Categories
AGENDA EKONOMI GLOBAL

Ekonomi Asia-Pasifik dahului pulih kesan Covid-19 – Moody’s Analytics

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Ekonomi Asia-Pasifik (APAC) kini mendahului pemulihan di peringkat global daripada Covid-19, didorong oleh langkah-langkah diambil mengawal pandemik itu, pelonggaran sekatan perjalanan dan peningkatan dalam perdagangan global, kata Moody’s Analytics.

Ketua Pakar Ekonomi APAC, Steve Cochrane berkata pemulihan Asia diketuai China dan pemulihan China disebabkan oleh eksport yang berada pada kedudukan sama seperti sebelum penularan Covid-19.

“Kepantasan urus niaga perdagangan antarabangsa China dan peningkatan jumlah import memberi kesan kepada rantau APAC dengan Vietnam, Singapura, Taiwan, Malaysia, dan New Zealand mencatatkan eksport melebihi jumlah direkodkan setahun lepas pada bulan September” katanya dalam laporan bertajuk “APAC Outlook: Next Year Looks Better for Most of the Region” bertarikh 17 November, 2020.

Cochrane berkata walaupun hanya beberapa negara sahaja yang melaporkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 13 November, 2020, antaranya ialah China, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan, masing-masing melaporkan pertumbuhan bagi tempoh suku ke suku.

“Ekonomi APAC telah melakukan yang terbaik untuk mengawal penularan Covid-19 dan ia kembali bersama pemulihan dalam pengeluaran industri serta perdagangan global.

“Selain itu, ia menikmati paras sokongan fiskal dalam kebanyakan negara yang menstabilkan ekonomi mereka dengan menjaga keadaan kewangan perusahaan dan isi rumah supaya mereka dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi,” katanya.

Mengenai aliran portfolio, Cochrane berkata para pelabur berkeyakinan terhadap China, manakala Malaysia dan Filipina juga mempunyai aliran hutang positif kumulatif bersih setakat ini bagi 2020.

Beliau berkata seluruh rantau APAC tidak akan pulih sepenuhnya sehingga pemulihan ekonomi global selanjutnya memperluaskan rangkaian perdagangan global yang melibatkan lebih banyak barangan pengguna seperti automotid dan komoditi seperti minyak mentah serta petrokimia.

Beliau berkata pemulihan ekonomi di rantau APAC tidak akan lengkap sehingga pergerakan perjalanan dan pelancongan di peringkat antarabangsa aktif semula.

“Ini akan menjadi proses yang panjang ketika para pegawai melakukan penilaian terhadap langkah-langkah pencegahan kepada kemasukan pengembara dan pelancong dari negara asal mereka,” katanya.

Risiko-risiko lain di rantaui ini adalah kesanggupan kerajaan untuk terus memberikan menyediakan sokongan fiskal yang disasarkan kepada isi rumah dan industri yang terjejas akibat wabak itu, katanya.

Bagaimanapun beliau berkata Malaysia, Singapura, Australia dan Jepun memang memiliki program sokongan yang cukup besar, ia secara langsung mensasarkan rumah tangga dan industri yang menghadapi kesukaran.

Walaupun mudah menggambarkan kemampuan rantau APAC untuk mengawal pandemik itu, Cochrane berkata wujud kluster tempatan yang terus menjadi risiko di rantau itu, sebagai contoh kes wabak itu kini meningkat di Malaysia.

“Sekiranya tiada penularan semula jangkitan Covid-19, pelabur berkemungkinan akan memperkukuhkan pasaran baharu di rantau APAC, terutama sekiranya pasaran baharu di Eropah Timur, Amerika Latin dan Afrika terus menghadapi kesukaran dan kesan ekonomi akibat wabak itu,” katanya.

“Secara keseluruhan, Cochrane berkata unjuran asas ekonomi di rantau APAC akan mencatatkan pertumbuhan positif pada 2021, China, VIetnam dan Hong Kong akan menjadi menjadi antara negara yang dijangka merekodkan pertumbuhan yang pantas.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS labur dalam teknologi tambah sehingga RM99 bilion KDNK

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah berbilion ringgit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2024, menurut satu kajian.

Kajian Kematangan Digital Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) Asia Pasifik 2020 dilakukan bersama syarikat teknologi Cisco dan syarikat risikan pasaran, International Data Corporation.

Pengarah Urusan Cisco Malaysia Albert Chai berkata PKS Malaysia menunjukkan daya tahan dan memanfaatkan teknologi untuk beroperasi semasa pandemik Covid-19.

“Memandangkan Malaysia dapat mengatasi pandemik dan aktiviti perniagaan mula meningkat, transformasi digital PKS akan memainkan peranan penting dalam pemulihan mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya pada taklimat media mengenai Kajian Kematangan Digital PKS Asia Pasifik Cisco secara maya semalam.

Kajian itu melibatkan 1,424 responden dari 14 negara Asia Pasifik.

Hasil kajian itu menunjukkan PKS Malaysia yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi boleh menambah antara RM79 bilion dan RM99 bilion kepada KDNK menjelang 2024.

Katanya membeli atau menaik taraf perkakasan IT (18 peratus) merupakan keutamaan pelaburan teknologi yang utama kepada PKS Malaysia, diikuti membeli atau menaik taraf perisian IT (14 peratus) dan keselamatan siber (11 peratus).

Dalam kalangan responden, 86 peratus berkata mereka yakin pendigitalan akan membantu membangunkan daya tahan pada masa depan terhadap krisis seperti Covid-19.

“Keupayaan daya tahan, pantas dan transformasi digital PKS akan memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia selepas Covid-19,” menurut kajian itu.

Katanya PKS yang membuat pelaburan dalam bidang teknologi menikmati faedah yang lebih tinggi dari segi pendapatan dan produktiviti berbanding mereka yang mempunyai pendekatan yang sederhana terhadap pendigitalan.

Pengarah Perniagaan Kecil dan Komersial ASEAN Cisco Raz Mohamad berkata PKS menyumbang lebih 85 peratus daripada jumlah penubuhan perniagaan dan menjadi penyumbang utama kepada pekerjaan sektor swasta di rantau ini.

“Walaupun PKS kini menghadapi cabaran terbesar dalam operasi mereka, mereka juga mempunyai peluang untuk mempercepatkan transformasi digital mereka.

“Teknologi bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan beberapa cabaran utama mereka dan memberi nafas baharu kepada operasi mereka, tetapi juga membantu mereka mengekalkan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.

Menurut kajian itu, sebanyak 64 peratus daripada PKS Malaysia merancang untuk melakukan transformasi digital untuk membawa produk dan perkhidmatan baharu dalam pasaran, peningkatan yang besar daripada 33 peratus pada tahun lepas.

“Ini merupakan perkembangan yang positif, berdasarkan PKS menyumbang 98.5 peratus daripada semua perniagaan, 66.2 peratus daripada jumlah pekerjaan negara dan menyumbang 38.3 peratus kepada keseluruhan KDNK, menjadikan mereka komponen penting kepada landskap perdagangan dan komersial Malaysia,” menurut kajian itu.

Selain itu, 59 peratus daripada responden menyedari bahawa persaingan sedang berubah dan mereka perlu seiring dengan trend tersebut, manakala 43 peratus berkata mereka melakukan transformasi berikutan permintaan daripada pelanggan.

Kajian itu turut menyatakan bahawa PKS sedang menghadapi cabaran dalam mengguna pakai strategi pendigitalan.

Menurut responden, kekurangan tenaga mahir dalam bidang teknologi merupakan cabaran terbesar yang mereka hadapi (21 peratus), diikuti kekurangan bajet dan komitmen daripada pengurusan (16 peratus).

PKS juga didapati kekurangan pelan tindakan transformasi digital yang tepat dan penting kepada mana-mana organisasi yang mahu memacu perubahan yang besar (12 peratus).

Ia menekankan bahawa hampir 70 peratus daripada PKS di Asia Pasifik mempercepatkan pendigitalan perniagaan mereka berikutan pandemik.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Eksport minyak sawit turun 41.7 peratus sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Prestasi keseluruhan eksport produk sawit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April, 2020 mencatatkan penurunan signifikan 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1,486,521 tan berbanding 2,279,778 tan bagi tempoh yang sama pada 2019.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata eksport minyak sawit iaitu minyak sawit mentah dan minyak sawit proses menyusut 41.7 peratus atau 636,847 tan kepada 890,331 tan berbanding 1,527,178 juta tan bagi tempoh yang sama.

Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara berkenaan.

“Malaysia juga bersedia untuk melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas selanjutnya, beliau berkata selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama.

Mohd Khairuddin berkata antara negara yang berpotensi adalah dari rantau Asia Pasifik (Filipina, Vietnam dan Myanmar), Timur Tengah (Mesir, Arab Saudi dan Jordan), negara rantau Afrika (Djibouti, Ethiopia, Somalia dan Mozambique) serta dari Asia Tengah (Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan) dengan anggaran pasaran dua juta tan setahun.

Menurutnya sebilangan besar negara tersebut telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terlibat dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia.

“Perkembangan ini menunjukkan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit Malaysia. Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit dan lelemak berasaskan sawit di negara mereka,” kata Mohd Khairuddin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI GLOBAL

Mac bulan bencana sektor penerbangan, jatuh 52.9 peratus – IATA

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyifatkan Mac sebagai bulan bencana kepada industri penerbangan berikutan permintaan yang diukur daripada penumpang mengikut kilometer (RPK) jatuh mendadak 52.9 peratus berbanding tahun lepas.

Ini merupakan penurunan yang terbesar dalam sejarah, mencerminkan impak daripada langkah kerajaan untuk memperlahankan penularan Covid-19, kata IATA yang mewakili 290 syarikat penerbangan yang terdiri daripada 82 peratus trafik udara global.

Bagi data pelarasan musim, jumlah penumpang global kembali kepada paras yang kali terakhir dilihat pada 2006.

Kapasiti Mac (tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) susut 36.2 peratus dan faktor muatan jatuh mendadak 21.4 mata peratusan kepada 60.6 peratus, kata IATA dalam kenyataan hari ini.

“Mac merupakan bulan bencana bagi penerbangan. Syarikat penerbangan secara progresif merasakan peningkatan impak daripada penutupan sempadan dan sekatan pergerakan berikutan Covid-19, termasuk di pasaran domestik.

“Permintaan berada pada paras yang sama seperti 2006, namun kami mempunyai pesawat dan pekerja untuk menggandakannya. Lebih memburukkan apabila kita tahu keadaan semakin merosot pada April dan kebanyakan isyarat menuju ke arah pemulihan yang perlahan,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac.

Permintaan penumpang antarabangsa bagi Mac 2020 menguncup 55.8 peratus berbanding Mac 2019.

Ia lebih buruk berbanding penurunan 10.3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Semua rantau merekodkan penyusutan peratusan trafik dua angka. Kapasiti merosot 42.8 peratus dan faktor muatan menjunam 18.4 mata peratusan kepada 62.5 peratus, jelas IATA.

“Syarikat penerbangan Asia Pasifik mendahului penurunan itu memandangkan trafik Mac jatuh 65.5 peratus berbanding tahun lepas, iaitu melebihi dua kali ganda penurunan 30.7 peratus pada Februari. Kapasiti turun 51.4 peratus dan faktor muatan jatuh 23.4 mata peratusan kepada 57.1 peratus,” katanya.

Permintaan bagi perjalanan domestik menguncup 47.8 peratus pada Mac berbanding Mac 2019 dengan peratusan penurunan dua angka di seluruh pasaran. Ia berbanding kejatuhan 21. 3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Kapasiti susut 24.5 peratus dan faktor muatan menjunam 26.0 mata peratusan kepada 58.1 peratus.

Menurut IATA, syarikat penerbangan China terus menyaksikan penyusutan tertinggi dengan permintaan domestik jatuh 65.5 peratus pada Mac 2020 berbanding Mac 2019. Bagaimanapun, ia adalah penambahbaikan melebihi 85 peratus bagi penurunan tahun ke tahun pada Februari berikutan langkah negara untuk membuka semula penerbangan udara domestik.

Syarikat penerbangan Jepun mencatat pengurangan 55.8 peratus tahun ke tahun bagi RPK domestik walaupun tidak mengenakan sebarang sekatan keluar masuk yang meluas.

“Industri ini dalam keadaan merosot dan kita belum jatuh ke paras terendah. Namun, masanya akan tiba tidak lama lagi, saya harap — apabila pihak berkuasa bersedia melonggarkan sekatan pergerakan dan membuka sempadan. Adalah penting untuk kerajaan bekerjasama dengan industri pada masa ini untuk membuat persiapan menghadapinya,” kata de Juniac.

Beliau berkata ia adalah satu-satunya jalan bagi memastikan industri penerbangan mempunyai kaedah untuk mengekalkan keselamatan penumpang ketika perjalanan dan memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa sektor penerbangan tidak akan menjadi vektor dalam penularan penyakit ini.

“Kita juga perlu mengelakkan kekeliruan dan kerumitan setelah 9.11. Piawaian global yang dipersetujui bersama dan boleh dipraktikkan akan menjadi misi kritikal untuk mencapainya. Satu-satunya kaedah untuk mencapai hasrat itu adalah menerusi kerjasama,” kata beliau.

-BERNAMA