Categories
AGENDA NASIONAL

Siap sedia terima pelancong sempena TMM 2020

SEREMBAN, 19 OKT: Persediaan rapi daripada semua pemain industri dalam sektor pengangkutan perlu dilakukan bermula sekarang, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) yang dijangka menarik ramai pelancong ke negara ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, persiapan itu termasuklah, daripada perkhidmatan di lapangan terbang, bas persiaran, perkhidmatan e-hailing dan juga teksi.

“Persiapan untuk TMM 2020 telah lama diadakan dan memang Kementerian Pengangkutan merupakan kementerian sokongan kepada TMM 2020, kerana kita menjangkakan lebih ramai orang datang ke negara kita. Sudah tentu pintu masuk yang paling penting ialah lapangan terbang, Jadi lapangan terbang perlu bersiap sedia… syarikat-syarikat penerbangan perlu bersiap sedia.

“Kita punya bas persiaran, pengangkutan awam, teksi dan e-hailing semua ada tempiasnya. Semua perlu bersiap sedia menerima lebih ramai pengunjung dan ini merupakan satu peluang untuk mereka tambah pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Pendidikan (Sektor Pengangkutan) 2019, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan J. Arul Kumar.

Loke berkata, kerajaan membelanjakan sejumlah wang yang besar mempromosikan TMM 2020, bagi memberi impak yang positif, bukan sahaja kepada negara, bahkan rakyat keseluruhannya.

Selain TMM 2020, beliau berkata, tahun hadapan juga merupakan tahun yang penting buat kerajaan khususnya dan kementerian amnya, dengan terdapat pelbagai acara bertaraf antarabangsa dianjurkan di negara ini.

“Ini termasuklah persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada hujung tahun hadapan dan Kementerian Pengangkutan pula akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Pengangkutan. Persidangan pengangkutan itu kita nak tunjukkan bahawa apakah perkembangan dan pencapaian pengangkutan negara kita.

“Yang lebih penting kita juga nak tarik lebih banyak pempamer untuk pamerkan teknologi yang ada, teknologi moden dan masa hadapan, supaya kita dapat dedahkan kepada rakyat kita apakah perkembangan teknologi pada hari ini.” katanya.

Loke berkata, persidangan pengangkutan itu juga dijangka membincangkan hala tuju sektor pengangkutan, selain menjemput pakar-pakar memberikan pandangan berhubung sektor berkenaan.

“Yang paling penting, kerajaan dan kementerian mesti bersiap sedia untuk masa depan. Yang pertama menyediakan infrastruktur, kedua menyediakan kerangka undang-undang untuk pengangkutan masa depan. Ada syarikat-syarikat yang sedang membina kenderaan elektrik dan kenderaan tanpa pemandu.

“Kita dalam kementerian kena melihat kepada kerangka undang-undang, sebab mungkin teknologi itu sudah ada, dan saya tak hairan pada hari ini ada kenderaan tanpa pemandu, tetapi kalau ia ada di atas jalan raya, bagaimana kita nak merangka undang-undang kita. Kalau dia langgar, apakah undang-undang yang kawal kenderaan itu. Itu yang memerlukan banyak perbincangan dan pemikiran,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Insiden Nora Anne tidak jejas kunjungan pelancong

ALOR SETAR, 24 OGOS: Insiden yang menimpa remaja Ireland, Nora Anne Quoirin pada 13 Ogos lalu diyakini tidak menjejaskan jumlah kunjungan pelancong ke negara ini menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pihaknya sedih dan bersimpati dengan kejadian itu, namun pihak lain tidak boleh sewenang-wenangnya mengatakan bahawa Malaysia tidak selamat untuk dikunjungi pelancong.

“Kalau ada yang kata Malaysia tidak selamat, kita mahu tahu apa sebabnya. Contohnya, baru-baru ini ada pelancong dari Yemen yang maut selepas jatuh dari jet ski ketika cuba berswafoto, tapi perkara itu berlaku atas kecuaian diri sendiri.

“Insiden-insiden seperti itu boleh berlaku di mana-mana negara jadi ia tidak menjadi isu yang terlalu besar yang boleh membimbangkan pelancong untuk datang ke Malaysia,” katanya ketika diminta mengulas sama ada kemasukan pelancong sempena TMM2020 akan terjejas ekoran tragedi yang menimpa Nora Anne.

Kematian remaja berusia 15 tahun itu disahkan polis, pada 15 Ogos adalah akibat kebocoran usus kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan, selepas dia dilaporkan hilang selama 10 hari sejak 4 Ogos lalu.

Terdahulu, Mohamaddin yang hadir merasmikan pembukaan semula Kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad (KRKMM) di Lorong Kilang Ais, di sini berkata kementeriannya akan cuba membantu kerajaan negeri Kedah untuk menjadikan KRKMM sebagai satu destinasi daya tarikan pelancongan warisan.

“Rumah ini mempunyai sejarah tersendiri kerana di sini lahirnya seorang pemimpin negara Tun Dr Mahathir Mohamad. Kewujudan KRKMM ini membolehkan pengunjung mengenal dan mengetahui dengan lebih mendalam tentang kehidupan seorang pemimpin yang bernama Dr Mahathir.

“Kementerian sentiasa memastikan khazanah warisan negara dipulihara dan dipelihara sebab itu KRKMM ini telah dibaik pulih sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1992, 2000 dan naik taraf ketiga mengambil masa selama setahun bermula Ogos 2017 hingga Okt 2018 dengan kos berjumlah RM1.8 juta,” katanya.

Mohamaddin berkata, dari 2013 hingga 2017, seramai 396,2013 pengunjung dari dalam dan luar negara telah melawat KRKMM dan berharap jumlah itu akan meningkat selepas pembukaan semula kompleks itu dan bersempena TMM2020.

“Banyak bahan pameran yang terdiri daripada artifak dan gambar mengenai Dr Mahathir boleh dilihat. Selain KRKMM, beberapa bangunan tambahan yang melambangkan rumah tradisional Melayu yang dikenali sebagai ‘Rumah Bujang’, ‘Rumah Bumbung Lima’ dan ‘Rumah Bumbung Panjang’ turut dibina di kawasan kompleks ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Keusahawanan negeri Mohd Asmirul Anuar Aris yang mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

– BERNAMA