Categories
PBT SELANGOR

MBSA beri hadiah kepada bayi bertuah lahir 10 Oktober

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan cenderamata kepada ibu yang melahirkan bayi sempena sambutan ulang tahun ke-21 esok, kata timbalan datuk bandar.

Mohd Rashidi Ruslan berkata pihaknya bekerjasama dengan Hospital Shah Alam, Hospital Avisena Women’s and Children, KPJ Selangor Specialist Hospital dan Hospital UMRA Shah Alam bagi menjayakan program tahunan itu

“Selain meraikan ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-21, kita mahu berkongsi kegembiraan dengan ibu bapa yang mendapat cahaya mata.

“MBSA akan menyampaikan pakaian dan peralatan bayi kepada ibu bapa yang melahirkan bayi bertuah,” katanya pada program Bual Bicara Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-21 yang disiarkan secara langsung di YouTube SelangorTV malam tadi.

Sempena sambutan ulang tahun, MBSA mengadakan pelbagai program antaranya majlis bacaan yassin, doa selamat, kayuhan basikal, kuiz Shah Alam Bandar Rayaku dan hari bertemu pelanggan.

Pihak berkuasa tempatan itu turut menyediakan beberapa penggunaan fasiliti dan kemudahan awam secara percuma kepada penduduk sekitar sepanjang Oktober.

Selain itu, orang ramai ditawarkan promosi keahlian percuma bagi perpustakaan MBSA dan diskaun bayaran kompaun.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA pantau kawasan awam, pastikan masyarakat tidak leka

SHAH ALAM, 9 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus memantau kawasan tumpuan awam meskipun Selangor beralih kepada fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata langkah itu bagi memastikan masyarakat tidak leka dan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“MBSA masih memantau pematuhan SOP di kawasan awam seperti biasa untuk pastikan pengunjung tidak leka meskipun kita hampir mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Bual Bicara Ulang Tahun Bandaraya Shah Alam ke-21 menerusi siaran langsung SelangorTV malam tadi.

Pada masa sama, beliau menyarankan masyarakat terutama penduduk Shah Alam disaran tidak mendengar khabar angin berhubung bahaya vaksin.

“Saya menyeru kerjasama semua penduduk Shah Alam supaya jaga diri dan sentiasa menguar-uarkan kepentingan vaksin kepada umum demi membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok,” katanya.