Categories
NASIONAL

Ulama perlu jadi jurubicara rakyat bukan ‘simplistik’

Oleh: Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM 8 JAN: Ulama perlu berperanan menjernihkan keadaan rakyat yang berhadapan masalah isu kenaikan kos sara hidup dan pelbagai kemelut akibat kepincangan urus tadbir pemerintah.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata rakyat mengharapkan ulama menegur pemimpin supaya tidak mengenepikan keresahan rakyat.

“Rakyat mengharapkan kefahaman dan keprihatinan daripada pemerintah dan bila umat hilang arah untuk menyalurkan aduan supaya mereka didengari kerana ulama adalah tempat umat mengharap dan mengadu.

“Suara rakyat, termasuk ahli akademik dan pemimpin politik dalam dan luar kerajaan dikumpul serta disiar di media sepatutnya cukup untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi respon wajar terhadap keresahan rakyat,” kata Azmi dalam kenyataan medianya, di sini, hari ini.

Mohd Azmi Abdul HamidBeliau berkata, tidak timbul isu mahu menggulingkan kerajaan kerana rakyat hanya menuntut supaya kos sara hidup diturunkan.

Katanya, sudah banyak pengajaran dari negara di seluruh dunia apabila rakyat bangkit kerana pemerintah tidak telus dalam membuat keputusan dan akhirnya menambah beban.

“Perkataan mengguling kerajaan dinafi penganjur perhimpunan dan siasatan dijalankan polis.

“Ternyata yang menjadi isu sekarang adalah perhimpunan haram tidak boleh diadakan bukan soal hendak menggulingkan kerajaan,” katanya.

Katanya, adalah tidak wajar ulama bersikap simplistik dengan membuat rumusan daripada maklumat tidak tepat dengan bersandar kepada media lalu mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan umat dan menegangkan suasana.

“Diharap, ulama dan pemimpin politik menyantuni resah rakyat supaya penyelesaian lebih bermakna dapat dicapai dan supaya mengelakkan emosi saling mencabar dan menuding berterusan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Sebiji Burger Untuk Tutup Mulut Tahanan ISA Daripada Dedah Seksaan Pegawai Kem

KUALA LUMPUR  13 SEPT: Dipukul dan didera secara mental termasuk penderaan seksual setiap hari secara berterusan selama 60 hari antara kaedah yang menyebabkan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)  akhirnya terpaksa mengaku bersalah.

Antara tahanan yang menjadi mangsa seksaan dan ugutan pegawai kem tahanan di Kem Tahanan ISA di Kamunting, Perak itu termasuklah golongan ulama, hafiz dan guru-guru Al-Quran.

Tahanan juga diugut agar tidak mendedahkan situasi sebenar dalam tahanan kepada pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) apabila suruhanjaya itu mengadakan lawatan.

“Bila Suhakam nak datang mereka belikan burger McD untuk tahanan, selepas itu Suhakam duduk di depan tahanan, di belakang polis bersedia untuk tengok siapa yang berani nak jadi ‘whistle blower’.

“Aku dah belikan kau burger ni.. Aku dah seksa kau, kemudian aku pujuk kau belikan burger jadi aku harap kau dapat cakap benda baik tentang kami.

“Apa, mereka ingat kami ni apa, boleh dibeli dengan sebiji burger?

Demikian beritahu bekas tahanan ISA, Mohamad Fadzullah Abd Razak dalam satu sidang media yang diadakan oleh Gerakan Mansuh ISA yang diadakan di Kuala Lumpur-Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Fadzullah, kejadian yang berlaku dalam kem tahanan menyebabkan beliau dan tahanan lain terkejut kerana tidak menyangka kejadian seksaan yang zalim seumpama ini wujud di Malaysia.

Fadzullah ditahan di bawah ISA apabila dikaitkan dengan aktiviti Jemaah Islamiah(JI) pada Jun 2010 dan dibebaskan kira-kira dua hari sebelum hari raya puasa baru-baru ini.

Fadzullah juga memberitahu seksaan yang dikenakan kepada tahanan sehingga menyebabkan ada tahanan cuba membunuh diri dengan mengikat leher dengan tuala akibat tidak dapat menanggung tekanan yang dihadapi.

Sementara itu, menurut peguam dari Lawyers for Liberty, Farida Mohammad, dalam lawatan ke Kem Tahanan Kamunting semalam, beliau dimaklumkan bahawa seorang tahanan ISA yang berusia dan mengidap penyakit batu karang, Razali Kassan mendakwa dipukul oleh seorang pegawai kem tahanan bernama Marzuki.

“Setelah beliau dimasukkan ke hospital, pegawai yang bernama Marzuki itu  meminta maaf dan berjanji membantu beliau supaya dibebaskan lebih awal,” kata Farida.