Categories
NASIONAL

Rafizi : Himpunan Blackout 505 Dianjak Ke 22 Jun

DSC_5441

PETALING JAYA 10 JUN : Pakatan Rakyat (PR) memutuskan mengadakan perhimpunan aman Blackout 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun ini berikutan tiada program lain dijalankan di kawasan itu pada tarikh berkenaan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata pihaknya mengambilkira pandangan pihak terlibat di mana pada tarikh asal iaitu 15 Jun, terdapat program karnival dan majlis perkahwinan akan diadakan di kawasan itu dan berhampirannya.

Sehubungan itu, PR memberikan notis untuk mengadakan perhimpunan aman #blackout 505 dalam tempoh 10 hari kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti ditetapkan.

“Permohonan kepada DBKL untuk menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun telahpun dibuat pada Jumaat 7 Jun lalu. DBKL juga mengesahkan tiada mana-mana pihak membuat permohonan mengadakan acara di padang itu pada tarikh tersebut.

“Oleh itu tiada lagi alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bermain politik dengan melengah-lengahkan permohonan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa majoriti rakyat Wilayah Persekutuan bersama PR maka DBKL dan Tengku Adnan diminta menghormati hasrat rakyat selain Padang Merbok adalah milik rakyat.

Categories
NASIONAL

Pakatan Sokong Himpunan “Blackout” 15 Jun Di Kuala Lumpur

blackout suara rakyat 505 01

PETALING JAYA 3 JUN : Pakatan Rakyat (PR) menyatakan sokongan terhadap penganjuran perhimpunan aman ‘Blackout 505’ yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 15 Jun ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu perbincangan akan diadakan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi memastikan perhimpunan tersebut akan berjalan secara selamat dan aman.

“Kita telah memutuskan untuk menyokong inisiatif mengadakan perhimpunan aman ini dan jawatankuasa sekretariat serta wakil NGO akan meneliti semua aspek berkaitannya.

“Rundingan bersama dengan Ketua Polis Negara dan pihak keselamatan akan dibuat supaya perjalanan perhimpunan ini terjamin aman dan terkawal,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Setakat ini, lokasi himpunan tersebut belum ditentukan lagi.

Beberapa siri perhimpunan ‘Blackout 505’ telah diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara sejak 8 Mei lalu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Ia bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang didakwa penuh dengan unsur penipuan dan penyelewangan.

Berikutan penganjurannya, beberapa pemimpin PR dan aktivis politik ditahan dan didakwa di mahkamah selepas itu.

Antara mereka ialah, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Koordinator ABU, Haris Ibrahim; Presiden SMM, Safwan Anang, Aktivis PAS, Datuk Tamrin Ghafar dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim.