Categories
NASIONAL

Loy Sian : Tekad HapusTol PJS2 Jika Tawan Putrajaya

Tekad HapusTol PJS2

PETALING JAYA 2 MEI: Calon Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian bertekad akan meneruskan bantahan terhadap kutipan tol di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan 2 (PJS2) di sini.

Menurut Loy Sian, plaza tol yang terletak sekitar Taman Medan itu menyusahkan penduduk bagi menjalankan urusan harian seperti menghantar anak ke sekolah, menziarahi saudara mara dan lain-lain walaupun hanya bersebelahan antara satu sama lain.

Bagaimanapun menurut Loy Sian, misi tersebut lebih mudah dilaksanakan sekiranya PR menang di peringkat persekutuan kerana pemansuhan tol merupakan salah satu dasar nasional yang dibawa PR di dalam manifestonya.

“Asalnya, jalan ini adalah jalan lama, tetapi hanya dinaiktaraf menjadi lebuh raya pada 2004 dan kemudian pengguna dikenakan tol sebanyak RM1.60.

“Ini tidak adil kepada seluruh pengguna jalan raya,” kata Loy Sian ketika ditemui TV Selangor.

Kadar Tol PJS 2 yang dikenakan sebelum ini ialah RM 1.60, namun diturunkan kepada RM 1.00 selepas penduduk di situ mengadakan demonstrasi bagi membantah kewujudkan plaza tol di situ.

Selain memimpin demontrasi membantah tol, Loy Sian juga pernah membawa isu ini ke Dewan Rakyat.

Ketika menyentuh isu lain, Loy Sian yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Petaling Jaya Selatan, memberitahu sokongan pengundi Melayu di PJS ketika ini menunjukkan peningkatan luar biasa.

“Sokongan 2008 di kawasan Melayu sekitar 40 peratus sahaja, tetapi sekarang kita dapati sokongan meningkat lebih 60 peratus kepada PR, manakala sokongan pengundi Cina dan India sama seperti tempat lain memang padu,” katanya lagi.

Pada 2008 lalu, Loy Sian daripada PKR menewaskan penyandang kerusi berkenaan Datuk Donald Lim Siang daripada BN dengan majoriti 5,706 undi.