Categories
SELANGOR

MBPJ tambah CCTV berhampiran Taman Mayang

cctv mbpj

SHAH ALAM 31 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil langkah segera dengan menambah bilangan kamera litar tertutup (CCTV) dan memasang lampu di laluan pejalan kaki ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya berhampiran Taman Mayang.

Tindakan segera itu dilakukan bagi meningkatkan keselamatan ekoran kes ragut yang menyebabkan kematian seorang pelajar kolej yang cedera di bahagian kepala, Dickson Wong, 22, di Taman Mayang, pada 26 Oktober lalu.

Unit Perhubungan Awam MBPJ dalam kenyataan media, berkata kerja penambahan CCTV dan mencahayakan lorong laluan itu mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.

“MBPJ juga akan mensyaratkan kepada pemilik premis komersial dalam pembaharuan lesen supaya memasang CCTV di premis mereka untuk membantu mengawal keselamatan bersama.

“MBPJ akan bekerjasama dengan polis dan Rukun Tetangga di kawasan itu bagi melaksanakan rondaan menerusi program rondaan keselamatan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad, mengadakan tinjauan lokasi kejadian ragut terbabit yang turut di hadiri Pengarah Penguatkuasa, Pengarah Kejuruteraan dan Pegawai Perhubungan Awam agensi berkenaan.

Tinjauan itu turut dihadiri pegawai dan anggota polis yang kemudiaannya memberi taklimat ringkas berkenaan kejadian kes ragut itu dan MBPJ melahirkan rasa simpati kepada keluarga mendiang Dickson. -NFN-