Categories
NASIONAL

Peruntukan SUHAKAM dipotong bukti BN tidak sokong hak asasi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Langkah memotong peruntukan untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sehingga 50 peratus membuktikan Kerajaan Malaysia tidak serius memperjuangkan hak asasi manusia seperti dilaungkan.

Ahli Parlimen Tumpat, Kamarudin Jaffar, berkata ini turut membuktikan langkah kerajaan menandatangani beberapa konvensyen mengenai hak asasi manusia sebelum ini hanya meraih sokongan negara tertentu dalam isu tertentu.

Datuk Kamarudin Jaffar“Kerajaan sebenarnya tidak memperjuangkan hak asasi manusia tetapi memperjuangkan kepentingan sendiri sahaja,” kata Kamaruddin pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Terdahulu, peruntukan SUHAKAM sebanyak RM10 juta pada 2015 dikurangkan sebanyak 50 peratus mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk SUHAKAM.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam dalam laporan media berkata, pemotongan itu akan menyaksikan suruhanjaya itu mengalami defisit pada November tahun depan dengan hanya dapat menampung kos tetap keseluruhan.

-nR-

Categories
NASIONAL

Suhakam Minta Polis Patuhi Akta Kaedah-Kaedah Lokap

memorandum SUHAKAM

KUALA LUMPUR, 20 JUN : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memastikan pihak polis mematuhi dan menguatkuasakan Akta Kaedah-kaedah Lokap dan Kod Prosedur Jenayah.

Pematuhan kepada akta ini bagi memastikan kes kematian dalam tahanan lokap yang disebabkan oleh kecuaian polis dapat dikurangkan.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam, pihaknya tidak mampu menangani kes kematian dalam tahanan polis yang dikatakan terlalu ramai dan makin kritikal.

Beliau difahamkan setakat ini, sebanyak 222 kes kematian dalam lokap dilaporkan sejak tahun 2000, dengan kes terbaru membabitkan seorang jurutera, P Karuna Nithi yang disahkan meninggal dunia di Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan.

“Kami tidak mampu untuk mendengar lebih banyak kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan saban hari.

“Negara ini mempunyai undang-undang dan Akta Kaedah Lokap yang harus dipatuhi polis, antaranya memastikan tahanan berada dalam keadaan selamat, memastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi untuk memantau keadaan tahanan.

“Memaklumkan kepada keluarga tahanan sekiranya berlaku sesuatu dengan kadar segera selain mematuhi jangka masa soal siasat, hak dan keselamatan orang dalam tahanan.

“Undang-undang sudah ada, polis hanya perlu ikut sahaja. Apa yang boleh saya jamin ialah pihak Suhakam akan menggesa supaya akta ini dikuatkuasakan untuk mengelak perkara sama berulang lagi,” katanya semasa menerima memorandum daripada keluarga mendiang Karuna di ibu pejabat Suhakam, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan PKR, S Manikavasagam yang mewakili keluarga mendiang menggesa supaya Suhakam menubuhkan satu badan siasatan bebas untuk menyiasat punca sebenar kematian Karuna.

Tegasnya, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tempoh hari atas tujuan sama (menyiasat kematian Karuna), namun tiada respon diberikan sehingga hari ini.

“Sudah banyak kali kes sebegini dilaporkan, tetapi malangnya polis tidak pernah ambil sebarang tindakan.

“Polis ambil jalan mudah dengan mengatakan tahanan diserang sakit jantung. Adakah ini adil untuk keluarga mendiang sedangkan laporan perubatan sudah sahkan mendiang dicederakan,” tegasnya.

Memorandum itu antara lainnya mempersoalkan tindakan polis yang tidak memindahkan mendiang ke penjara Sungai Udang setelah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, sebaliknya membiarkan Karuna di Balai Polis Tampin.

Keluarga mendiang turut mempersoalkan mengapa tiada rakaman CCTV dilakukan pada hari kejadian sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa polis cuba menyembunyikan bukti.

Selain itu, memorandum tersebut turut mempertikaikan mengapa keluarga mendiang masih tidak diberikan sebarang penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian Karuna.

Karuna,42, disahkan meninggal dunia pada 1 Jun lalu di ibu pejabat polis daerah Tampin, sehari sebelum keluarganya sempat mengumpul wang untuk mengikat jaminnya.

Sehari selepas itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dilaporkan berkata tiada unsur jenayah dalam kes kematian Karuna yang ditahan pada 27 Mei selepas didakwa menyerang isterinya dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu, dalam laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan mendiang mengalami 49 kecederaan.

Sebahagian besar kecederaan disebabkan oleh objek tumpul pada dada dan kaki, demikian menurut laporan yang disediakan oleh Perunding Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee Al’Aidrus.

Categories
SELANGOR

Rafizi Kemuka Saksi Wujud Pengundi Hantu Dalam PRU-13

rafizi

PETALING JAYA, 20 MEI: Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hari ini  mengemukakan lapan saksi yang dinafikan hak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 yang lalu.

Kesemua mereka ini mendakwa  nama mereka terlebih dahulu digunakan orang lain untuk mengundi.

Menurut Rafizi selain membuat laporan polis, mereka juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Lapan individu tersebut, setiap seorang merupakan pengundi bagi Parlimen Sungai Petani, Rembau, Kuala Selangor, Kemaman, Tumpat, Shah Alam dan dua di Serdang.

“Mereka yang buat laporan ini tidak diarahkan, mereka juga bukan orang parti, tetapi bertindak disebabkan marah terhadap penipuan ini,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Merchant Square di sini.

Rafizi turut menolak andaian bahawa kejadian itu berlaku disebabkan masalah teknikal, disebabkan semasa cuba mengundi semakan dua, tiga orang kerani di tempat mengundi, semuanya menunjukkan nama mereka sudah dipotong, bermakna seseorang sudah mengundi menggunakan nama mereka.

“Kalau cuma seorang sahaja kerani Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memotong namanya, mungkin kita boleh percaya ia kesilapan teknikal kerani yang seorang itu, tetapi semua kerani dah potong nama pengundi terbabit.

“Ini sekaligus membuktikan bahawa Mykad palsu dan pengundi hantu itu memang wujud,” katanya lagi.

Rafizi turut memberitahu pihak yang membuat laporan tersebut sebelum ini tidak pernah kehilangan Mykad masing-masing.

SPR tidak wajar menjadikan alasan lapan pengundi tidak menjejaskan keputusan pilihan raya kerana menurut Rafizi ia melibatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara ini.

Selain pengundi yang tampil membuat laporan polis, #Siasatpru13 yang diketuai Rafizi turut menerima video dan foto dari orang ramai yang boleh dijadikan bukti penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.

Rafizi menambah, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merupakan dua badan yang bertanggungjawab terhadap penipuan dan penyelewengan dalam PRU-13 lalu.

Categories
NASIONAL

Tian Chua : SPR Jangan Halang Pengundi Luar Negara Pulang – BULETIN 13


Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 18042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. PKR akan bertanding 19 kerusi Parlimen dan 43 Dewan Undangan Negeri di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

2. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dalam laporan siasatan awam yang diterbitkan semalam membidas Polis Di-Raja Malaysia kerana melanggar undang-undang dalam perlaksanaan tugas ketika mengendalikan perhimpunan aman Bersih 3.0.

3. Semangat pengundi Malaysia di luar negara yang mahu pulang untuk mengundi pada PRU13 nanti adalah perkara yang patut digalakkan dan bukannya dihalang.

Categories
NASIONAL

Sebiji Burger Untuk Tutup Mulut Tahanan ISA Daripada Dedah Seksaan Pegawai Kem

KUALA LUMPUR  13 SEPT: Dipukul dan didera secara mental termasuk penderaan seksual setiap hari secara berterusan selama 60 hari antara kaedah yang menyebabkan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)  akhirnya terpaksa mengaku bersalah.

Antara tahanan yang menjadi mangsa seksaan dan ugutan pegawai kem tahanan di Kem Tahanan ISA di Kamunting, Perak itu termasuklah golongan ulama, hafiz dan guru-guru Al-Quran.

Tahanan juga diugut agar tidak mendedahkan situasi sebenar dalam tahanan kepada pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) apabila suruhanjaya itu mengadakan lawatan.

“Bila Suhakam nak datang mereka belikan burger McD untuk tahanan, selepas itu Suhakam duduk di depan tahanan, di belakang polis bersedia untuk tengok siapa yang berani nak jadi ‘whistle blower’.

“Aku dah belikan kau burger ni.. Aku dah seksa kau, kemudian aku pujuk kau belikan burger jadi aku harap kau dapat cakap benda baik tentang kami.

“Apa, mereka ingat kami ni apa, boleh dibeli dengan sebiji burger?

Demikian beritahu bekas tahanan ISA, Mohamad Fadzullah Abd Razak dalam satu sidang media yang diadakan oleh Gerakan Mansuh ISA yang diadakan di Kuala Lumpur-Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Fadzullah, kejadian yang berlaku dalam kem tahanan menyebabkan beliau dan tahanan lain terkejut kerana tidak menyangka kejadian seksaan yang zalim seumpama ini wujud di Malaysia.

Fadzullah ditahan di bawah ISA apabila dikaitkan dengan aktiviti Jemaah Islamiah(JI) pada Jun 2010 dan dibebaskan kira-kira dua hari sebelum hari raya puasa baru-baru ini.

Fadzullah juga memberitahu seksaan yang dikenakan kepada tahanan sehingga menyebabkan ada tahanan cuba membunuh diri dengan mengikat leher dengan tuala akibat tidak dapat menanggung tekanan yang dihadapi.

Sementara itu, menurut peguam dari Lawyers for Liberty, Farida Mohammad, dalam lawatan ke Kem Tahanan Kamunting semalam, beliau dimaklumkan bahawa seorang tahanan ISA yang berusia dan mengidap penyakit batu karang, Razali Kassan mendakwa dipukul oleh seorang pegawai kem tahanan bernama Marzuki.

“Setelah beliau dimasukkan ke hospital, pegawai yang bernama Marzuki itu  meminta maaf dan berjanji membantu beliau supaya dibebaskan lebih awal,” kata Farida.