Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

UNITEN, UKM rancang teruskan pengajaran dan pembelajaran dalam talian

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merancang untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian walaupun selepas kemasukan semula pelajar sepenuhnya ke kampus pada Oktober nanti.

Naib Canselor UNITEN, Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata sistem PdP di universiti itu akan dilaksanakan secara gabungan iaitu dalam talian dan bersemuka bagi beberapa kursus yang memerlukan kehadiran ke makmal atau studio.

“Umpamanya makmal kejuruteraan, pelajar kena pergi ke makmal untuk buat praktikal atau uji kaji, tapi ada yang boleh buat kuliah dalam talian. Walaupun 100 peratus datang ke kampus, tidak semestinya kita tinggalkan dalam talian, ia kombinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama sebelum rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Pasca-Covid-19: Pembukaan Universiti Awam dan Swasta dalam Normal Baharu’ di sini malam tadi.

Minggu lepas, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad membenarkan kemasukan empat lagi kategori pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampus secara berperingkat mulai Julai dan kemasukan sepenuhnya pada Oktober yang merupakan tambahan kepada lima kategori pelajar yang diberi kebenaran sebelum ini.

Empat kategori itu termasuk 30 peratus pelajar tempatan di IPT swasta (IPTS) seperti yang dimohon oleh Persatuan Kolej dan Universiti Swasta.

Sehubungan itu, Kamal Nasharuddin berkata UNITEN memberi peluang kepada 30 peratus, atau sekitar 2,000 pelajar, yang mempunyai isu capaian Internet dan suasana tidak kondusif untuk belajar secara dalam talian di kampung masing-masing untuk pulang ke kampus.

“Ramai juga pelajar memang berhasrat untuk pulang ke kampus supaya mereka dapat akses kepada internet dan suasana PdP lebih kondusif, jadi kita menerima dan gembira untuk menyambut kepulangan pelajar ke kampus, tapi paling penting kena patuh tatacara operasi piawai (SOP),” tambahnya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata hasil tinjauan institusi itu mendapati 66 peratus atau dua pertiga daripada pelajar lebih berminat dengan kelas yang dibuat secara dalam talian.

“Jadi, kita akan cuba buat sebaik mungkin secara dalam talian kecuali kursus yang memerlukan makmal atau studio. Selain daripada itu, kita akan buat dalam talian walaupun pelajar berada di kampus. Mereka (pelajar) lebih selesa kerana sudah lama belajar secara dalam talian, jadi mereka mahu kekalkan cara yang sama,” ujarnya.

Selebihnya, Mohd Hamdi berkata sebanyak satu pertiga pelajar menyatakan mahu kelas dijalankan secara konservatif atau bersemuka kerana kebanyakan mereka datang daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak mempunyai kemudahan komputer atau komputer riba.

Susulan itu, katanya, UKM sedang dalam usaha untuk memberi bantuan komputer riba terpakai kepada lebih kurang 260 pelajar yang dikenal pasti berada dalam kategori memerlukan bagi membantu mereka untuk belajar secara dalam talian.

“Kita mencari dana untuk menghadiahkan kepada mereka komputer riba terpakai, dibantu oleh alumni dan pihak HEP (Hel Ehwal Pelajar)…kita berjaya dalam sekitar 400 buah dan kita akan bagi kepada pelajar ini untuk digunakan.

“Selain itu, semua komputer di makmal juga dibuka sehingga 10 malam bagi membolehkan pelajar yang tidak mempunyai komputer mendapatkan akses,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penemuan tulang: UNITEN naik taraf pagar kampus

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 11 APR: Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) memaklumkan akan mengambil langkah menaik taraf pagar kampusnya kepada tembok bagi mengelak pencerobohan pihak luar ke dalam kawasan kampus.

Kenyataan terbabit dikeluarkan berikutan laporan media hari ini mengenai penemuan tulang manusia di sekitar kawasan UNITEN.

Jabatan Komunikasi Korporatnya berkata, rangka manusia itu ditemui di sebuah kawasan hutan ladang getah di sempadan kampus mereka dengan jarak satu kilometer dari padang ragbi UNITEN.

“Tempat penemuan rangka ini adalah kawasan hutan ladang getah yang bersebelahan dengan sebuah tapak pembinaan yang dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta.

“Menurut pihak polis rangka yang dijumpai dianggarkan ditinggalkan di tempat berkenaan kira-kira setahun yang lalu. Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Pada masa sama, pihaknya berkata, UNITEN tidak berkompromi dalam aspek keselamatan dan akan sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan pelajar, staf serta pengunjung ke kampus itu.

Pagi tadi, media tempatan melaporkan tulang manusia dipercayai milik wanita ditemukan oleh seorang juru ukur yang sedang melakukan kerja-kerja mengukur tanah di sekitar kawasan UNITEN.

 

 

Categories
NASIONAL

Tulang ditemui di UNITEN dipercayai milik wanita

SEPANG, 11 APR: Tulang manusia dipercayai milik seorang wanita ditemukan oleh seorang juruukur yang sedang melakukan kerja-kerja mengukur tanah di sekitar kawasan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali berkata, juruukur itu bersama beberapa rakannya sedang mengukur kawasan berkenaan apabila dia terlihat terlihat selipar, pakaian dan bantal di salah satu ‘check point’.

“Dia kemudiannya menghampirinya dan menjumpai beberapa tulang besar yang dibalut dengan selimut yang disyaki tulang manusia,” katanya kepada media ketika dihubungi di sini malam tadi.

Menurutnya tempat kejadian merupakan sebuah kawasan hutan ladang getah terbiar di dalam kawasan universiti itu, kira-kira satu kilometer dari padang ragbi, dan 30 meter dari jalan tanah merah berdekatan pencawang eletrik.

Beliau berkata beberapa barangan lain ditemui di tempat kejadian termasuk cincin, gelang, jaket berwana gelap, tali pinggang serta pakaian dalam; namun tiada sebarang pengenalan diri ditemui, dan berdasarkan pemerhatian awal beliau tidak menolak kemungkinan tulang itu sudah berada di tempat berkenaan kira-kira setahun lamanya sebelum ditemui hari ini.

Abdul Aziz seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi terus Pegawai Penyiasat, ASP Wan Azirul di Ibupejabat Polis Daerah Sepang dengan menelefon 03-87774222 atau hubungi mana-mana balai polis yang berhampiran, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA

LZS serah bantuan zakat RM2.1 juta

17 syarikat dan individu turut menerima anugerah sempena Majlis Anugerah dan Penghargaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) 2015.