Categories
AGENDA NASIONAL

Akibat wabak, ketibaan pelancong luar merudum 83.4 peratus

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Jumlah ketibaan pelancong antarabangsa ke dalam negara merudum 83.4 peratus kepada 4,332,722 tahun lepas, berbanding 26,100,784 pada 2019 disebabkan penutupan sempadan negara sejak 18 Mac 2020 bagi menyekat penularan pandemik Covid-19.

Tourism Malaysia berkata perolehan daripada pelancongan tahun lepas juga turun 85.3 peratus daripada RM86.14 bilion pada tahun 2019 kepada RM12.69 bilion tahun lepas.

Menurutnya purata perbelanjaan perkapita bagi tahun 2020 turun 11.3 peratus, daripada RM3,300 pada tahun 2019 kepada RM2,928 pada tahun 2020.

“Pertumbuhan negatif dilihat bagi pelancong dari setiap pasaran, yakni pasaran jarak dekat (-83.5 peratus), pasaran jarak sederhana (-84.7 peratus), dan pasaran jarak jauh (-79.7 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tourism Malaysia berkata menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO), Malaysia tidak bersendirian dalam perkara ini, kerana seluruh rantau Asia Pasifik merekodkan penurunan ketibaan pelancong sebanyak 84 peratus.

Lain-lain negara ASEAN turut menyaksikan penurunan ketara dalam jumlah kehadiran pelancong, termasuk Thailand (-83.2 peratus), Singapura (-85.7 peratus), Vietnam (-78.7 peratus) dan Indonesia (-75 peratus), katanya dengan merujuk kepada data daripada Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) dan Pertubuhan Pelancongan Nasional (NTO).

Sementara itu negara-negara ASEAN, atau pasaran jarak dekat kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada Malaysia dengan 68.1 peratus ketibaan pelancong (2,949,363) diikuti oleh pasaran jarak sederhana yang termasuk dari negara Asia Timur dan Asia Selatan (20.1 peratus atau 870,314).

Pasaran jarak jauh mencatatkan kadar 11.8 peratu dengan ketibaan 512,484 pelancong dari Asia Barat, Timur Tengah, Amerika, Oceania, Eropah dan Afrika.

Ketibaan pelancong antarabangsa dari 10 negara tertinggi ke Malaysia pada tahun 2020 adalah dari negara Singapura (1,545,255), Indonesia (711,723), China (405,149), Thailand (394,413), India (155,883), Brunei (136,020), Korea Selatan (119,750), Jepun (74,383), Australia (72,680) dan Vietnam (64,184).

Lima negara penyumbang tertingi dari segi perbelanjaan pelancong secara keseluruhan adalah dari negara Singapura, Indonesia, China, India dan Thailand.

– BERNAMA