Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Raja Muda galas tugas Leftenan Muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 JULAI: DYTM Raja Muda, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah melapor diri menyertai Regimen Askar Melayu Diraja (Batalion ke-17) sebagai Leftenan Muda di Kem Terendak, Melaka, semalam.

Baginda memulakan tugas sebagai Pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) selepas menjalani latihan Pegawai Kadet di Kolej Tentera Darat (KTD) Port Dickson, selama sebulan.

Laporan berkenaan baginda dikongsi menerusi Facebook Selangor Youth Community – Say Community dengan beberapa gambar baginda mengikuti istiadat pertauliahan pelantikan.

image (1)Kesungguhan Raja Muda berbakti kepada masyarakat dengan menyertai Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mendapat pujian pengguna sosial.

Lujat Maysiah Tamam, menyokong inisiatif diambil Raja Muda untuk berkhidmat demi nusa dan bangsa.

“Salute (hormat), belajar memimpin dan yang dipimpin sebelum menerajui pimpinan,” tulisnya.

“Raja Muda yang merendah diri, lembut bicaranya serta santun lakunya,” tulis Rohaizad Bakar.

Raja Muda sebelum ini sinonim dalam kalangan rakyat Selangor sebagai raja berjiwa rakyat menerusi pelbagai insiatif pembangunan belia di bawah seliaan baginda.

Antara program pembangunan belia yang dilakukan baginda termasuk penubuhan Say Community bertujuan merancakkan lagi pembangunan belia negeri.

Selain itu, baginda kerap meninjau permasalahan rakyat dan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Mahu Umat Islam Tidak Berpecah Belah

HULU LANGAT 26 JUL : Rakyat diseru agar tidak mengamalkan sikap berpuak-puak dan pilih kasih dalam bermasyarakat terutamanya bagi yang beragama Islam.

Teguran itu dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat serta Majlis Perasmian Masjid Sungai Ramal Luar di sini petang tadi.

“Beta tidak ingin dengar ada aktiviti Solat Tarawikh berasingan disebabkan oleh perbezaan fahaman politik atau tidak bersetuju dengan imam yang dilantik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Sekiranya ini berlaku, umat Islam akan berpecah dan dipandang rendah masyarakat lain,” titah baginda tegas di hadapan ratusan tetamu dan rakyat yang hadir.

Baginda turut menyatakan kebimbangan akan usaha yang dijalankan pihak tertentu dalam menganggu-gugat keutuhan agama Islam.

“Terdapat usaha jahat yang menyentuh sensitiviti Umat Islam dengan mempersenda junjungan Nabi Muhammad melalui penerbitan risalah, karikatur, filem mahupun lagu.

“Oleh itu, beta menyeru pihak-pihak bertanggungjawab untuk memantau perkara ini seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mempersenda Islam,” titah baginda.

Baginda turut perkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 125 orang anak yatim, serta 218 asnaf fakir dan miskin dan 125 orang asnaf mualaf hasil sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Turut mengiringi baginda pada majlis berkenaan ialah Raja Muda, Tengku Amir Shah ibn Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Juga hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Husin dan Pengarah Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.