Categories
AGENDA NASIONAL

Penggunaan RFID meningkat 18 peratus sejak 2017

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Kadar penggunaan peranti identifikasi frekuensi radio (RFID) atau MyRFID bagi pembayaran tol meningkat sebanyak 18 peratus sejak diperkenalkan pada 2017, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pemilihan teknologi RFID dilihat lebih berkesan berbanding teknologi infrared yang digunakan bagi peranti SmartTag.

“Jika dibandingkan dengan SmartTag yang menggunakan teknologi infrared, teknologi ini masih belum terbukti keberkesanannya dalam pelaksanaan sistem laluan terus pelbagai lorong (MLFF) berbanding teknologi RFID yang telah diguna pakai secara meluas oleh negara-negara maju yang sudah melaksanakan sistem kutipan tol itu.

“Pelaksanaan teknologi RFID adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF) menggunakan pendekatan teknologi RFID dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai pelaksanaan kemudahan pembayaran tol menggunakan teknologi RFID di semua tol tertutup di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan berhubung langkah mengatasi masalah kesesakan di plaza tol susulan dakwaan ketidakberkesanan RFID, Fadillah berkata beberapa tindakan jangka masa pendek telah dilakukan antara lain, menempatkan petugas tol di plaza tol dan mengekalkan lorong Touch ‘n Go (TnG) dan SmartTag sedia ada.

“Kalau lihat sistem sedia ada, Touch n Go kita perlu berhenti untuk imbas sebelum palang dibuka dengan jumlah 450 kenderaan yang mampu diproses dalam tempoh satu jam, manakala SmartTag dan RFID mampu proses 1,000 kenderaan bererti ia juga mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah mengenai sama ada kerajaan bercadang untuk menghapuskan tol pada masa hadapan, Fadillah berkata kerajaan tidak mampu menghapuskan tol kerana pampasannya yang begitu besar.

Jelasnya, janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan tol semasa pentadbiran terdahulu juga tidak dapat dilaksanakan berikutan realiti kos yang ditanggung untuk membayar pampasan itu amat besar.

“Oleh itu, kita sekarang ini hanya lakukan perundingan untuk lihat bagaimana kita tidak bebankan pengguna dan dalam masa sama tidak membebankan kerajaan dari segi kedudukan kewangan kita. Menang-menang untuk semua pihak,” katanya.

Merujuk kepada harga jualan semasa bagi tag RFID, Dewan Rakyat turut dimaklumkan bahawa pihak kerajaan telah meminta supaya pihak TnG Sdn Bhd untuk mengkaji semula kos berkenaan bagi tujuan mengurangkan harga jualan tag tersebut.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bayar parkir guna TnG, mudah atau beban?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 OGOS: Sedar atau tidak? Jika anda pernah masuk ke kawasan parkir berbayar menggunakan kaedah pembayaran kad Touch n Go (TnG), caj lebih mahal dikenakan ke atas anda berbanding bayaran menggunakan tiket secara manual.

Mungkin ada diantara kita yang terlepas pandang. Tetapi itulah yang berlaku. Anda dikenakan caj tambahan 10 peratus dan tentunya ia bukan jumlah yang kecil.

Mengapa perkara ini berlaku sedangkan Malaysia ketika ini sedang menuju ke arah masyarakat tanpa tunai (cashless society)?.

Penggunaan wang tunai semakin hari semakin jauh meninggalkan kita. Kini, kita juga semakin jarang ke ATM mengeluarkan wang tunai.

Di pasar malam, transaksi tanpa tunai sudah diperkenalkan. Malah, kawasan Kuala Kubu Bharu menjadi perintis dalam pelaksanaan transaksi pembayaran tanpa tunai di daerah Hulu Selangor melalui aplikasi e-dompet dan boosts oleh Kerajaan Selangor.

Namun, adakah kerajaan boleh memastikan penggunaan transaksi tanpa tunai ini tiada caj tersembunyi oleh mana-mana pihak berkepentingan? Adakah caj ini tidak membebankan pengguna?

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, penggunaan kaedah ini sepatutnya memudahkan pengguna dan tidak perlu beratur panjang untuk membayar caj parkir.

Sebaliknya, katanya, ia menjadi beban tambahan kepada pengguna apabila kadar bayaran parkir itu menjadi lebih mahal.

“Pengguna menjadi sukar. Ada sesetengah tempat parkir tiada tunai dan hanya menggunakan kaedah bayaran TnG.

“Sudahlah bila tambah nilai, caj RM0.50 dikenakan, pergi parkir juga ada caj.Ini akan membebankan pengguna apabila pelbagai caj dikenakan,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Yusof berkata, pengguna yang bijak tentunya akan memilih kaedah pembayaran lebih murah dan menjimatkan.

Malah, katanya, jika berlarutan pastinya inisiatif masyarakat tanpa tunai tidak akan berjaya direalisasikan.

“Hasrat menggunakan kad TnG ini untuk mengurangkan kos operasi dari segi tenaga kerja dan cetakan kertas tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Yusof menyarankan kerajaan memantau dan mewujudkan dasar penyelia perkhidmatan ini daripada terus membebankan pengguna.

“Ketika ini, TnG juga memonopoli penggunaan kad seperti ini, jika kerajaan mengawal dan mewujudkan inisiatif lain selain TnG perkara sedemikian boleh diatasi,” katanya.