Categories
AGENDA NASIONAL

Perhebat promosi TMM2020 tarik pelancong tempatan

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Pemain industri pelancongan diminta memperhebat promosi bagi menggalakkan lebih ramai pelancong tempatan bercuti di dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata ini kerana pelancong tempatan memainkan peranan penting bagi menjayakan TMM2020 khususnya selepas dunia dilanda penularan Covid-19.

“Sejak penularan Covid-19 yang kini memberi kesan secara global, kita menjangkakan pengurangan pelancong luar yang datang bercuti ke negara ini dan sebab itu pentingnya promosi yang pelbagai dilakukan bagi menarik pelancong tempatan.

“Pemain industri juga boleh mengambil kesempatan daripada pembatalan tempahan pelancong luar dengan menawarkan promosi yang lebih menarik kepada pelancong tempatan,” katanya selepas melancarkan buku kecil ‘Pakej MYexperience Sempena VM2020’ (MYexperience) hari ini.

Mengulas mengenai MYexperience, Mohamaddin berkata inisiatif itu antara yang patut menjadi contoh kepada pemain industri pelancongan untuk terus mempromosi TMM2020 dalam mendepani cabaran pelancong yang berkurangan ekoran Covid-19.

Tegasnya, ini kerana buku MYexperience terbitan MOTAC itu menawarkan 500 pakej merangkumi percutian dan aktiviti pada harga berpatutan, melibatkan kira-kira 109 pengusaha produk pelancongan di seluruh negara.

“Pelancaran buku kecil MYexperience ini tepat pada masanya dan sangat sesuai bagi menggalakkan percutian domestik dalam kalangan penduduk Malaysia. Pakej yang ditawarkan juga selari dengan inisiatif jangka pendek dalam menangani industri pelancongan negara yang terkesan susulan Covid-19 yang ketara di peringkat global,” katanya.

Buku setebal 213 muka surat itu mengandungi direktori lokasi pelancongan dan aktiviti serta pakej harga yang ditawarkan merangkumi 23 segmen termasuk pelancongan sukan, ekologi, perubatan, pendidikan, gastronomi dan gaya hidup.

Buku itu boleh didapati secara percuma di pejabat pelancongan tempatan, selain boleh diperoleh melalui laman sesawang www.malaysia.travel dan vm2020.malaysia.travel.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Keunikan khazanah warisan Selangor bantu promosi TMM2020

PETALING JAYA, 22 NOV: Limpahan khazanah warisan daripada kepelbagaian suku kaum dan etnik di Selangor menjadi keunikan penting kepada negeri ini yang sedang mempromosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Mohammad Bakhtiar Wan Chik berkata, melihat kepada perkembangan itu, pihaknya percaya sasaran 30 juta ketibaan pelancong luar ke negara ini mampu dicapai.

Katanya, kemasukan pelancong itu dijangka menjana pendapatan sehingga RM100 bilion sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi bukan sahaja buat Malaysia tetapi Selangor sendiri.

“Selangor sememangnya antara negeri yang berada dalam kelompok tiga negeri terbaik untuk menarik pelancong asing kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang adalah pintu masuk utama terletak di negeri itu.

“Justeru, kita mahu jalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor bagi merancakkan promosi eko-pelancongan, pelancongan budaya dan beberapa warisan yang kaya di Selangor seperti Perkampungan Orang Asli Mah Meri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran TMM 2020 peringkat Selangor, di Grand Ballroom, Eastin Hotel Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari serta Pengarah Pejabat MOTAC Selangor, Syed Mohd Fariz Syed Mansor.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil rakan strategik kepada 17 penerima terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), persatuan pelancongan, hotel dan syarikat swasta yang menyatakan komitmen menyokong TMM2020.

Mohammad Bakhtiar menzahirkan rasa bangga di atas komitmen Kerajaan Negeri yang senada dalam menyatakan sokongan bagi menyemarakkan kempen tersebut.

“Bagi terus membantu penggiat industri pelancongan di Selangor, kerajaan sudah menyediakan pelbagai insentif seperti Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN Malaysia), Tabung Infrastruktur Pelancongan dan Tabung Khas Pelancongan.

“Kita berharap Tourism Malaysia dan Tourism Selangor akan terus bekerjasama dalam mempromosikan aktiviti-aktiviti pelancongan terutama di Selangor,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sasar 4 juta pelancong Indonesia sempena TMM2020

JAKARTA, 27 JUL: Tourism Malaysia di Indonesia menyasarkan 4 juta pelancong dari negara itu berkunjung ke Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia, Roslan Othman berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan ejen pelancongan di Indonesia, bagi mencapai sasaran itu.

“Indonesia adalah pasaran utama yang boleh menjadi penyumbang kepada kedatangan pelancong ke Malaysia yang disasarkan sebanyak 30 juta. Kami menyasarkan 4 juta pelancong Indonesia,” katanya pada majlis memperkenalkan logo Tahun Melawat Malaysia 2020 kepada lebih 50 ejen pelancongan di Indonesia, di sini.

Beliau berkata, Tourism Malaysia di Indonesia juga akan mengadakan promosi Tahun Melawat Malaysia di kota lain di Indonesia.

“Bagi 2019, kami menyasarkan 3.4 juta pelancong Indonesia. Sehingga Mei 2019, lebih 1.5 juta pelancong Indonesia melawat Malaysia,” katanya.