Categories
PERSONALITI RENCANA

Ramzul Zahini: Daripada pemain bola sepak kepada penternak arnab

TUMPAT, 8 JULAI: Sebut sahaja nama Muhammad Ramzul Zahini Adenan, peminat bola sepak tempatan pasti terbayang kelincahan bekas penyerang itu beraksi di atas padang mewakili beberapa pasukan bola sepak terutamanya pasukan The Red Warriors, ketika masih di puncak Liga Malaysia (Liga-M).

Namun, akibat kecederaan ligamen lutut atau Anterior Cruciate Ligament (ACL) ketika tenaganya masih lagi ditagih pasukan terakhir yang beliau wakili, T-Team, menyebabkan pemuda berusia 33 tahun terpaksa bersara daripada sukan yang sudah menjadi darah dagingnya.

“Tahun 2017 menjadi kemuncak kerjaya saya bersama T-Team, selepas mewakili pasukan itu antara 2014 hingga 2017. Kecederaan ACL kali ketiga menyebabkan saya berundur daripada sukan bola sepak, sejak mula menjadi pemain profesional pada usia 17 tahun selepas menyertai Akademi Bola Sepak Kelantan pada 2004.

“Namun takdir menentukan segalanya. Selepas mencapai kejayaan dalam sukan bola sepak, saya kini mula berjinak-jinak menceburi bidang penternakan arnab pedaging pada 2018, selepas setahun bersara daripada sukan berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Pasir Pekan Hilir, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, pemilik dan pengurus Ramzul Adenan Farm itu, berkata bidang penternakan arnab pedaging bermula sebagai hobi selepas diperkenalkan oleh seorang rakan yang telah lama menceburi bidang berkenaan ketika beliau dalam proses pemulihan kecederaan ACL yang dihadapinya.

Modal Kecil, 20 Ekor Arnab Jadi Sandaran

Bermodalkan RM5,000 sebagai modal permulaan, beliau membeli 20 ekor arnab pedaging jenis New Zealand White dan membina kandang kecil.

“Induk arnab baka ini sedikit mahal, berharga antara RM300 hingga RM400 seekor kerana ia berbadan besar dan mampu menghasilkan daging yang banyak serta boleh melahirkan anak yang banyak.

“Selepas setahun berjinak-jinak dengan penternakan secara kecil-kecilan, saya kemudiannya memutuskan untuk memeliharanya dengan jumlah yang banyak dan melaburkan kira-kira RM50,000 bagi membina ladang arnab di sebidang tanah seluas kira-kira 0.2 hektar yang disewa daripada Perbadanan Muzium Kelantan pada Julai tahun lalu,” katanya.

Pada peringkat awal, beliau membeli sebanyak 100 ekor induk arnab pedaging dan kini mempunyai kira-kira 300 ekor induk yang mampu menghasilkan antara 700 dan 1,300 ekor anak arnab.

“Menariknya, arnab jenis ini boleh mula dibuntingkan walaupun baharu berusia empat bulan dengan tempoh bunting pula sekitar 30 hari. Ia mampu menghasilkan antara empat hingga 10 ekor anak setiap kali tempoh mengawan. Bagi menjaga kualiti arnab yang dihasilkan, saya hanya membuntingkan induk sebanyak enam hingga lapan kali setahun.

“Anak arnab yang dihasilkan boleh mula dijual apabila berusia dua bulan dengan daging yang siap diproses seberat kira-kira 1 kilogram. Pasaran ketika ini sangat luas kerana tidak ramai yang menceburi bidang penternakan ini dan saya adalah penternak arnab terbesar di Kelantan ketika ini,” katanya.

Potensi Daging Arnab

Muhammad Ramzul Zahini berkata daging arnab yang manis selain pelbagai khasiat lain, mendapat permintaan tinggi di seluruh negara untuk dijadikan sate ataupun diperap sebelum dibakar.

“Boleh dikatakan keseluruhan badan arnab boleh dijual. Masyarakat Cina gemar membeli kepala arnab untuk dijadikan sup, dagingnya sesuai dijadikan sate ataupun masakan lain manakala bulu dan kulit pula boleh dijadikan barang hiasan.

“Ia juga senang dijaga, cuma perlu menyediakan kandang yang sejuk dan memantau kesihatan arnab kerana jika ia terkena cirit-birit, ia boleh mati dalam tempoh dua jam sahaja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Velizar puji semangat juang pemain Kelantan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kejayaan Kelantan mengikat Selangor 3-3 dalam aksi TM Piala Malaysia, semalam mendapat pujian pengendalinya, Velizar Emilov Popov.

Bercakap pada sidang media sejurus tamat perlawanan, beliau berkata, semangat juang dipamerkan anak buahnya selepas ketinggalan dua gol sejurus babak kedua bersambung wajar diberikan pujian.

KOTA BHARU 14 MAY 2016. ( KBB967Q / KBM495R ) Ketua jurulatih baharu skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors ( PQPTRW ) Velizar Emilov Popov, nekad menyahut cabaran  Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi meletakkan pasukan itu dalam kedudukan empat teratas carta Liga Super. NSTP/SYAMSI SUHAIMI

“Saya berterima kasih kepada mereka bukan sahaja berkenaan persembahan, malah perkara paling utama adalah semangat juang sehingga minit akhir.

“Mereka berjaya menguasai permainan. Menang, kalah atau seri adalah adat permainan. Kita bermain baik selepas Ramadan dan hasilnya membanggakan,” katanya.

Velizar berkata, walaupun dibolosi menerusi serangan balas, beliau kekal mempertahankan corak permainan terbuka dan bukannya bertahan semata-mata meskipun satu ketika ketinggalan dua gol.

Katanya, jadual kempen yang padat selain terpaksa menempuh perjalanan jauh memungkinkan beliau melakukan pertukaran pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Pada masa sama, Velizar turut merakamkan penghargaan kepada penyokong Qu Puteh The Red Warriors (QPTRW) yang setia memberikan sokongan kepada pasukan sehingga minit akhir permainan biarpun beraksi di tempat lawan.

-AA-

Stadium warna merah jambu : Kelantan sedia pertimbangkan

Isu tajaan pasukan The Red Warriors, Kerajaan Kelantan sedia pertimbang syarat Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Vida untuk mengecat stadium dengan warna merah jambu.