Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Penjawat awam, sistem perkhidmatan bergerak ke transformasi digital – MB

AMPANG, 19 SEPT: Kerajaan Negeri komited mempersiapkan pejawat awam dan sistem perkhidmatan ke arah transformasi digital untuk memenuhi dan mencapai visi negeri pintar menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan latihan dan program pembangunan menerusi medium berkaitan memberi impak positif terhadap rakyat khususnya usahawan.

“Kita bukan baru bermula (transformasi digital) sebaliknya sedang rancak ke arah itu lebih-lebih lagi pandemik Covid-19 yang ternyata memberi peluang untuk mencuba kaedah digital ini.

“Namun, kerja masih perlu dibuat dan banyak lagi tugasan perlu dilakukan secara berperingkat untuk mendigitalisasi bukan hanya komuniti tetapi pegawai kerajaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas merasmikan program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 Siri Ketiga di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri ketiga di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 19 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100.7 juta untuk industri digitalisasi bagi mengimbangi pentadbiran ketika penularan Covid-19.

Digitalisasi membabitkan e-pembelajaran, Selangor Advance dan Inisiatif Digital Selangor Grab yang membuka peluang pekerjaan serta menjaga kebajikan pekerja sedia ada.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS labur dalam teknologi tambah sehingga RM99 bilion KDNK

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah berbilion ringgit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2024, menurut satu kajian.

Kajian Kematangan Digital Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) Asia Pasifik 2020 dilakukan bersama syarikat teknologi Cisco dan syarikat risikan pasaran, International Data Corporation.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia Albert Chai berkata PKS Malaysia menunjukkan daya tahan dan memanfaatkan teknologi untuk beroperasi semasa pandemik Covid-19.

“Memandangkan Malaysia dapat mengatasi pandemik dan aktiviti perniagaan mula meningkat, transformasi digital PKS akan memainkan peranan penting dalam pemulihan mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya pada taklimat media mengenai Kajian Kematangan Digital PKS Asia Pasifik Cisco secara maya semalam.

Kajian itu melibatkan 1,424 responden dari 14 negara Asia Pasifik.

Hasil kajian itu menunjukkan PKS Malaysia yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah antara RM79 bilion dan RM99 bilion kepada KDNK menjelang 2024.

Katanya membeli atau menaik taraf perkakasan IT (18 peratus) merupakan keutamaan pelaburan teknologi yang utama kepada PKS Malaysia, diikuti membeli atau menaik taraf perisian IT (14 peratus) dan keselamatan siber (11 peratus).

Dalam kalangan responden, 86 peratus berkata mereka yakin pendigitalan akan membantu membangunkan daya tahan pada masa depan terhadap krisis seperti Covid-19.

“Keupayaan daya tahan, pantas dan transformasi digital PKS akan memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia selepas Covid-19,” menurut kajian itu.

Katanya PKS yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi menikmati faedah yang lebih tinggi dari segi pendapatan dan produktiviti berbanding mereka yang mempunyai pendekatan yang sederhana terhadap pendigitalan.

Pengarah Perniagaan Kecil dan Komersial ASEAN Cisco Raz Mohamad berkata PKS menyumbang lebih 85 peratus daripada jumlah penubuhan perniagaan dan menjadi penyumbang utama kepada pekerjaan sektor swasta di rantau ini.

“Walaupun PKS kini menghadapi cabaran terbesar dalam operasi mereka, mereka juga mempunyai peluang untuk mempercepatkan transformasi digital mereka.

“Teknologi bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan beberapa cabaran utama mereka dan memberi nafas baharu kepada operasi mereka, tetapi juga membantu mereka mengekalkan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Menurut kajian itu, sebanyak 64 peratus daripada PKS Malaysia merancang untuk melakukan transformasi digital untuk membawa produk dan perkhidmatan baharu dalam pasaran, peningkatan yang besar daripada 33 peratus pada tahun lepas.

“Ini merupakan perkembangan yang positif, berdasarkan PKS menyumbang 98.5 peratus daripada semua perniagaan, 66.2 peratus daripada jumlah pekerjaan negara dan menyumbang 38.3 peratus kepada keseluruhan KDNK, menjadikan mereka komponen penting kepada landskap perdagangan dan komersial Malaysia,” menurut kajian itu.

Selain itu, 59 peratus daripada responden menyedari bahawa persaingan sedang berubah dan mereka perlu seiring dengan trend tersebut, manakala 43 peratus berkata mereka melakukan transformasi berikutan permintaan daripada pelanggan.

Kajian itu turut menyatakan bahawa PKS sedang menghadapi cabaran dalam mengguna pakai strategi pendigitalan.

Menurut responden, kekurangan tenaga mahir dalam bidang teknologi merupakan cabaran terbesar yang mereka hadapi (21 peratus), diikuti kekurangan bajet dan komitmen daripada pengurusan (16 peratus).

PKS juga didapati kekurangan pelan tindakan transformasi digital yang tepat dan penting kepada mana-mana organisasi yang mahu memacu perubahan yang besar (12 peratus).

Ia menekankan bahawa hampir 70 peratus daripada PKS di Asia Pasifik mempercepatkan pendigitalan perniagaan mereka berikutan pandemik.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS digesa pertingkat guna digital, ubah cara niaga

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) perlu meneruskan usaha transformasi digital mereka pasca Perintah Kawalan Pergerakan, kata Pengarah Urusan Genaxis Group Nuraslina Zainal Abidin.

Beliau berkata dengan penyambungan semula aktiviti perniagaan seperti keadaan biasa, PKS mungkin kurang berminat untuk melaksanakan transformasi digital mereka.

Nuraslina, yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif IA Consulting Sdn Bhd berkata PKS perlu melihat pendigitalan sebagai langkah kritikal untuk memantapkan perniagaan dan ketahanan operasi serta meningkatkan produktiviti mereka semasa tempoh sukar dan tidak pernah berlaku seperti ini.

“Ada kemungkinan PKS tidak memahami sepenuhnya kepentingan transformasi digital, dan langkah kecil pertama yang mereka perlu ambil untuk melaksanakan transformasi digital.

“Untuk melaksanakan pendigitalan perniagaan mereka, PKS perlu terlebih dahulu memahami keutamaan perniagaan yang memerlukan pendigitalan, sama ada membantu mengurangkan kos operasi, mendapatkan pelanggan sasaran baharu, melancarkan produk atau perkhidmatan baharu atau mengoptimumkan sumber,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Genaxis dan iAC adalah anak syarikat Dagang NeXchange Bhd.

Nuraslina berkata syarikat-syarikat perlu menumpukan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan mereka di platform digital bagi mengambil kesempatan daripada norma baharu dengan pelanggan beralih kepada platform mudah alih atau internet untuk membuat pembelian.

PKS sudah pastinya mendapat manfaat meraih lebih ramai pelanggan dan mengurangkan kos operasi dengan beralih kepada platform digital untuk menawarkan produk atau menyediakan perkhidmatan, katanya.

-BERNAMA