Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan naikkan harga topeng muka – Fomca

SHAH ALAM, 28 JAN: Peniaga digesa tidak menaikkan harga topeng muka susulan penularan wabak koronovirus ketika ini, kata timbalan presiden gabungan persatuan pengguna Malaysia (Fomca).

Sebaliknya peniaga digalak menurunkan harga atau mengedarkannya secara percuma seperti di Jepun.

“Setakat ini Fomca belum terima aduan. Namun jika ada, peniaga tidak sepatutnya mengambil kesempatan sebaliknya mereka perlu memainkan peranan bantu kerajaan dengan melaksanakan tanggungjawab sosial.

“Tidak boleh mengaut keuntungan sewenang-wenangnya dalam hal ini,” kata Mohd Yusof Abdul Rahman kepada SelangorKini.

Pada masa sama beliau mahu pengguna buat aduan kepada pihak berwajib jika terdapat kenaikan harga.

“Kerajaan perlu menguar-uarkan harga topeng muka kepada orang awam supaya mereka tahu harga yang ditetapkan dan pengeluar juga harus mempertingkatkan bekalan supaya cukup untuk pengguna,” katanya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menetapkan lima jenis topeng muka sebagai barangan harga terkawal.

Lima jenis topeng muka terbabit adalah:

(i) Topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan (gelung telinga) – Harga borong RM5 sekotak , harga runcit RM7 sekotak.

(ii) Topeng muka (pembedahan/perubatan) 2 lapisan (gelung telinga) – Harga Borong RM8 sekotak, harga runcit RM10 dan RM0.20 sen seunit.

(iii)Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) – harga borong RM25 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.

(iv) Topeng muka (pembedahan/ perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala) – harga borong RM30 sekotak, harga runcit RM0.80 sen seunit.

(v) Topeng muka (pembedahan / perubatan) N95 – harga borong RM100 sekotak, harga runcit RM6 seunit.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bayar parkir guna TnG, mudah atau beban?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 OGOS: Sedar atau tidak? Jika anda pernah masuk ke kawasan parkir berbayar menggunakan kaedah pembayaran kad Touch n Go (TnG), caj lebih mahal dikenakan ke atas anda berbanding bayaran menggunakan tiket secara manual.

Mungkin ada diantara kita yang terlepas pandang. Tetapi itulah yang berlaku. Anda dikenakan caj tambahan 10 peratus dan tentunya ia bukan jumlah yang kecil.

Mengapa perkara ini berlaku sedangkan Malaysia ketika ini sedang menuju ke arah masyarakat tanpa tunai (cashless society)?.

Penggunaan wang tunai semakin hari semakin jauh meninggalkan kita. Kini, kita juga semakin jarang ke ATM mengeluarkan wang tunai.

Di pasar malam, transaksi tanpa tunai sudah diperkenalkan. Malah, kawasan Kuala Kubu Bharu menjadi perintis dalam pelaksanaan transaksi pembayaran tanpa tunai di daerah Hulu Selangor melalui aplikasi e-dompet dan boosts oleh Kerajaan Selangor.

Namun, adakah kerajaan boleh memastikan penggunaan transaksi tanpa tunai ini tiada caj tersembunyi oleh mana-mana pihak berkepentingan? Adakah caj ini tidak membebankan pengguna?

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, penggunaan kaedah ini sepatutnya memudahkan pengguna dan tidak perlu beratur panjang untuk membayar caj parkir.

Sebaliknya, katanya, ia menjadi beban tambahan kepada pengguna apabila kadar bayaran parkir itu menjadi lebih mahal.

“Pengguna menjadi sukar. Ada sesetengah tempat parkir tiada tunai dan hanya menggunakan kaedah bayaran TnG.

“Sudahlah bila tambah nilai, caj RM0.50 dikenakan, pergi parkir juga ada caj.Ini akan membebankan pengguna apabila pelbagai caj dikenakan,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Yusof berkata, pengguna yang bijak tentunya akan memilih kaedah pembayaran lebih murah dan menjimatkan.

Malah, katanya, jika berlarutan pastinya inisiatif masyarakat tanpa tunai tidak akan berjaya direalisasikan.

“Hasrat menggunakan kad TnG ini untuk mengurangkan kos operasi dari segi tenaga kerja dan cetakan kertas tetapi sebaliknya berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Yusof menyarankan kerajaan memantau dan mewujudkan dasar penyelia perkhidmatan ini daripada terus membebankan pengguna.

“Ketika ini, TnG juga memonopoli penggunaan kad seperti ini, jika kerajaan mengawal dan mewujudkan inisiatif lain selain TnG perkara sedemikian boleh diatasi,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan perlu tegas isu pamer ayat al-Quran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JAN: Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pemilik restoran bukan Islam yang meletakkan ayat al-Quran bagi menarik pelanggan Islam ke premis berkenaan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, hal itu bagi mengelakkan orang Islam tertipu dengan tindakan pemilik premis yang tidak bertanggungjawab.

“Pada masa kini, isu ini berleluasa di banyak premis dimiliki orang bukan Islam.

“Mereka meletakkan ayat-ayat suci al-Quran dan ayat-ayat yang menggambarkan pemiliknya kononnya Islam, itu menyebabkan pengguna keliru.

“Ia sekali gus menyebabkan pelanggan Islam tertipu dan menganggap restoran berkenaan mempunyai sijil Halal,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Yusof berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertanggungjawab membanteras isu berkenaan sekiranya pemilik bukan Islam.

“Pihak Jabatan Agama Islam tidak boleh mengambil tindakan kerana ia membabitkan premis bukan Islam. Isu ini bukan perkara baru, kebanyakkan premis ini juga tidak memohon sijil Halal.

“Pengguna Islam apabila melihat terdapat elemen itu, akan terus mengunjunginya tanpa membuat pemeriksaan terlebih dahulu,” katanya.

Pada masa sama, Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim perlu bekerjasama dengan Kerajaan membanteras aktiviti berkenaan dan meminta mereka mempamerkan sijil Halal.

Katanya, pengguna juga dinasihatkan supaya peka akan persekitaraan membabitkan suasana premis, pekerja dan hidangan yang dijual.

 

Categories
SELANGOR

FOMCA gesa wujudkan Kementerian Kepenggunaan berasingan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 JULAI: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa Kerajaan Persekutuan mewujudkan Kementerian Kepenggunaan yang berasingan bagi mengelakkan konflik kepentingan di antara peniaga dan pengguna.

Timbalan Presiden, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata langkah itu penting dalam menjaga kepentingan pengguna berbanding kini kepentingan peniaga dan perlindungan pengguna dirangkum dalam kementerian sama.

“Selain itu, kerajaan hendaklah mengekalkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Ia juga perlu diperkukuh bagi meningkatkan perlindungan pengguna daripada peniaga yang mengambil keuntungan secara berlebihan,” katanya dalam kenyataan media.

Kedua-dua resolusi berkenaan merupakan antara 11 resolusi dipersetujui Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Gabungan FOMCA dalam Mesyuarat Persidangan Perwakilan FOMCA kali ke-40 semalam.

YUSOF FOMCAPersidangan turut menyaksikan Datuk Dr Marimuthu Nadason mengekalkan
kedudukannya sebagai Presiden, Yusof (Timbalan Presiden) dan Dato’ Paul Selva Raj (Setiausaha Agung).

Yusof berkata, Akta Persaingan 2010 juga perlu dikuatkuasakan secara lebih agresif dan menyeluruh.

“Langkah ini mampu mewujudkan pasaran bebas daripada tindakan manipulasi harga oleh peniaga.

“Ia seterusnya meningkatkan perlindungan dan kesejahteraan pengguna,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

FOMCA: Jangan biarkan MyBeras gagal seperti SUBUR

OLEH : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 APR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengingatkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya melaksanakan program MyBeras secara telus bagi mengelakkan kegagalan berulang seperti Program Subsidi Beras untuk Rakyat (SUBUR).

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya menyambut baik inisiatif pemberian bantuan 20 kilogram (kg) beras percuma setiap bulan kepada 85,401 keluarga miskin tegar asalkan ia diagihkan secara adil.

FOMCA“Pada saya ia program yang bagus membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Yang kita bimbangkan ia akan menjadi program SUBUR dahulu. Sebelum ini program SUBUR juga berkaitan dengan beras, namun akibat ketirisan berlaku menyebabkan ada golongan sasaran tidak dapat baucar.

“Biar penerima lebih 85,000 ini menerimanya tanpa mengira fahaman politik,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai program terbaru kerajaan bagi membantu golongan miskin tegar.

Jelasnya, kegagalan SUBUR yang dilaksanakan pada 1 Disember 2009 turut menggunakan pangkalan data e-Kasih dikeluarkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

BERASMenerusi SUBUR, setiap keluarga akan diberi 1 hingga 3 keping baucar (jumlah maksimum) iaitu bergantung pada jumlah ahli keluarga dan diagihkan setiap enam bulan yang disampaikan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Lucas Umbul mengenai langkah kementerian dalam mengagihkan beras MyBeras kepada golongan sasar serta kriteria diperlukan di Dewan Negara semalam.

Katanya, tiga negeri utama menerima bantuanprogram adalah Sabah membabitkan 31,055 keluarga, diikuti Sarawak (30,094) dan Kelantan (13,417).

-nR-

Categories
NASIONAL

FOMCA: Kekalkan potongan caruman KWSP 11 peratus

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan suapaya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan caruman 11 peratus berbanding memilih potongan tiga peratus seperti yang diumumkan kerajaan

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata meskipun pencarum mempunyai lebihan perbelanjaan jika memilih untuk mencarum sebanyak 8 peratus namun simpanan kewangan masa hadapan perlu diutamakan.

FOMCA“Pada kita lebih baik ia dikekalkan 11 peratus. Kerajaan memberikan pilihan kepada kita (pencarum) untuk kekalkan atau tidak.

“Untuk pendapatan lain ia bergantung kepada bagaimana kita merancang perbelanjaan tetapi untuk simpanan wajib lebih baik dikekalkan untuk masa hadapan,” katanya kepada Selangor Kini.

Jelasnya, kebanyakan pencarum kini berhadapan penyusutan simpanan selepas bersara atas faktor kesihatan serta perbelanjaan pengajian anak-anak.

“Kalau kita melihat aspek kerugian yang dihadapi pengguna, kalau mereka mencarum kurang 11 peratus, simpanan caruman untuk hari tua berkurang. Berdasarkan kaji selidik yang dibuat KWSP pesara dalam lingkungan umur 55 hingga 60 mempunyai simpanan agak kurang,” katanya.

FOMCAPada 28 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju mengurangkan potongan caruman KWSP pekerja sebanyak 3 peratus mulai Mac 2016 sehingga Disember 2017.

Langkah itu, dijangka meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sehingga 8 bilion ringgit setahun.

-nR-

FOMCA : Labelkan harga barang selepas GST, elak pengguna keliru

Bagi mengelak kekeliruan pengguna, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mendesak kerajaan mewajibkan peniaga melabelkan harga barangan yang dikenakan Cukai Barangan dan Perkhimatan (GST) atau tidak.

Categories
SELANGOR

FOMCA kesan pasar raya besar jual makanan luput tarikh

DSC_9700

PETALING JAYA 10 OKT: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendapati tiga pasar raya besar terkenal sekitar Lembah Klang menjual 75 produk makanan luput tarikh.

Pada sidang media pagi ini, Pengarah Komunikasi FOMCA, Saravanan Thambirajah, berkata penemuan itu hasil operasi pada 2 hingga 7 Oktober lalu.

“Produk pengguna yang tamat tempohnya khususnya makanan dan ubat-ubatan boleh menyebabkan masalah kesihatan pengguna.

“Risiko berkaitan produk tamat tempoh boleh dikaitkan dengan bahan kimia dan biologi berbahaya yang berpunca daripada bakteria, kulat atau cendawan,” katanya.

Beliau berkata, FOMCA juga mendapati pasar raya terbabit turut menjual produk makanan yang tiada tarikh luput sedangkan, Peraturan Makanan 1985 menetapkan keperluan perlabelan makanan dan penandaan tarikh.

“Ini keperluan perlabelan minimum bagi makanan sebagai asas memastikan hak pengguna mendapatkan maklumat untuk keselamatan mereka,” katanya.

Justeru, Saravanan mendesak Kementerian Kesihatan Malaysia menguat kuasa Peraturan Makanan 1985 agar makanan yang luput tarikh dikeluarkan dari rak jualan.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Janji BN Tidak Ikhlas, Tidak Mampu Dilaksanakan – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 19042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyambut baik pengiktirafan Umno-Barisan Nasional kepada dasar pro-rakyat Pakatan Rakyat yang telah dilaksanakan gagasan itu, dengan memasukkan dasar pemberian air percuma di dalam manifesto BN 2013.

2. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA menyambut baik rancangan Pakatan Rakyat menawarkan pemilikan saham kepada rakyat  Selangor dalam industri air negeri.

3. Pasca 2008 menyaksikan persaingan antara dua gagasan parti politik untuk memenangi hati rakyat. Jika demokrasi dapat dilestarikan dengan lebih sihat dan membina, pasti yang paling untung adalah rakyat jua.

4. Parti Islam Se-Malaysia mempersoalkan keengganan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia bertindak keatas Umno yang mempunyai 75 peratus cawangan haram di serata Malaysia.

5. Polis digesa memastikan keselamatan 2000 sukarelawan Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) yang akan memantau 55 kerusi Parlimen di seluruh negara pada PRU-13 nanti.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
SELANGOR

Turun Harga Barang, Kawal Jenayah Antara Tuntutan FOMCA Dalam PRU13

PETALING JAYA 29 JUN : Penurunan harga barang, tingkat pengangkutan awam dan kawal kadar jenayah merupakan tiga isu utama yang dituntut pengguna, kata Datuk Marimuthu Nadason.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), berkata tuntutan itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke -12, 2008 hingga 2011 melalui kempen konsumer kebangsaan (3K).

Katanya, manifesto bagi PRU13 itu diwujudkan memandangkan pengundi juga merupakan golongan pengguna.

“Isu kenaikan harga barang merupakan masalah utama bagi rakyat Malaysia. Taraf hidup yang semakin meningkat menyebabkan rakyat tertekan.

“Oleh itu, tumpuan perlu diberikan kepada sektor pertanian bagi menstabilkan harga, ” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya pagi tadi.

Selain itu, kerajaan harus memberikan komitmen yang serius untuk menambah baik pengangkutan awam, bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di seluruh negara.

“Kerajaan juga harus mencari jalan bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini, ” katanya.

Manifesto tuntutan itu berdasarkan lapan hak pengguna antaranya hak mendapat keperluan asas, keselamatan, pilihan, maklumat, bersuara, ganti rugi, pendidikan pengguna dan alam sekitar yang sihat.

Ia dilancarkan sempena PRU13 akan datang dan merupakan pertama kali dilancarkan sebelum pilihan raya.

“Manifesto ini bagi mewujudkan kesedaran dan peringatan kepada parti politik yang akan bertanding pada PRU13 tentang isu-isu kepenggunaan.

“Pihak kami tidak kisah siapa yang memenangi PRU13 nanti, apa yang kami mahu hanya sebuah kerajaan yang boleh melindungi kami dengan baik.

“Kami mahu kerajaan mengambil serius apa yang dituntut ini. Kami harap perkara ini dibentangkan di Parlimen dan bukan hanya membahaskan isu politik sahaja, ” katanya.

Marimuthu menambah Fomca turut mencadangkan agar pengawalseliaan perlindungan pengguna diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri(JPM) bukannya di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Pihak Fomca berasa terkilan kerana setiap kali ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru, mereka diberikan peruntukkan khas tetapi tidak bagi kami.

“Di Singapura, kerajaan mereka memberikan peruntukkan khas kepada persatuan pengguna. Fomca tidak seperti NGO lain yang hanya membincangkan isu asas sahaja, ” katanya.

Justeru, jika di bawah JPM, Fomca dapat memberi lebih pendekatan perlindungan yang lebih menyeluruh dan bersepadu kepada pengguna.

Manifesto tuntutan itu akan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Kami juga sudah menghantar ke semua parti pembangkang dan akan diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Katanya, parti terlibat juga diharap membuat perancangan untuk melaksanakan dasar dan program berkaitan isu tersebut apabila berjaya membentuk kerajaan.