Categories
AGENDA NASIONAL

LHDN saman Ku Nan tuntut bayar cukai pendapatan RM57.17 juta

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menfailkan saman terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntutnya membayar wang berjumlah RM57.17 juta terhadap cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lepas di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Tengku Adnan yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia mendakwa Tengku Adnan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Ia berkata Notis Taksiran itu telah dihantar secara Akuan Terima Berdaftar (A.R) kepada defendan pada 20 Mac lepas ke alamat terakhirnya dan Notis Taksiran itu telah diterima dan ditandatangani pada 22 Mac lalu melalui pengembalian semula kad kuning Akuan Terima Berdaftar.

Kerajaan Malaysia mendakwa, oleh kerana Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2012 sehingga 2017 itu dalam tempoh 30 harı dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.

Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Kerajaan Malaysia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.

Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu Kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 8 Ogos di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli.

Tengku Adnan kini menghadapi dua pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi, di sini iaitu masing-masing menerima wang RM2 juta dan RM1 juta yang mana satu kesnya pada peringkat perbicaraan manakala satu kes lagi ditetapkan perbicaraan pada 3 September.

Pada 25 Jun lepas Kerajaan Malaysia melalui LHDN menfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menuntutnya membayar cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 30 Ogos di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliana Ismail. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Ku Nan: Pendakwaan tutup kes, hujahan 4 Oktober

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Selepas 12 hari perbicaraan dengan 23 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwa menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim memaklumkan demikian selepas Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Saad Bordani, 37, selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Julia berkata, pihak pendakwaan turut menawarkan beberapa saksi daripada pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan SPRM kepada pihak pembelaan sekiranya tertuduh dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu.

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 4 dan 11 Oktober depan untuk kedua-dua pihak berhujah.

“Mahkamah juga menetapkan pada atau sebelum 3 September ini untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis manakala hujahan balas perlu difailkan pada atau sebelum 18 September,” kata hakim itu.

Perbicaraan kes Tengku Adnan bermula pada 2 Julai lepas dengan 23 saksi pendakwaan termasuk bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Chai, yang merupakan pengarah urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd dipanggil memberi keterangan.

Pada 23 Januari lepas, Tengku Adnan, 68, mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini selepas pertuduhan dibacakan semula semasa sebutan kali pertama kes itu setelah kesnya dibenar dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2018.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Keputusan bicara bersama kes rasuah Tan Eng Boon, Tengku Adnan 9 Ogos

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Keputusan permohonan pihak pendakwaan supaya kes rasuah RM1 juta yang dihadapi ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon dibicarakan bersama kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, akan diketahui pada 9 Ogos ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dan peguam, Faisal Moideen yang mewakili Tan hari ini.

“Keputusan akan diberikan pada Jumaat depan pukul 9 pagi,” kata hakim itu.

Terdahulu, Julia berhujah bahawa kes rasuah itu perlu dibicarakan bersama Tengku Adnan kerana pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh adalah berasal daripada kejadian, butiran transaksi, tarikh dan masa yang sama.

“Yang Arif, dalam kes ini, pemberi adalah Tan dan Tengku Adnan adalah penerima mengikut butiran dokumen yang sedia ada. Sepatutnya mereka (Tan dan Tengku Adnan) dituduh bersama tetapi ada kesilapan dalam e-filing ketika itu. Pendakwaan sejak awal lagi berhasrat untuk kes itu dibicarakan bersama,” katanya.

Peguam Faisal membantah permohonan pendakwaan dengan alasan anak guamnya dan Tengku Adnan dituduh secara berasingan dan sekiranya mereka dibicarakan bersama ia akan memprejudiskan anak guamnya.

“Tengku Adnan tidak boleh jadi saksi dalam kes ini jika dibicarakan bersama,” katanya dan memohon mahkamah menolak permohonan pendakwaan itu.

Pada 15 November 2018, Tan yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan, 69, iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Tan, 70, dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang diketahui Tan sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan, yang kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun serupa, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Tak tahu salinan pendua resit RM2 juta tiada dalam buku resit UMNO

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mengetahui bagaimana salinan pendua resit pembayaran RM2 juta yang diberikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong tidak berada di dalam buku resit rasmi UMNO.

Timbalan Ketua Jabatan Pengurusan Kewangan, Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Farahdzilah Abd Kadir, 38, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim pada perbicaraan hari ke-11 kes rasuah RM2 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Julia: Boleh maklumkan kepada mahkamah adakah terdapat salinan pendua bagi resit 376241 (resit pembayaran RM2 juta) di dalam buku resit rasmi UMNO?

Farahdzilah: Tidak ada.

Julia: Kenapa tidak ada?

Farahdzilah: Saya tidak tahu.

Farahdzilah, yang bertugas di Ibu Pejabat UMNO PWTC sejak Jun 2004 berkata salinan kedua dan ketiga resit tidak pernah dikeluarkan daripada buku resit rasmi UMNO ataupun disimpan secara berasingan di dalam fail.

“Kebiasaannya, jika resit dikeluarkan daripada buku resit rasmi UMNO, salinan pendua bagi resit itu ditinggalkan di dalam buku resit berkenaan.

“Bila pegawai ‘incharge’ akan memasukkan butiran mengenai resit yang digunakan ke dalam sistem komputer bagi tujuan pengauditan, mereka akan rujuk salinan pendua resit yang ada pada buku resit berkenaan,” katanya.

Disoal Julia apakah prosedur yang dilakukan oleh bahagian pengurusan kewangan jika UMNO menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, Farahdzilah berkata: “Sekiranya UMNO menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, kebiasaannya ibu pejabat akan keluarkan resit dan resit asal akan diberi kepada pemberi manakala salinan kedua dan ketiga disimpan di dalam buku resit rasmi”.

Menjawab soalan peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, saksi pendakwaan ke-21 itu bersetuju bahawa buku resit rasmi UMNO digunakan secara rawak dan tidak teratur.

Pada 16 Julai lepas, Chai dalam keterangannya di mahkamah mengesahkan pembayaran cek RM2 juta kepada Tengku Adnan adalah untuk dana politik.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah benarkan pasport Tengku Adnan dikembali sementara

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, untuk mendapatkan sementara pasportnya bagi membolehkan beliau mengunjungi anaknya di Australia selain menghadiri mesyuarat perniagaan di Indonesia.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Tengku Adnan supaya pasportnya dikembalikan selepas mendengar penghujahan daripada peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan dan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Hakim memerintahkan supaya pasport itu dikembalikan berkuat kuasa hari ini dan diserahkan semula kepada mahkamah sebelum 28 Februari ini.

“Anak guam saya mahu mengunjungi dua anaknya masing-masing berusia 18 dan 13 tahun yang berada di Australia, terutamanya anak perempuan bongsu yang baharu mula bersekolah pada 30 Januari,” kata Tan, lapor BERNAMA.

Beliau turut berhujah anak guamnya perlu menghadiri beberapa mesyuarat perniagaan atas kedudukan beliau sebagai anggota lembaga pengarah atau pemegang saham yang dijadual diadakan di Indonesia.

Terdahulu, Julia berkata, beliau tiada bantahan terhadap permohonan Tengku Adnan, selaku responden.

Pada 15 November tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta, daripada seorang ahli perniagaan, Tan Eng Boon, melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah bagi dirinya untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Tengku Adnan, turut berdepan pertuduhan pilihan di mana atas kedudukannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya sendiri sejumlah RM1 juta tanpa balasan daripada Tan menerusi cek Public Bank kepunyaan Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaunnya, sungguhpun mengetahui bahawa Tan, yang juga pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) mempunyai hubungan dengan fungsi rasmi beliau.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Sementara itu pada 12 Disember, beliau didakwa sebagai seorang penjawat awam atas kedudukannya selaku Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima barangan berharga tanpa balasan, berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong, menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas Sdn Bhd, yang didepositkan ke dalam akaun CIMB kepunyaan Tadmansori Holding Sdn Bhd, yang mana beliau (Tengku Adnan) mempunyai kepentingan dan beliau tahu ada hubungan dengan tugas rasminya.

Tengku Adnan didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara, Tingkat 1, Lot A4, Blok A, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, pada 14 Jun 2016.

Categories
NASIONAL

Permohonan Tengku Adnan ketepi syarat serah pasport ditolak

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Permohonan mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mengetepikan syarat penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah dengan menaikkan jumlah jaminannya, ditolak Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang mengarahkan Tengku Adnan, 69, diikat jamin RM500,000 berserta syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kesnya selesai.

Mohd Nazlan dalam keputusannya berkata, Ahli Parlimen Putrajaya itu yang hadir ke mahkamah ditemani empat anaknya, boleh membuat permohonan pelepasan sementara pasportnya sekiranya mempunyai urusan di luar negara.

“Jaminan RM500,000 dan syarat tambahan, pasport diserah kepada mahkamah dikekalkan,” kata Mohd Nazlan semasa sebutan kali pertama di mahkamah itu selepas kes terbabit dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, lapor BERNAMA.

Terdahulu, peguam, Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan mengemukakan permohonan untuk mengetepikan syarat penyerahan pasport atas alasan anak guamnya perlu berulang-alik ke Australia kerana melawat dua anak perempuannya masing-masing berusia 13 dan 18 tahun yang belajar di negara itu selain Tengku Adnan mempunyai banyak urusan perniagaan di Indonesia.

Tan berkata, Tengku Adnan juga mencadangkan jumlah jaminannya dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta serta bersedia dengan syarat tambahan melapor diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan, sekiranya perlu.

“Anak guam saya dan isteri kerap melawat kedua-dua anak mereka di Australia, anak guam saya juga tidak lagi berkhidmat dalam kerajaan dan beliau perlu menguruskan perniagaannya di luar negara. Beliau juga bukan seorang yang mempunyai risiko melarikan diri dan memberi kerjasama baik kepada SPRM,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bagaimanapun membantah permohonan peguam itu dan berhujah Tengku Adnan sepatutnya lebih arif dengan jadual cuti dan peperiksaan anak-anaknya di Australia dan boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya bagi menziarahi anaknya di negara itu.

“Kami tiada masalah dengan jaminan RM500,000 tetapi dengan syarat pasport tertuduh diserah pada mahkamah dan tertuduh pada bila-bila masa boleh membuat permohonan mendapatkan pasport atas urusan perniagaan atau keluarga.

“Urusan tertuduh boleh diatur dengan baik walaupun pasportnya dipegang mahkamah,” kata Julia.

Mahkamah menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas satu pertuduhan menerima rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini, pada 2013, dibacakan semula ke atasnya.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak.

Tengku Adnan didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013 mengikut perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tengku Adnan juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu di tempat dan tarikh sama, sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank‬ miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties yang ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Himpunan Blackout 505 Dianjak Ke 22 Jun

DSC_5441

PETALING JAYA 10 JUN : Pakatan Rakyat (PR) memutuskan mengadakan perhimpunan aman Blackout 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun ini berikutan tiada program lain dijalankan di kawasan itu pada tarikh berkenaan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata pihaknya mengambilkira pandangan pihak terlibat di mana pada tarikh asal iaitu 15 Jun, terdapat program karnival dan majlis perkahwinan akan diadakan di kawasan itu dan berhampirannya.

Sehubungan itu, PR memberikan notis untuk mengadakan perhimpunan aman #blackout 505 dalam tempoh 10 hari kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti ditetapkan.

“Permohonan kepada DBKL untuk menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun telahpun dibuat pada Jumaat 7 Jun lalu. DBKL juga mengesahkan tiada mana-mana pihak membuat permohonan mengadakan acara di padang itu pada tarikh tersebut.

“Oleh itu tiada lagi alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bermain politik dengan melengah-lengahkan permohonan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa majoriti rakyat Wilayah Persekutuan bersama PR maka DBKL dan Tengku Adnan diminta menghormati hasrat rakyat selain Padang Merbok adalah milik rakyat.