Categories
AGENDA NASIONAL

Kesungguhan Tun Salleh Abas wajar disanjung – Anwar

SHAH ALAM, 16 JAN: Kejituan dan kesungguhan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas dalam mempertahankan kebebasan dan integriti badan kehakiman wajar disanjung tinggi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan keluarga juga terkesan dengan pemergian tokoh perundangan itu awal pagi tadi.

“Saya doakan keluarga Allahyarham diberi kekuatan dan ketabahan saat ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Mohamed Salleh, 91, meninggal dunia jam 3.20 pagi tadi selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kelmarin.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu jam 10.40 pagi tadi.

Allahyarham menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Negeri Jertih pada 1999.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong: Pemergian Tun Salleh Abas kehilangan besar negara

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah, menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara, serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” menurut satu kenyataan menerusi Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut, Terengganu menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket PAS pada 1999.

Allahyarham yang juga merupakan seorang daripada tokoh yang membantu mendraf Rukun Negara pada 1970, melanjutkan pendidikannya di Universiti Wales, United Kingdom (UK) pada 1949 dan memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang.

Pada 1957, beliau kembali ke Malaysia dan menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan dan tidak lama selepas kemerdekaan pada tahun yang sama, Salleh dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur di mana beliau berkhidmat sebagai Penolong Pendakwa Raya.

Beliau kemudian pergi ke UK semula untuk memperoleh ijazah sarjananya dalam undang-undang antarabangsa dan perlembagaan di Universiti London.

Allahyarham kembali semula ke tanah air pada 1962, dan dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Penolong Pendakwa Raya untuk kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka.

Setahun kemudian, beliau pulang ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan di bawah Jabatan Peguam Negara, dan akhirnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara.

Allahyarham meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh dan lima anak serta 26 cucu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan zahir takziah, sedih pemergian Tun Salleh Abas

SHAH ALAM, 16 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor serta Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan kesedihan dan dukacita terhadap pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas awal pagi tadi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta Tengku Permaisuri Norashikin berharap keluarga Allahyarham Mohamed Salleh tabah dengan ketentuan selain mendoakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.

“Sultan Sharafuddin menganggap Mohamad Salleh sebagai individu berwibawa, berprinsip dan sentiasa mengutamakan Perlembagaan Negara dalam setiap tindakannya.

“Baginda juga melihat Allahyarham sebagai hakim yang hebat dalam memperjuangkan badan kehakiman, melindungi hak istimewa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang,” tulis Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Tokoh perundangan negara berusia 91 tahun itu meninggal dunia jam 3.20 pagi tadi selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kelmarin.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu jam 10.40 pagi tadi.

Allahyarham menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Negeri Jertih pada 1999.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jenazah Tun Salleh Abas selamat dikebumikan

KUALA TERENGGANU, 16 JAN: Jenazah bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, di sini jam 10.40 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Mohamed Salleh, 91, yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad tiba di tanah perkuburan tersebut pada jam 10.15 pagi dan proses pengebumian dikendalikan kira-kira 10 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang lengkap berpakaian pelindung diri (PPE).

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia pada 16 Januari 2021. Foto: BERNAMA

Bagaimanapun, ahli keluarga dan pihak media tidak dibenarkan untuk berada di dalam kawasan perkuburan tersebut.

Menantu Allahyarham, Wan Pauzi Yahya berkata Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini Khamis lepas, setelah didapati positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada 3.20 pagi tadi, akibat pneumonia.

“Ketika berada di hospital, kami anak dan menantu masih dapat bercakap dengan Allahyarham dan beliau belum lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kami juga diberitahu Allahyarham mempunyai masalah pernafasan, tekanan darah rendah dan pelbagai masalah lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan pengebumian, di sini hari ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun Salleh Abas meninggal dunia pagi tadi

KUALA TERENGGANU, 16 JAN: Bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas, meninggal dunia pada pukul 3.20 pagi tadi.

Anak Allahyarham, Natlrah ketika dihubungi Bernama mengesahkan Mohamed Salleh, 91, meninggal dunia akibat pneumonia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu,” katanya.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus, mengesahkan berita dukacita tersebut.

“Allahyarham meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya.

– BERNAMA