Categories
AGENDA NASIONAL

Pemohon gagal dapat tempat di universiti awam boleh kemuka rayuan

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Pemohon yang tidak berjaya mendapat tempat di universiti awam (UA) boleh mengemukakan rayuan selepas 11 hari hebahan semakan keputusan kemasukan ke UA sesi 2021/2022 yang diumumkan Rabu lepas.

Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Jabatan Pendidikan Tinggi Wahi Nordin berkata rayuan boleh dikemukakan menerusi Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar (UPUOnline).

“Pemohon hanya boleh mengemukakan empat pilihan rayuan dan program bertemu duga atau ujian hanya untuk pilihan satu dan dua. Calon yang gagal sahaja akan mendapat menu rayuan, dan bagi yang berjaya nak tukar ke pilihan pertama itu tidak dibenarkan.

“Saya juga nak ingatkan kepada calon, permohonan kali ini agak sengit, ramai yang dapat keputusan cemerlang di peringkat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) asasi dan matrikulasi tidak mendapat tempat berdasarkan pilihan program yang sengit persaingannya,” katanya ketika menjadi tetamu program Buletin Bernama hari ini.

Wahi berkata menerusi rayuan, pelajar memiliki peluang untuk mendapat tempat, dan menasihati calon-calon untuk tidak memilih semula 12 pilihan kursus yang dipohon sebelumnya memandangkan program tersebut berkemungkinan telah penuh.

“Jadi calon-calon boleh memilih program yang bersesuaian dengan keputusan dalam empat pilihan rayuan itu,” katanya.

Selain itu, calon yang ingin membuat permohonan baharu atau terlepas membuat permohonan menerusi UPUOnline, boleh mengambil maklum tentang permohonan yang dibuka oleh UA seperti Universiti Teknologi Mara dan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang membuka permohonan pada semester kedua pada Mac 2022.

“Jadi calon-calon boleh melayari permohonan kemasukan semester kedua, bukan ambilan kedua, boleh buat permohonan terus kepada universiti berkenaan. Peluang di situ lebih cerah dengan keputusan yang ada,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mengumumkan keputusan rayuan pada akhir Oktober selepas kumpulan pertama ini mendaftar masuk ke universiti mulai 15 Okt depan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan tawaran yang diberikan adalah muktamad dan pemohon tidak dibenarkan untuk membuat pertukaran kursus atau universiti.

“Kami telah membuat pilihan berdasarkan susunan merit, jadi kalau calon tidak berjaya pilihan pertama, tetapi berjaya mendapat pilihan kelima, maknanya markah merit dia tidak mencukupi untuk pilihan pertama,” katanya.

Semakan keputusan boleh didapati menerusi lima pautan antaranya https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; http://jpt.ums.edu.my; dan http://jpt.umt.edu.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan permohonan masuk universiti awam mulai tengah hari ini

SHAH ALAM, 15 SEPT: Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) Sesi Akademik 2021/2022 bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau yang setaraf boleh dibuat mulai jam 12 tengah hari ini.

Semakan boleh dibuat sehingga 25 September melalui pautan https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; http://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan berkata pengesahan setuju terima dan surat tawaran pula boleh dicetak mulai esok hingga 25 September di laman sesawang UA.

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada yang berjaya juga mulai esok selepas calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari seperti yang dinyatakan.

“Hanya pemohon yang gagal mendapat tawaran boleh mengemukakan permohonan rayuan. Rayuan boleh dibuat melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 11 hari mulai 15 sehingga 25 September ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Universiti awam ada kuasa autonomi tangguh kelas

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Universiti awam mempunyai kuasa autonomi sendiri dalam membuat sebarang keputusan melibatkan arahan penangguhan kelas pengajian susulan penularan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19).

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata keputusan yang sama dilaksanakan universiti awam apabila negara dilanda jerebu sebelum ini, bagi memastikan kesihatan setiap warga universiti terjaga.

“Untuk universiti, mereka memang ada autonomi, sebagai contoh semasa masalah jerebu, universiti juga diberi autonomi untuk membuat keputusan atau penyusunan paling sesuai buat mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020, di sini malam tadi.

Pesta buku itu akan berlangsung dari 27 Mac hingga 5 April depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC – sebelum ini dikenali sebagai PWTC).

Media melaporkan pihak pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengarahkan semua penuntutnya untuk bercuti selama 10 hari bermula semalam.

Ia sebagai langkah awal berjaga-jaga dalam usaha menangani penularan Covid-19 dan mencegah sebarang jangkitan di universiti itu.

Dalam pada itu, Teo berkata bagi penutupan sekolah kerajaan pula, ia akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, kita tidak ada terima arahan ataupun nasihat daripada KKM untuk tutup sekolah. Ini kerana belum ada pelajar yang disahkan positif (Covid-19).

“Aktiviti luar (kelas) setakat ini berjalan seperti biasa tetapi kalau kes menjadi semakin serius, jadi kami (KPM) akan bangkit isu ini kepada KKM untuk mendapatkan nasihat mereka,” katanya.

-BERNAMA