dalam negara miliki sebelum ini,” kata FAM dalam kenyataannya.

Semalam, TM menjalin kerjasama dengan FMLLP bagi menaja Liga M, yang membolehkan peminat bola sepak tanahair dapat menyaksikan perlawanan secara langsung liga bola sepak tempatan menerusi platform unifi.

Perjanjian itu menyaksikan unifi, jenama utama TM menjadi penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bagi Piala FA mulai tahun ini hingga 2025, membuktikan sokongan berterusan TM terhadap pembangunan bola sepak tempatan dan menaikkan mutu sukan di negara ini.

Melalui penajaan dimeterai, Liga Super kini dikenali ‘unifi Liga Super’ dan Piala Malaysia sebagai ‘unifi Piala Malaysia’.

Categories
SUKANKINI

TM-FMLLP jalin kerjasama, Unifi penaja utama Liga Super

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 FEB: Peminat bola sepak tanahair dapat menyaksikan perlawanan secara langsung Liga Malaysia (Liga M) dan Piala Malaysia menerusi unifi apabila Telekom Malaysia Berhad (TM) menjalin kerjasama dengan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Perjanjian itu menyaksikan unifi, jenama utama TM menjadi penaja bagi Liga Super, Piala Malaysia dan penaja bagi Piala FA mulai tahun ini hingga 2025.

Ia sekali gus membuktikan sokongan berterusan TM terhadap pembangunan bola sepak tempatan dan menaikkan mutu sukan di negara ini.

Melalui penajaan dimeterai, Liga Super kini dikenali ‘unifi Liga Super’ dan Piala Malaysia sebagai ‘unifi Piala Malaysia’.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TM, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata pihaknya teruja meneruskan kerjasama dengan FMLLP dalam membangunkan sukan bola sepak tempatan dan membawa lebih banyak detik menarik dalam liga negara kepada lebih ramai rakyat Malaysia.

“Seluruh peminat bola sepak di Malaysia kini boleh menonton setiap perlawanan dalam liga ini dan menyaksikan pasukan kegemaran mereka beraksi kerana semua perlawanan akan disiarkan secara langsung melalui unifi TV dan menerusi semua skrin yang boleh diakses menerusi aplikasi unifi PlayTV,” katanya.

Sebagai rakan kongsi siaran, unifi TV menayangkan semua acara dan perlawanan, termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA serta siaran bersyarat bagi perlawanan Liga Perdana, Piala Cabaran dan perlawanan lain dianjurkan FMLLP.

Pengerusi FMLLP dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim, amat berbesar hati dengan termeterainya perjanjian kerjasama itu.

“Ia yang terbesar dalam sejarah sukan di Malaysia dan adalah bukti keyakinan TM terhadap sukan bola sepak dan liga Malaysia sebagai pemacu komersial dan perpaduan utama di negara ini,” titahnya.

CEO FMLLP, Kevin Ramalingam pula berkata, komitmen jangka panjang TM adalah satu gambaran mencerminkan nilai dan kemampuan liga bola sepak Malaysia.

“Kami amat berterima kasih kepada unifi, jenama yang akan mengemudi dan menyatukan seluruh rakyat untuk bersama menyokong pasukan kegemaran masing-masing,” katanya